Drama Nora Elena mengangkat nama Siti Saleha, 24, dalam persada seni lakon tanah air. Sejak itu bakat gadis cantik berdarah kacukan Melayu Inggeris ini kian mendapat perhatian.
Satu demi satu tawaran beraksi di layar lebar dan kaca menyusul dan namanya tersenarai sebagai calon akhir dalam beberapa majlis anugerah berprestij tanah air. Namun belum rezekinya bergelar juara.
Saleha sedar dia perlu bekerja lebih keras jika mahu pengiktirafan itu. Katanya, barangkali apa diusahakan sebelum ini belum cukup melayakkannya membawa pulang trofi idaman ramai anak seni.
“Saya masih baru dalam bidang ini, mungkin rezeki saya lama lagi dan tidak kisah menunggu lebih lama. Andai jadi kenyataan, ia menjadi pelengkap kepada segala usaha dan titik peluh saya.
“Saya masih baru dalam bidang ini, mungkin rezeki saya lama lagi dan tidak kisah menunggu lebih lama. Andai jadi kenyataan, ia menjadi pelengkap kepada segala usaha dan titik peluh saya.
“Selain anugerah, saya berharap 10 tahun lagi akan disenaraikan antara lima pelakon terbaik tanah air dan berdoa diberi peluang membina nama di luar negara. Namun saya sedar bukan mudah merealisasikan impian itu,” katanya yang menceburi lakonan sejak 2008.
Kata Saleha, dia perlu bijak merencana kerjaya seninya. Jika selama ini ramai mengatakan wajahnya lebih sesuai menghidupkan watak baik serta naif, dia nekad mengubah tanggapan itu dengan tampil lebih banyak karakter gelap serta mencabar.
“Di sini (Malaysia) banyak karya ‘selamat’. Sebabnya, kita ada pelbagai agama dan budaya, oleh itu pembikin filem dan drama sangat berhati-hati ketika berkarya.
“Penonton juga tidak suka karya menuntut mereka berfikir, sebaliknya lebih cenderung de-ngan paparan menghiburkan dan mudah difahami. Namun, saya percaya masih ada kelompok penonton yang mahu melihat karya berat serta meninggalkan kesan.
“Saya juga yakin ada yang mahu melihat saya tampil dengan watak berbeza daripada yang pernah saya persembahkan sebelum ini.
“Tahun ini saya mahu bawa lebih banyak watak gelap dan mencabar. Saya mahu jadi pelakon versatil kerana ia memudahkan saya menggapai impian,” katanya.
Tahun ini juga memberi peluang kepadanya meneroka serta menzahirkan karakter yang tidak pernah dibawa sebelum ini. Perkembangan positif itu secara tidak langsung membuatkan lang-kahnya lebih bersemangat.
“Dalam filem Tujuh misalnya, saya bawa watak lesbian dan kemungkinan besar menerusi projek akan datang, super telefilem
Pohon Beringin, saya jadi hantu.
“Saya turut cabar diri bawa watak berat sebagai ibu. Ramai nasihatkan jangan bawa watak ibu kerana saya masih muda, tetapi saya tetap ambil sebab mahukan kelainan.
“Selepas mendapat maklum balas positif menerusi telefilem Luh Mahfuz, saya terima tawaran beraksi dalam drama Ramadan Jangan pergi, arahan Jinggo.
“Menerusi drama untuk slot Samarinda TV3 ini, saya pegang watak Sarah, isteri yang mahu diceraikan suami kerana tergila-gilakan wanita lain. Watak ini menuntut saya banyak menangis.
“Ada beberapa lagi watak berbeza, tetapi saya tidak boleh kongsi kerana belum ada hitam putih,” katanya yang mengimpikan watak psiko dan aksi.
Saleha juga mendedahkan sisi berbeza dirinya yang sukakan aktiviti luar yang lasak seperti tinju, mendaki gunung, rock climbing. Katanya, di rumahnya ada ‘punching bag’.
“Watak psiko dan aksi memang saya idamkan. Insya-Allah kalau diberi peluang saya akan buat sehabis baik. Rasanya tidak ada masalah jika melakukan sendiri adegan aksi kerana saya memang lasak,” katanya.
Saleha akui dari awal pembabitannya sebagai pelakon, dia memilih watak. Sebelum memberi kata persetujuan, jadi kemestian dia akan membaca sinopsis dan mengkaji watak terlebih dulu.
Hanya yang menarik dan terbaik di matanya akan diterima. Bukan sombong atau ‘demand’ kerana selama ini tidak pernah berkira soal bayaran, cuma dia mahu elak dilabel klise dan utamakan kepuasan.
“Memilih watak bagi saya penting jika mahu bertahan lama dalam industri. Saban hari ada saja pendatang baru yang berbakat, jadi kita kena pastikan apa dipersembahkan meninggalkan kesan di hati penonton. Kalau boleh, biar watak itu diingat lama,” katanya.
Bintang filem Mama Cupcake ini berkata, dia kini terikat dengan penggambaran drama 13 episod Manis terbitan KL Motion Pictures. Ia disifatkan pengalaman baru apabila penggambaran hanya dilakukan dalam studio syarikat produksi itu.
“Sebelum ini penggambaran drama atau filem yang saya bintangi membabitkan banyak lokasi. Kami berpindah dari satu tempat ke satu tempat. Berbeza dengan Manis apabila menggunakan lokasi sama. Seronok kerana saya tidak perlu bergerak ke sana sini.
“Selepas Manis, saya akan ke lokasi penggambaran Pohon Beringin. Ada juga beberapa tawaran filem namun masih dalam pertimbangan.
“Alhamdulillah, setakat ini tawaran tak pernah putus. Biasanya sebelum sambung projek seterusnya, saya akan berehat dua minggu untuk segarkan minda dan badan,” katanya.
Selain berlakon, Saleha merancang mengusahakan perniagaan berasaskan fesyen dan kasut. Sebagai langkah awal, dia mula mereka beberapa rekaan kasut.
“Saya memang gila kasut. Pantang nampak yang cantik, saya akan beli. Di rumah saya ada 80 koleksi kasut. Saya lihat bisnes kasut ada masa depan yang cerah. Lagipun belum ramai selebriti tempatan hasilkan kasut. Doakan saya dapat buka bisnes ini,” katanya.
No comments:
Post a Comment