Fuh Gempak Player

28 Apr 2014

Aura A R Rahman

Seawal jam 3 petang Sabtu lalu, pekarangan Stadium Merdeka, Kuala Lumpur sesak dengan penonton yang tidak mahu melepaskan peluang menonton konsert penyanyi, pemuzik dan komposer legenda India, A R Rahman.
Sebahagian daripada mereka juga tidak lokek untuk membelanjakan RM1,499 bagi sekeping tiket konsert yang dinamakan A R Rahman - Infinite Love itu. 
Menjelang jam 6 petang, penonton mula memasuki stadium dan barisan penonton yang beratur sudah mencecah ratusan meter walaupun konsert anjuran DML Live itu hanya bermula pada jam 8 malam. 

Akhirnya menjelang jam 8 malam, lebih 15,000 penonton memenuhi Stadium Merdeka yang rata-ratanya tidak sabar menanti kemunculan Rahman yang kali terakhir mengadakan konsert di KualaLumpur pada 2003.
Foto
MENYANYI beramai-ramai bersama penyanyi undangan.

Penghibur berusia 47 tahun yang dilahirkan di Madras (kini Chennai), India itu bukan saja dihormati di negaranya, tetapi seluruh dunia.

Pada 2009, majalah Time meletakkannya dalam senarai 100 individu paling berpengaruh di dunia selain turut melabelkannya sebagai komposer lagu filem paling menonjol dan prolifik di dunia. 

Karya hebatnya juga melayakkan beliau merangkul puluhan anugerah dan lebih istimewa pastinyaGrammy Awards dan Academy Awards. 

Pada 2009, Rahman memenangi kategori Skor Muzik Asal Terbaik dan Lagu Asal Terbaik dalamAcademy Awards. Dalam tahun sama beliau juga menang di Grammy Awards bagi dua kategori iaitu Album Soundtrack Filem Terbaik dan Lagu Filem Terbaik. 

Semuanya menerusi filem Slumdog Millionaire dan lagu Jai Ho yang dipetik daripada album soundtrack filem berkenaan. 

Beliau juga pernah menang di BAFTA Awards, Golden Globe Awards serta puluhan anugerah dan pencalonan di India. 

Di Stadium Merdeka malam Sabtu lalu, Rahman sekali lagi memukau penonton. Di atas pentas beliau kelihatan seperti lelaki biasa. Namun, aura yang ada padanya bermula dengan vokal, pemilihan lagu, gubahan muzik hinggalah rekaan pentas membuatkan penonton enggan berganjak. 

Tepat jam 8 malam, tanpa sebarang pembuka bicara Rahman memulakan per­sembahannya dengan lagu popular yang memang ditung­gu peminat seperti Dil Se, Roja, Rockstar dan Highway. 

Dalam konsert yang berlangsung lebih tiga jam itu, penonton dihiburkan de­ngan gabungan lagu klasik dan muzik terkini dalam bahasa Tamil dan Hindi. 

Gabungan instrumen klasik dan moden seperti tabla, gendang, sitar dan serunai dengan gitar, dram, piano serta keyboard menjadikan konsert Rahman kaya dengan pelbagai bunyi. 

Selain itu, Rahman yang beragama Islam turut menampilkan segmen Qawwalli yang dipopularkan oleh ‘Qawwal’ legenda Nusrat Fateh Ali Khan

Qawwali ialah persembahan nyanyian lagu Islamik yang bermula lebih 700 tahun lalu di Asia Barat dan Pakistan. 

“Peminat di Malaysia amat istimewa dan saya berharap untuk memberikan sesuatu yang tidak dapat dilupakan anda pada konsert ini,” kata­nya sebelum disambut sorakan peminat. 

Selain itu, Rahman tidak berseorangan dan beliau disertai penyanyi dan pemuzik yang kerap menyanyikan lagu popular ciptaannya. 

Antaranya ialah Mano, penyanyi ‘evergreen’ India yang cukup diminati. Turut membuat persembahan ialah Vijay Prakash yang membawa lagu Hosana. Vijay juga seorang daripada empat penya­nyi lagi Jai Ho yang menang di Academy Awards pada 2009. 

Tiga penyanyi wanita seperti Neeti Mohan yang membawakan lagu Jiya Re dan Harshdeep Kaur (Katiyan Karoon) serta Chitra yang me­nyampaikan lagu Malar Gele turut mendapat sambutan. 

Rahman turut mengundang seorang lagi pemuzik hebat iaitu Vishwa Mohan Bhatt yang memainkan alat muzik dikenali sebagai Mohan Veena atau gitar slide. 

Mohan Veena adalah alat muzik yang diubahsuai dari gitar dan istimewanya ia mengeluarkan bunyi gabu­ngan sitar dan gitar. 

Vishwa Mohan yang pernah memenangi kategori Album Muzik Dunia Terbaik di Grammy Awards pada 1993 mempersembahkan dua lagu instrumental iaitu Uyire dan Chinna Chinna Aasai sambil diiringi Rahman yang bermain piano dan seorang pemain serunai. 

Bagi penulis, tempoh lebih tiga jam menonton konsert berkenaan tidak mendatang­kan rasa bosan. 

Walaupun bukan peminat tegar lagu dan muzik Tamil atau Hindi, tetapi gabungan muzik tradisional India dan moden yang dibawa Rahman turut menyentuh jiwa. 

Nyata dia seorang yang genius dalam muzik. Apa yang dipersembahkan mudah melekat di jiwa penonton. 

Jadi, tidak hairanlah majalah Time menyenaraikannya sebagai antara 100 individu paling berpengaruh di dunia.

No comments:

Post a Comment