Tiga suspek (gambar) berusia lingkungan 50-an itu, diburu polis susulan penahanan seorang wanita yang juga isteri pertama suspek pada 9 April lalu, yang juga pekerja mereka.
Mereka mendalangi penipuan itu secara menawarkan pakej umrah pada harga jauh lebih murah berbanding pasaran sejak beberapa tahun lalu.
Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Kuala Lumpur, Asisten Komisioner Izany Abdul Ghany, berkata berdasarkan modus operandi, selepas mangsa membuat pembayaran pakej, syarikat kendalian suspek memaklumkan yang penerbangan dibatalkan atas kelewatan pendaftaran.
Buat bayaran penuh
Mangsa yang sudah membuat bayaran penuh, kemudian akan diberitahu supaya membuat bayaran tambahan tetapi masih gagal menunaikan umrah walaupun selepas wang dimasukkan ke dalam akaun suspek.
Ada juga kes membabitkan mangsa yang berjaya sampai di Makkah untuk menunaikan umrah tetapi sejurus tiba di sana syarikat lain pula mengambil alih pengurusan mereka sebelum dimaklumkan mangsa tidak membuat bayaran, walaupun sebenarnya pakej yang diambil mereka sudah diselesaikan sepenuhnya.
Keadaan itu menyebabkan mangsa perlu membuat bayaran semula bagi menunaikan umrah, selain membiayai tiket penerbangan balik, katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Kuala Lumpur (IPPKL), semalam.
Izany berkata, suspek dikesan menawarkan pakej umrah menerusi laman sosial dan iklan dalam akhbar pada harga yang murah bagi menarik minat orang ramai.
Katanya, setakat ini polis menerima lebih 100 aduan daripada orang ramai yang menjadi mangsa penipuan umrah yang dikendalikan tiga syarikat yang sudah dikenal pasti beroperasi di Lembah Klang.
Polis percaya jenayah penipuan itu dilakukan secara terancang dan kegiatan penipuan ini sedang disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan, katanya.
No comments:
Post a Comment