Fuh Gempak Player

10 Apr 2014

Captain America: The First Avenger - Kejutan tidak disangka

Meneliti plot ceritanya, naskhah ini ada gaya, aksi dan semua rencah yang cukup untuk menjadikannya sebuah filem superhero yang mengagumkan sentuhan sutradara adik-beradik, Anthony dan Joe Russo serta penulis skrip gandingan Christopher Markus dan Stephen McFeely.
Mengimbas kembali perjalanan sebelumnya, Captain America: The First Avenger yang ditayangkan tiga tahun lalu, rakan karib Steve Rogers bernama James ‘Bucky’ Barnes dikhuatiri terbunuh selepas terjatuh daripada kereta api dalam satu misi ketenteraan. Dr Arnim Zola pula ditawarkan supaya berpaling tadah daripada kuasa HYDRA untuk bekerjasama dengan Amerika Syarikat dalam kajian sains kegunaan tentera yang seterusnya. 
Sebahagian besar penceritaan filem yang pertama itu berlaku pada 1942 iaitu asal usul ‘penciptaan’ Captain America. 

Namun, kali ini menerusi Captain America: The Winter Soldier, watak utamanya, Steve Rogers atau Captain America lakonan Chris Evans bertugas di bawah arahan Kolonel Nicholas Joseph ‘Nick’ Fury (Samuel L Jackson), ketua S.H.I.E.L.D. dengan gandingan rakan setugasnya Natasha Romanoff/Black Widow yang dilakonkan aktres jelita, Scarlett Johansson, Maria Hill (Cobie Smulders) dan askar hebat Sam Wilson/Falcon (Anthony Mackie).
Foto

Plot cerita antagonis kali ini yang menjadi musuh utama Captain America ialah Winter Soldier (Sebastian Stan) yang bersekongkol dengan Alexander Goodwin Pierce (Robert Redford) serta cameo sebagai supercomputer Dr Arnim Zola (Toby Jones).

Sekuel kali ini fokus pada kebangkitan semula kuasa HYDRA dalam kejutan cerita yang tidak disangka-sangka. 

Kisahnya bermula dengan perkenalan Steve Rogers dengan Sam Wilson dalam suasana tenang sebelum mula beraksi dalam misi pertama Captain America dan rakan setugasnya untuk menyelamatkan kapal milik S.H.I.E.L.D. daripada tawanan lanun Algeria yang diketuai Georges Batroc.

Sewaktu dalam misi itu, Natasha mengambil kesempatan memuat turun satu data daripada kapal itu. 

Seterusnya kisahnya akan merujuk pada konflik utama membabitkan data yang menjadi taruhan dan rebutan semua pihak, sekali gus mengancam nyawa Steve, Nick, Natasha dan rakan setugas lain. 

Jika sebelum ini Captain America beraksi pada zaman Perang Dunia Kedua, kali ini watak hero terkenal ini beraksi di dunia moden hari ini. 

Teka-tekinya berbeza jika dulu musuh Captain America jelas iaitu Red Skull dan tenteranya, manakala kali ini musuhnya mungkin berada di dalam pasukannya sendiri. 

Apa isi kandung data itu dan apakah implikasinya hingga ia menjadi tumpuan utama filem ini. Mampukah Captain Amerika berdepan konflik terkini yang bercambah ketika dia ‘tidur’ selama 70 tahun yang lalu? 

Persoalan itu Projektor lontarkan kepada pengarah dan penerbit drama popular, Jalena Rejab yang kebetulan sempat menontonnya, minggu lalu. 


Lebih konflik, 
sarat aksi
 

“Saya bukanlah peminat tegar filem berunsur superhero, namun selepas menyaksikan filem Captain America: The Winter Soldier ini, saya boleh katakan yang ia bukan sekadar filem komersial yang mengangkat aksi fantasi, tapi penceritaannya masih logik, realistik, masuk akal khususnya konflik yang disuntik pada jalan ceritanya walaupun ia cuma adaptasi daripada komik. 

“Sarat konflik dan banyak misteri diselitkan sepanjang kisahnya diterjemahkan, selain aksi dan adrenalin yang tidak henti mewarnakan lagi filem ini. 

“Filem ini berjaya memberikan satu ruang bagi memastikan karakter utamanya, Steve Rogers membesar dengan cara lebih kemas. 

“Saya lebih terhibur dengan subjek berkaitan kuasa HYDRA yang pernah diceritakan pada versi sebelum ini dan kali ini ia digabungkan dengan kisah kumpulan S.H.I.E.L.D. bagi mewujudkan lebih rasa konflik. Asasnya mengenai perebutan kuasa politik apabila semua pihak inginkan kuasa HYDRA. 

“Sebagai penonton yang menilai aspek plot ceritanya, saya lihat ia berjaya mengubah pandangan penonton mengenai kewujudan S.H.I.E.L.D. seolah-olah Captain America: The Winter Soldier adalah titik tolak dan persimpangan plot lebih rumit untuk filem sambungan seterusnya. 

“Bagaimanapun, tumpuan saya lebih menjurus pada aspek pembikinannya dan saya harus memuji usaha pengarahnya yang berjaya menghidupkan rasa debar serta suspens sepanjang filem khususnya ketika babak pertarungan. Bukan sekadar di darat, tapi visualnya mengagumkan ketika babak aksi di udara yang cukup realistik untuk tontonan umum. 

“Saya berani berikan EMPAT BINTANG kepada Captain America: The Winter Soldier yang sekurang-kurangnya menghiburkan dan mampu memberikan rasa relevan kepada penonton dewasa seperti saya,” katanya.

No comments:

Post a Comment