Fuh Gempak Player

21 Apr 2014

Wanita pilihan Song Seung Heon

Anyonghaseyo! Ketika kita masih di­selubungi misteri dan bersedih dengan tragedi pesawat MH370, rakyat Korea Selatan pula kini berkabung dengan tragedi feri Sewol yang karam ketika dalam perjalanan ke Pulau Jeju, Rabu lalu.
Sehingga semalam, 64 kematian sudah disahkan manakala 240 lagi penumpang yang menaiki feri berkenaan masih hilang. 

Tidak terkecuali, golo­ngan selebriti Korea Selatan turut bersedih, malah demi menghormati keluarga mangsa terbabit, mereka juga membatalkan segala aktiviti seni buat sementara waktu. 

Kumpulan Crayon Pop dan Park Si Hwan antara yang terbaru mengesahkan untuk berbuat demikian dengan kedua-keduanya dijadualkan mengadakan sesi bertemu peminat kelmarin dan semalam.

Begitu juga aktor tampan Song Seung Heon mengambil keputusan untuk menderma 100 juta won (RM313,000) bagi meringan­kan beban keluarga mangsa.

Menurut agensi aktor terbabit, keputusan itu diambilnya sendiri sebaik mendapat tahu berita malang terbabit. 

Sebelum ini pun, aktor berkenaan tidak pernah berkira, malah turut memberi sumbangan kepada mangsa gempa bumi serta tsunami di Jepun. 

Kisah aktor berkenaan juga menjadi pembuka tirai untuk Hallyu! minggu ini dengan Song Seung Heon dikatakan sudah mempunyai gambaran terhadap isteri idamannya ketika ini. 

Tidak banyak syarat pun yang dia tetapkan wanita bagaimana diinginkan menjadi isterinya, bagi aktor itu asalkan dia mencapai impiannya memiliki keluarga bahagia suatu hari nanti. 

Kenyataan itu dicetuskan sendiri ketika ditemu bual sebuah majalah terkenal apabila mendedahkan dia sememangnya peminat setia Chu Sa Rang, anak perempuan Chu Sung Hoon. 

“Siapa yang tidak sukakan dia, malah saya juga berharap akan mendapat anak perempuan sepertinya suatu hari nanti. Sekarang ini paling penting bagi saya hanyalah untuk mendapat sebuah keluarga bahagia kelak. 

“Bagaimanapun, saya percaya untuk ke arah itu bukan bergantung semata-mata mendapatkan seorang wanita secara suka-suka tanpa mengenalinya secara mendalam. Saya sangat berharap dipertemukan wanita yang sentiasa optimis dan boleh diharap setiap kali saya berhadapan masalah,” katanya. 

Sempat bercerita me­ngenai filem terbaru lakonannya, Obsessed, aktor terbabit kini berdebar menunggu reaksi peminat terhadap persembahan­nya dalam filem itu. 

“Saya sangat gementar kerana ini pertama kali saya melakonkan filem bergenre erotik ‘thriller’. Saya harap penonton akan menyukai sisi lain saya dalam filem itu,” katanya.

No comments:

Post a Comment