Fuh Gempak Player

24 Apr 2014

Cabaran 13 hari buat Sniper

Selain berlakon, semestinya penggiat filem seperti Pierre Andre juga hebat di belakang tabir sebagai pengarah. Anak sulung pelakon terkenal Khatijah Tan itu hingga kini sudah mengarahkan berbelas filem pelbagai genre.
Terbaru, Pierre muncul dengan filem aksi Sniper yang mula ditayangkan di seluruh Malaysia bermula semalam. Diterbitkan MIG Productions Sdn Bhd, Pierre ambil masa 13 hari untuk penggambaran. 
Memilih lokasi sekitar Lembah Klang, Pierre berkata, tempoh agak sing­kat itu cukup mencabar dirinya, apatah lagi untuk mengarah dan menghasilkan filem aksi bukan perkara mudah. 

Katanya, dia perlu sedia menyahut cabaran itu kerana mengikut kos pembikinan disediakan.
Foto
PIERRE (enam dari kiri) bersama penerbit David Teoh (lima dari kiri) dan barisan pelakon filem Sniper.

Menurutnya, menyedari situasi pasaran filem Melayu kini agak merudum dan kurang mendapat sambutan, dia perlu bijak mengatur percaturan.

“Agak memberi tekanan juga sebenarnya kepada saya untuk menghasilkan filem ini. Ia kerana saya perlu akur dengan kos pembikinan yang sudah ditetapkan oleh produksi serta tempoh penggambaran yang begitu singkat. 

“Mengikut pengalaman saya sebelum ini ketika menghasilkan filem 1 Lawan Satu, memang bukan mudah untuk mengarahkan filem aksi dan cukup mencabar kreativiti saya,” katanya. 

Mengulas mengenai babak ‘imbas semula’ watak Ahmad lakonan Mikail Andre yang berkhidmat sebagai tentera dan menghadapi masalah disiplin tidak dimuatkan dalam filem itu, Pierre berkata, dia perlu akur dengan kos pembikinan. 

“Ditambah lagi, macam saya katakan tempoh peng­gambaran singkat menyebabkan saya perlu membuat pilihan dan keputusan. Apapun, saya yakin penonton akan dapat memahami jalan cerita filem ini selepas menontonnya. 

“Lagipun, selain mendapatkan hiburan ia juga memberi ruang kepada penonton untuk berfikir apa sebenarnya berlaku ke atas semua watak dikete­ngahkan,” katanya me­ngakui bekerja dengan pelakon baru juga satu cabaran besar. 

Menurut Pierre, ia bukan soal tiada bakat tetapi yang pasti dia perlukan banyak masa untuk menggilap bakat dimiliki pelakon baru diketengahkan dalam filem Sniper kerana masing-masing masih kurang pengalaman. 

Selain Mikail, Sniper yang juga filem ke-91 terbitan MIG itu diterajui barisan pelakon baru pelapis seperti Fadlan Hazim, Pablo Amirul dan Nina Iskandar. 

Turut membintangi filem itu ialah pelakon Delimawati sebagai watak ibu Ahmad. 


Sinopsis 

Ia mengisahkan Ahmad, seorang bekas tentera yang dipecat kerana masalah disiplin diri. Sejak dibuang kerja, Ahmad menjadi penganggur dan dia gagal pada setiap temu duga dihadiri. 

Rafi (lakonan Fadlan) pula seorang atlet penembak tepat negara. Suatu hari, Rafi diculik selepas makan tengah hari bersama tunangnya, Haslina (Nina Iskandar). 

Begitu juga dengan Ahmad yang diculik oleh individu tidak dikenali. 

Kedua-dua mereka bertemu di kawasan hutan kerana diletakkan untuk permainan ‘pembunuhan’ yang dicipta oleh seseorang tidak diketahui. Dibekalkan senjata dan beberapa peluru, mereka perlu bijak menyelamatkan diri. 

Permainan berbahaya itu memerlukan mereka membunuh di antara satu sama lain untuk melepaskan diri dan terselamat. 

Siapa dalang di sebalik permainan gila yang dirancang itu? 

Mampukah Rafi dan Ahmad menyelamatkan diri mereka daripada menjadi mangsa korban yang diatur individu tidak bertanggungjawab? 

Apakah Ahmad yang sebenarnya perancang pada semua musibah itu? 

Semua kemelut dan persoalan akan dapat dijawab dalam filem Sniper yang kini ditayangkan di pawagam.

No comments:

Post a Comment