Dunia pengarahan bukan asing bagi Yusof Kelana. Dengan pengalaman lebih 30 tahun berserta 400 drama arahannya, pengetahuan Yusof mengenai selok-belok pembikinan drama mahupun filem menjadi bak medan permainan baginya.
Namun Yusof atau namanya sebenarnya Omar Kamarudin, 60, akui filem terbaru arahannya Bahaya Cinta yang juga usaha sama Malaysia dan Vietnam sangat menguji kesabaran beliau.
Ini kerana kesulitan terpaksa ditempuhi gara-gara syarat ketat dikenakan kerajaan Vietnam ke atas skrip filem itu hingga ia perlu ditapis dulu.
“Filem ini berkisar peristiwa sejarah pelarian negara itu. Kerajaan Vietnam bimbang kalau-kalau kita memberi gambaran salah mengenai peristiwa itu. Jadi sebab itu mereka agak cerewet hingga kepada skripnya.
“Filem ini berkisar peristiwa sejarah pelarian negara itu. Kerajaan Vietnam bimbang kalau-kalau kita memberi gambaran salah mengenai peristiwa itu. Jadi sebab itu mereka agak cerewet hingga kepada skripnya.
YUSOF (empat dari kiri) bersama barisan pelakon Bahaya Cinta.
“Dalam hal ini, saya sebagai pengarah mesti menghormati apa juga keputusan yang ditetapkan. Kerajaan negara itu juga meletakkan pelbagai syarat serta melarang beberapa perkara untuk memastikan ia tidak menyentuh sensitiviti rakyat Vietnam,” kata pengarah kelahiran Kuala Kangsar, Perak itu.
Yusof berkata, skrip yang ditulis Martias Mohd Ali perlu diolah semula mengikut kehendak mereka dan beberapa babak seperti di Pulau Bidong, Terengganu yang pernah menempatkan pelarian Vietnam satu ketika dulu terpaksa dipotong.
Filem ini menjalani penggambaran pada Jun tahun lalu di Hanoi dan beberapa lokasi di negara itu serta mempamerkan keindahan Terengganu.
Bahaya Cinta dibintangi Adam AF2, Datuk Jalaludin Hassan, Fadilah Mansor dan Man Raja Lawak. Ia yang diklasifikasi PG13 turut menampilkan pelakon Vietnam seperti Luong Giang, Nguyen Duc Hung dan Ha Dan termasuk pelakon sinetron dari Indonesia, Dewi Amanda.
Tayangan perdana filem itu berjaya dilangsungkan di pawagam TGV, 1 Utama, Petaling Jaya, baru-baru ini, dengan dihadiri ramai karyawan yang terbabit termasuk pengarah, produser dan pelakonnya.
Guna bahasa isyarat
Bercerita pengalamannya mengarah filem ini, Yusof berkata, selain mahu mendapatkan gambaran hampir tepat seperti termaktub dalam peristiwa sejarah pelarian negara itu, apa yang menjadi cabaran utamanya adalah masalah komunikasi yang cukup menguji kesabarannya.
“Bayangkan semua kru produksi di negara itu tidak boleh berbahasa Inggeris dan kami terpaksa berkomunikasi dengan menggunakan bahasa isyarat. Lebih daripada itu, untuk memberi penerangan kepada mereka, kami kadangkala terpaksa berlakon semula.
“Bagaimanapun, apa yang membuatkan saya kagum industri filem di negara itu cukup membangun pesat seperti negara Asia maju lain,” ujarnya.
Beliau yang pernah menghasilkan filem Juara, MX3, Bara, Tragedi Oktober dan Pontianak Menjerit turut memaklumkan Vietnam sangat sesuai untuk dijadikan lokasi baru untuk memasarkan filem tempatan di sana. Tambahan pula dengan jumlah 60 juta penduduk dan infrastruktur pawagam yang memberangsangkan.
Bakal ditayangkan pada 1 Mei ini, Bahaya Cinta atau Dangerously Love diberi sari kata dalam tiga bahasa iaitu bahasa Malaysia, Inggeris dan Vietnam.
Ditanya, sejauh mana keyakinan beliau bahawa filem ini akan mendapat sambutan, Yusof berkata, berdasarkan maklum balas yang diterima termasuk daripada Duta Malaysia di Vietnam Datuk Azmil Mohd Zabidi, filem ini kemungkinan besar dapat diterima mereka.
“Siapa yang buat filem tidak mahu untung tetapi untuk percubaan pertama kita tidak mahu meletakkan harapan terlalu tinggi. Sebaliknya melihat jalinan kerjasama antara Malaysia dan Vietnam ini sebagai pembuka jalan untuk filem tempatan menembusi pasaran di sana,” katanya.
No comments:
Post a Comment