Fuh Gempak Player

30 Apr 2014

Bekalan air seperti biasa esok

Kangar: Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (SPAN) mengumumkan catuan air di Selangor, Kuala Lumpur dan Putrajaya akan ditamatkan mulai esok berikutan peningkatan paras air di beberapa empangan utama di negeri berkenaan.
Pengerusinya Datuk Ismail Kassim berkata, keputusan itu dibuat disebabkan peningkatan paras air di Empangan Sungai Selangor daripada 36.39 peratus pada Mac lalu kepada 40.23 peratus sekali gus melebihi paras kritikal sejak semalam. 
Menurutnya, hujan lebat yang melanda negeri berkenaan sejak kebelakangan ini turut membantu kepada peningkatan paras air di beberapa empangan utama lain di Selangor. 

"Selepas meneliti usaha yang dijalankan kerajaan negeri Selangor untuk meningkatkan sumber air mentah, SPAN bersetuju menarik semula catuan air di Selangor dan Kuala Lumpur mulai 1 Mei ini," katanya, di sini, sebentar tadi.
Foto
PARAS air di Empangan Sungai Selangor melebihi paras kritikal. FOTO Sairien Nafis

Mulai esok, pengguna air di kawasan terbabit dapat menikmati bekalan air seperti biasa, katanya.

Sementara itu dalam perkembangan berasingan satu surat yang dikeluarkan Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri Selangor bertarikh 29 Arpil yang dihantar kepada Ketua Pegawai Eksekutif SPAN itu mengesahkan keputusan menarik balik pelan catuan air. 

Berdasarkan surat berkenaan, Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Mohammed Khusrin Munawi menyatakan perkara berkenaan sudah dipersetujui dalam mesyuarat Jawatankuasa Pemantauan Air Negeri Selangor Mengenai Catuan Bekalan Air yang dipengerusikan oleh Menteri Besar kelmarin. 

Turut hadir dalam mesyuarat itu ialah Setiausaha Kanan Kementerian Teknologi Hijau dan Air, Pengarah Lembaga Urus Air Selangor (LUAS), wakil daripada Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) Selangor serta wakil Syarikat Bekalan Air Selangor (SYABAS), Puncak Niaga Sdb Bhd (PNSB), Syarikat Pengeluar Air Selangor Sdn Bhd (SPLASH) dan Konsortium ABASS Sdn Bhd (ABASS). 

Katanya, walaupun paras Empangan Sungai Selangor masih belum mencapai 50 peratus, namun berdasarkan kepada pelan kontigensi yang disediakan dan dengan terdapatnya lebihan air mentah di Sungai Selangor berikutan hujan yang turun beberapa hari ini, kerajaan negeri bersedia supaya pelan catuan air ditarik balik berkuatkuasa 1 Mei 2014.

No comments:

Post a Comment