KUALA LUMPUR, 12 APRIL 2014: Genap sudah 15 tahun band yang cukup popular di zaman 90-an, XPDC tidak beraksi di beraksi di mana-mana konsert besar.
Kali terakhir mereka mengadakan konsert khas adalah pada 11 April 1998 di Stadium Negara, Kuala Lumpur dihadapan 13,000 peminat menerusi “Konsert Raksasa XPDC Brutal”.
Kini XPDC yang dianggotai oleh Mael (vokalis), Izo (gitar), Amy (dram) dan Eddie (bass) bakal menggegarkan pentas dengan konsert terbaru mereka iaitu “Return of Rock –XPDC”, yang bertempat di Litar Antarabangsa Sepang pada 26 April 2014.
Menurut Mael selaku vokalis XPDC, kemunculan mereka kali ini atas sebab permintaan peminat-peminat mereka sejak berakhirnya “Konsert Raksasa XPDC Brutal” juga penyatuan semula semua ahli kumpulan XPDC yang sebelum ini mempunyai komitmen kerja dan keluarga.
“Rasanya 15 tahun kami tidak beraksi di sebuah konsert besar seperti di Stadium Negara dahulu. Ramai juga peminat bertanyakan kami adakah XPDC sudah dibubarkan atau masih aktif lagi. Kami masih lagi aktif cuma jarang muncul di kaca televisyen kerana masih tidak mempunyai material baru.
“Namun selepas berbincang dengan pihak Life Records dan juga pihak penganjur SNF Racing, kami ambil keputusan untuk kembali beraksi sebuah konsert yang lebih istimewa. Apa yang istimewa peminat harus hadirkan diri ke konsert ini nanti kerana akan ada kejutan besar selain kami bakal bawakan dua buah lagu baru ciptaan Izo.
“Konsert ini juga adalah penyatuan semula ahli kumpulan XPDC yang sebelum ini sibuk dengan komitmen keluarga dan kerja. Saya akui kami jarang bertemu jadi konsert ini adalah salah satu cara untuk kami semua bersatu dan kembali aktif,”
No comments:
Post a Comment