Fuh Gempak Player

21 May 2014

Nabila terajui gamatisme

Dia boleh dikatakan antara pelakon yang sangat berbakat kala ini. Berilah apa saja watak pasti dia berjaya mengha­yatinya.
Dahulu orang mengatakan Nabila Huda cuba menumpang populariti bapa­nya, penyanyi rockterkenal, Amy Search. Namun kini semua orang sudah mampu menilai bahawa Nabila mempunyai pakej dan kelebihan yang tidak perlu dipertikaikan lagi. Dia mampu berdiri dalam bidang seni bersandarkan bakat tersendiri. 
Terbaru Nabila menerajui filem Gamatisme terbitan Pencil Pictures & Records Sdn Bhd yang menjalani penggambaran di Kuang, Selangor. 
Foto
ANTARA babak Nabila dalam filem Gamatisme.
Trauma seketika jadi mangsa rogol 
Boleh dikatakan hampir semua watak yang dibawa Nabila Huda membuahkan hasil dan mendapat maklum balas baik daripada penonton meskipun ada yang tidak suka dengan watak dilakonkannya. 

Namun itulah kejayaan buat seorang pelakon apabila watak jahat mereka bawakan memberi kesan sehingga terbawa-bawa peminat ke luar lokasi penggambaran. 

Selesa dengan watak mencabar, anak jati Kuala Lumpur ini sekali lagi diberi tanggung­jawab memegang peranan yang jarang-jarang dilakukannya melalui filem terbaru terbitan Pencil Pictures & Records Sdn Bhd berjudul Gamatisme. 

Menurutnya, watak berat, dramatik dan banyak bermain dengan emosi memberi kepuasan yang sangat berbaloi padanya. 

Ditemui di lokasi penggambaran filem berkenaan di Kuang, Selangor baru-baru ini, Nabila berkata, dia tertarik dengan jalan cerita Gamatisme. 

Meskipun pernah membawakan watak hampir sama sebelum ini, namun melalui watak sebagai Zara yang dipegangnya, ia lebih mencabar kerana banyak bermain dengan emosi. 

“Sejak mula terbabit dalam lakonan, saya akui lebih tertarik dengan watak yang mencabar dan di luar kemampuan saya kerana melalui watak seperti ini saya tahu sejauh mana kebolehan saya dalam berlakon. Lagipun saya mahu lari daripada watak stereotaip supaya penonton tidak bosan. 

“Apabila membaca naskhah Gamatisme, saya terus tertarik untuk menerima­nya dan melalui tunjuk ajar daripada pengarah, M Hitler Zami, saya berjaya melakonkan watak psiko seperti yang dia mahukan. 

“Maklumlah watak psiko ini ada banyak jenis, malah kadangkala bukan hanya membabitkan emosi saja. Watak saya di dalam filem ini sebagai seorang pelajar yang trauma akibat pernah dirogol beramai-ramai dan ia terbawa-bawa emosi berikutan selepas melahirkan anak dia nekad membunuh bayi berkenaan,” katanya. 

Berkongsi lagi pengalaman menjayakan wataknya dalam Gamatisme, Nabila berkata, dia tidak menjadikan mana-mana filem atau cerita sebagai rujukan kerana tidak mahu terbawa-bawa watak orang lain dalam cerita itu. 

“Saya mahu watak ini kepunyaan saya dan tidak meniru watak mana-mana pelakon lain. Kerana itulah saya tidak menjadikan mana-mana cerita sebagai rujukan. Memang agak sukar untuk melakukannya, melalui pengalaman yang ada saya hayati watak ini dengan sebaiknya. 

“Saya bersyukur abang Hitler banyak membantu dan kerap kali juga saya bertanya padanya adakah watak yang saya bawakan itu memuaskan hatinya dan saya gembira dia berpuas hati dengan apa yang saya berikan,” katanya. 

Mengulas mengenai kariernya, Nabila berkata, dia kini selesa mengambil tawaran berlakon satu persatu. Ini kerana, beberapa tahun kebelakangan ini dia terlalu ligat me­ngambil ba­nyak tawaran dalam satu masa sehingga tiada masa untuk keluarga dan diri sendiri. 

“Saya sudah penat melalui keadaan sibuk setiap masa. Sudah tiba masanya saya lebih fokus pada diri sendiri dan keluarga kerana itulah jika ada kelapangan, saya akan menghabiskan masa bersama anak, Keisha Laila, 5, dan bercuti ke luar negara bersama-samanya serta ahli keluarga yang lain. 

“Memang ada beberapa tawaran yang datang namun terpaksa saya tolak bimbang tidak dapat memberikan perhatian. Buat masa ini saya fokus pada filem Gamastisme dan tamat penggambaran, saya akan berehat sementara kira-kira sebulan. 

“Selepas itu saya mula sibuk di lokasi drama Jalan Mati untuk Slot Aksi TV3 terbitan Film Scape,” katanya.

No comments:

Post a Comment