Fuh Gempak Player

9 Apr 2014

Berdebar tunggu hari bahagia

Sebelum ini, rezekinya dalam lakon bermula apabila kaki­nya terpilih menghiasi poster promosi filem Remp-It V3: Sam­­­seng Jalanan arahan Farid Kamil.
Dari situ dia mengikat kontrak sebagai artis MIG Talent dan berpeluang menjadi pelakon. Antaranya, Jangan Pandang Belakang Congkak, Senario Beach Boy, Mantera, Keramat, Hantu Dalam Botol Kicap, Nongkrong, Hanya Aku Cinta Kau Seorang (HACKS), Assalamualaikum Cinta, Aku Terima Nikahnya dan Bro Mana Motor Gua.

Kini, suaranya pula memberi tuah apabila ditawarkan menjadi juruhebah radio stesen Ultra FM. Mereka menilai kemampuannya dengan menonton lakonannya di YouTube. Nyata nada suara lantang dan sebutan yang jelas menarik minat mereka.

Pastinya peluang itu tidak dilepaskan Mon Ryanti, 26, begitu saja. Katanya, rezeki jangan ditolak dan peluang ja­ngan dilepaskan.
Foto

“Ketika itu saya baru saja selesai penggambaran filem dan terkejut kerana sepanjang bergelar pelakon, saya tidak pernah terfikir menjadi penyampai radio. Itu yang dinamakan rezeki.

“Mula-mula bekerja, saya akui memang tertekan. Apatah lagi saya bekerja seorang diri dari jam 10 pagi hingga 3 petang. Lama-kelamaan semuanya menjadi mudah kerana ia menjadi rutin harian,” katanya.

Mon menolak dakwaan bertukar kerjaya kerana bakal menjadi isteri tidak lama lagi. Katanya, tawaran sebagai penyampai radio itu tiba lebih dulu sebelum teman lelakinya menyatakan niat untuk memperisterikannya.

Berkenalan lebih dua tahun dengan Mohd Hasrul Ali, 26, pelakon dengan itu menyifat­kan buah hatinya sangat memahami komitmennya sebagai anak seni.

“Saya mula menjadi pe­nyampai radio Ultra Fm sejak tahun lalu. Dia pula melamar saya tahun ini. Jadi tidak timbul isu itu. Mungkin rezeki ini datang tepat pada masanya,” katanya.

Mon akui berdebar bakal bergelar isteri. Katanya, walaupun bekerja setiap hari, ia tidak mengambil masa terlalu lama.

“Saya masih ada banyak masa bersama keluarga dan menguruskan rumah tangga. Saya semakin selesa dengan kerjaya baru ini tetapi tidak bermakna saya berhenti berlakon. Cuma tidak sekerap dulu.

“Bukan memilih tetapi fokus utama adalah penyampai radio. Apa-apa pun, mesti bersesuaian dengan jadual saya,” katanya.

Kata Mon, dia pernah mengajak teman lelakinya ke lokasi penggambaran. Bukan kerana timbul rasa curiga dalam diri Hasrul, tetapi Mon ingin memperlihatkan dunia seni­nya kepada bakal suaminya.

Melangsungkan pertuna­ngan Jun depan dan merancang untuk bernikah tiga bulan kemudian, Mon mengakui menyediakan segala persiapan untuk dua majlis itu sangat meletihkan.

“Setakat ini persiapan majlis pertunangan siap 50 peratus manakala nikah dan resepsi pula baru 30 peratus. Memang terkejar-kejar kerana masa semakin singkat. Perasaan bercampur-baur. Gembira tapi pada masa sama saya gementar.

“Saya selesaikan perkara utama dulu seperti pelamin, katering, kursus kahwin, pakaian serta jurusolek. Majlis nikah nanti akan dilangsung­kan di Johor.

“Timbul perasaan bimbang berkongsi cerita ini kerana pasti ramai akan mencemuh jika majlis ditunda. Apa pun, semuanya atas izin Allah,” katanya yang mengidamkan perkahwinan sederhana de­ngan sentuhan ala Inggeris.

Mon kini menguruskan kerjaya lakonannya sendiri selepas mengundurkan diri dari pengurusan MIG Talent walaupun kontraknya masih berbaki setahun. Kata­nya, dia mahu lebih berdikari dan kini semakin matang membuat percaturan bagi mengembangkan kerjayanya.

Popularitinya tidak naik mendadak, namun berbeza jika dibandingkan dengan dulu. Katanya, dia berasa lebih dekat dengan peminat kerana dapat berbual walaupun menerusi telefon.

“Bila sebut populariti, memang ada perbezaan. Ada pemanggil telefon bertanya sama ada saya berhenti berlakon atau masih aktif. Dulu jumpa peminat masa sidang media atau previu filem saja, tapi sekarang dapat berbual dengan mereka lebih lama.

“Populariti bukan perkara utama dalam hidup saya. Kalau saya mementingkan populariti, saya tidak akan menjadi penyampai radio kerana orang cuma dengar suara tapi pendengar tak nampak muka,” selorohnya.

Bukan hanya bergelar pelakon dan penyampai radio, Mon juga berjinak-jinak dengan dunia pengacaraan. Dia menjadi hos rancangan bercorak travelog, Selangkah Bersama untuk TVi.

Mon juga mencabar kemampuan diri dengan membabitkan diri dalam pementasan teater Gelanggang Tok Wali. Ternyata rezeki masih datang walaupun dia kini bergerak sendiri.

“Banyak benda baru yang saya cuba dan terokai. Apabila mencuba pelbagai bidang selain lakonan, baru saya tahu kemampuan diri,” katanya.

No comments:

Post a Comment