Fuh Gempak Player

10 Apr 2014

Malam peminat rockers

Walaupun hujan lebat, namun penonton tetap tidak berganjak dan hadir seawal jam 6 petang semata-mata tidak mahu melepaskan peluang menonton aksi band rock yang pernah popular satu ketika dulu.

Lebih menarik, kalangan penonton turut terdiri daripada kumpulan yang menggelarkan diri mereka sebagai Group Sabahan Rockers yang hadir mengenakan fesyen rock era 1980-an.

Apa yang pasti, penonton terhibur dengan lagu popular mereka seperti Patahnya Sayap Malam (Massa Scarecrow), Kain Cinta Putih (Putra) dan Bila Bunga Dipetik Orang (Sejati).

Selain tiga band itu, turut membuat persembahan ialah band rock cilik M7 yang berasal dari Port Dickson, Negeri Sembilan di mana masing-masing berusia antara 10 hingga 15 tahun serta kemunculan istimewa Keena Mentor.

Konsert Rockers Apa Khabar yang dibawa khas Fuh Network itu adalah sebahagian langkah awal promosi kepada Konsert Rockers Apa Khabar 1 yang sudah mula bersiaran di TV2 sejak 4 Januari lalu di mana ia bertujuan untuk mengembalikan nostalgia era zaman 90-an.

Pengarah Fuh Network, Zamrudul Ahmar Mohd Ruslan berkata, dalam Konsert Rockers Apa Khabar II, semua artis terbabit akan mengembalikan nostalgia lagu popular mereka ketika era 90-an dengan menampilkan Sejati untuk membuka tirai persembahan.

Lagu seperti Kerana Menyintaimu, Tak Sampai 10 dan lagu hits, Bila Bunga Di Petik Orang dipersembahkan diikuti M7.

M7 dianggotai Muhammad Arif Zulfakar Mohd Fariz (Vokalis), Mohd Aidid Farhan Suhaimi (gitar), Mohd Arif Mirza Adrian (gitar), Mohd Fitri Hassan dan Mohd Aliff Hassan (Drum) menyampaikan lagu popular Tegar, Aku Yang Dulu Bukannya Sekarang dalam versi Rock dan lagu Lefthanded iaitu Seruan dan Semangat Lamina.

Keena Mentor pula mengambil tempat dengan dua lagu Izinkanlah dan Kekasih Sementara sebelum Massa Scarecrow dengan lagu Raja Bersiong, Persandingan Abadi, UFO dan Patahnya Sayap Malam.

Dalam pada itu, Penerbit Eksekutif IBAR Resources, Megat Syafnir Farree berkata, idea untuk mengadakan konsert ini adalah kesinambungan kejayaan Konsert Rockers Apa Khabar yang pertama di mana ia membabitkan 13 band rock tempatan, tahun lalu.

Beliau berkata, antara band rock yang terpilih dalam Konsert Rockers Apa Khabar I adalah CRK, Meditasi, Sejati, Eye, Putra, Bloodshed, Lela, Samudera, Utopia, Burnmark dan Graviti.

“Sebelum ini lagu mereka sering dimainkan stesen radio sehingga ke hari ini namun mungkin kebanyakan peminat merasakan band itu sudah berpecah dan dengan adanya konsert ini akan menaikkan semula nama mereka.

“Selepas kejayaan konsert yang pertama dan kedua, Insya-Allah kita akan mengadakan Konsert Rockers Apa Khabar III dan Battle Of The Otai tidak lama lagi selain menyasarkan kawasan luar bandar untuk mengadakan siri jelajah di seluruh negara,” katanya.

No comments:

Post a Comment