Memikirkan ada peserta lain lebih hebat dalam persembahan komedi mereka membuatkan juara program Skool Of Lawak musim pertama, Muhammad Rizam Zaffar atau Zam terkejut dengan kemenangannya itu sekali gus merangkul gelaran ‘Ketua Kelakar’.
Zam, 26, dari Selangor berkata, dia tidak menyangka muncul juara dan menewaskan lima finalis lain yang berentap pada pentas akhir Ujian Skool Of Lawak di Mega Star Arena, Jalan Kuchai Lama, Kuala Lumpur malam Jumaat lalu. Baginya, ia satu kejutan.
Ditemui pada sidang media diadakan, Zam memaklumkan dia tidak terfikir menjadi juara untuk program pencarian bakat komedi itu.
Menurutnya, kemenangan itu dijangkakan menjadi milik peserta lain. Kemenangan itu membolehkan Zam menerima wang tunai RM100,000 dan trofi.
Menurutnya, kemenangan itu dijangkakan menjadi milik peserta lain. Kemenangan itu membolehkan Zam menerima wang tunai RM100,000 dan trofi.
TIGA finalis akhir yang membawa pulang hadiah disediakan iaitu Zam, Fiza dan One.
“Ini namanya rezeki. Buat masa ini, saya juga tidak terfikir lagi mengenai wang tunai dimenangi itu. Bahkan, belum terlintas di fikiran saya mahu buat apa dengan wang berkenaan.
“Apa yang pasti, persaingan akhir dilalui cukup sengit dan kami semua sudah berusaha memberi persembahan terbaik buat menghiburkan penonton,” katanya mengakui tugasan ketiga iaitu ‘stand up comedy’ sangat mencabar.
Kata pemuda yang mengusahakan perniagaan kereta sewa ini lagi, dia menyertai Skool Of Lawak kerana menyahut cabaran rakan-rakan serta atas sokongan keluarga.
Katanya, rakan dan keluarga adalah pendorong utama buat dirinya.
Tempat kedua dirangkul Filzah Azmi atau Fiza, 25, dari Sarawak yang menerima hadiah wang tunai RM50,000, manakala tempat ketiga diraih Mohd Hazwan Mohd Azani atau One dari Kuala Lumpur dengan wang tunai RM25,000.
Tiga lagi finalis lain yang berentap tetapi menjadi mangsa undian penonton apabila tersingkir selepas ujian kedua iaitu persembahan dengan artis jemputan ialah Ismail Abdullah atau Mail, 36, dari Johor, Nor Azmi Ibrahim, 39 (Azmi, Johor) dan Mohd Yusrishah Tapah, 25 (Yus, Selangor).
Menurut Zam, sebenarnya Yus dan Azmi begitu berbakat dalam ‘stand up comedy’, namun nasib tidak menyebelahi mereka.
Katanya, dia tidak sangka dua peserta yang dianggap sebagai pesaing rapat itu terkandas awal.
“Fiza dan One juga tak kurang hebatnya. Di antara kami semua, masing-masing ada kelebihan sendiri. Jadi, saya sangat bersyukur dengan kemenangan ini. Saya akan berusaha sebaik mungkin untuk menjadi pelawak yang berjaya.
“Masih banyak kelemavhan perlu saya perbaiki dan ia sudah pasti memerlukan masa. Kini, saya mengharapkan peluang untuk bakat ini dikembangkan. Apapun, saya takkan berhenti berusaha sampai di sini saja,” katanya.
Dihoskan Johan dan Jep Sepahtu, persembahan komedi peserta untuk tiga tugasan bertemakan bebas bersama artis jemputan, muzikal dan ‘stand up comedy’ turut dinilai barisan panel juri iaitu Datuk Rosyam Nor, Mamat Khalid dan Prof Razak Mohaideen.
Berlangsung selama 10 minggu, seramai 33 peserta bersaing menonjolkan bakat komedi mereka dan mendapat latihan daripada empat tenaga pengajar.
Diterajui pengarah terkenal, Hafsham sebagai pengetua, pengajar lain ialah Fauziah Nawi, Sabri Yunus dan Khir Rahman.
Skool Of Lawak tetap capai matlamat
Meskipun dilihat seperti kurang mendapat sambutan penonton, namun dakwaan itu disangkal tegas Ketua Kumpulan Saluran Premium Astro Nizam Sani.
Katanya, setiap minggu ‘rating’ dicatat sangat menggalakkan.
“Skool Of Lawak tetap berjaya mencapai matlamat dalam usaha mencungkil dan membentuk bakat komedi peserta menerusi latihan diperoleh daripada tenaga pengajar disediakan. Apatah lagi, formatnya agak berbeza.
“Skool Of Lawak ini diadun untuk menghasilkan bakat komedi serba boleh. Dalam erti kata lain, peserta boleh berlawak secara berkumpulan, solo serta berpasangan. Jadi, ini percubaan baru yang dilakukan,” katanya.
Menyedari sekarang ini sudah banyak program pencarian bakat artis komedi dan pelawak diterbitkan, format yang berbeza sangat penting. Ia bagi memastikan kandungan program disediakan segar, terkini dan berkualiti.
Mengulas mengenai ‘ketepuan bakat’ memandangkan begitu banyak program lawak diterbitkan, Nizam berkata, perkara itu tidak berlaku.
Katanya, kemunculan pelawak baru sangat diperlukan untuk mengisi ruang yang ada.
Turut merancang penerbitan Skool Of Lawak musim kedua, Nizam berkata, kini program itu adalah nafas baru di saluran lawak popular, Astro Warna (saluran 132).
Menurutnya lagi, ketika ini program Raja Lawak direhatkan buat seketika.
Seiring dengan masa yang berlalu, Nizam berkata, adalah wajar program Raja Lawak direhatkan buat sementara waktu supaya perincian teliti pada pembaharuan program itu dapat dikemas kini. Setiap program perlu relevan.
“Apabila sudah sampai masanya, setiap program perlu direhatkan untuk kaji selidik kandungan dimuatkan dinilai semula. Jadi, penambahbaikan dapat dilakukan pada sebarang kekurangan yang ada demi menghiburkan penonton,” katanya.
Pada malam kemuncak final Skool Of Lawak itu, Zam berjaya meraih peratusan undian tertinggi penonton sebanyak 69.8 peratus. Diikuti Fiza pada tangga kedua, sebanyak 41.6 peratus dan One pula hanya meraih 33.9 peratus.
No comments:
Post a Comment