Fuh Gempak Player

21 Apr 2014

Amar Asyraf: Ibarat abang penyayang

Semalam, zaman kecil pelakon ini terungkai iaitu selain sudah giat berlakon sejak kecil, Amar Asyraf juga perenang hebat dan mahir melakukan renang berirama.
Siri kedua hari ini pula, dua rakan baiknya berkongsi cerita di sebalik keperibadian pelakon lulusan Ijazah Sarjana Muda Teater dan Pengarahan di Akademi Seni Kebangsaan dan Warisan Negara (ASWARA) itu. 
Lebih menarik, teman rapat Amar ramai terdiri daripada wanita, namun itu hakikatnya Amar memang terkenal sebagai abang yang cukup penyayang dalam kalangan mereka. 

Menurut Marina Roslan, 25, yang pernah menjadi rakan sekolejnya di ASWARA, banyak sebab mereka masih akrab sehingga kini dengan Amar meskipun pelakon itu sudah pun terkenal.
Foto
AMAR, Marina, Azlin dan Amani ketika melancong bersama.

Malah, Amar tidak pernah berubah walaupun namanya sudah dikenali dan dia sentiasa meluangkan masa buat Marina serta rakan lain.

“Kami pun baru rapat selepas menjadi rakan sekumpulan untuk projek akhir di ASWARA. Dalam tempoh empat tahun mengenalinya, apa yang mengakrabkan lagi kami adalah kerana selalu lepak serta membuat aktiviti bersama. 

“Dia ibarat abang kepada kami dan sangat penyayang serta menjaga kami dengan baik. Contohnya kalau berlaku perselisihan faham sesiapa antara kami dengan orang lain, dia pun turut mempertahankan kami. 

“Di saat kami berhadapan situasi sukar, dia banyak membantu meskipun kadang-kadang permintaan kami itu agak menyusahkan, tapi dia tidak pernah berkira,” katanya. 

Sehingga saat ini pun, ditanya sejauh mana keakraban mereka sejak Amar sibuk dengan kariernya sebagai pelakon, Marina menyangkal dia sudah jarang meluangkan masa buat mereka. 

Bahkan, apabila mahu melakukan pelbagai aktiviti luar contohnya melancong, mereka yang pertama dihubunginya untuk turut serta selain sering mengajak mereka melepak di rumahnya. 

“Biarpun sudah mendirikan rumah tangga dan sibuk menjaga isterinya Arna yang kini sarat mengandung, dia tidak pernah mengabaikan pun kami, malah rumahnya pun kerap dijadikan ‘port’ lepak kami sekarang ini. 

“Selain itu, kalau pergi bercuti pun dia tidak lupa mengajak kami bahkan pernah menanggung belanja untuk kami melancong bersamanya,” tambah Marina. 


Suka bereksperimen dalam pengarahan 

Seorang lagi rakan rapat Amar iaitu Nik Norimani atau Amani, 27, menyifatkan pelakon terbabit adalah sahabat terbaik di kala susah dan senang. 

Mengimbau kenangan ketika di ASWARA, katanya, pelbagai peristiwa perit dilalui mereka bersama Amar, Marina serta dua lagi rakan karib Ayesha serta Azlin. 

“Bayangkan pada projek akhir di kolej, kami sendiri terpaksa mengeluarkan belanja untuk menanggung segala kos demi menjayakan tugasan berkenaan. 

“Dari situ semakin erat persahabatan kami apabila sama-sama susah mencatu makanan demi berjimat serta teguh bersama walaupun banyak cabaran kami hadapi,” katanya. 

Apapun, seperkara yang pasti bukan saja cukup berbakat dalam lakonan, menurut Amani, Amar sememangnya berpotensi menjadi pengarah hebat suatu hari nanti. 

Semangat serta pendekatan dibuat pelakon itu yang sudah pernah mengarahkan pementasan teater termasuk Rugabadi dan Lelaki Dari Gua sangat tersendiri serta unik. 

“Sebagai pengarah, Amar tidak suka memaksa seseorang pelakon untuk melakukan apa yang dikehendakinya namun ada kebolehan mengesan kemampuan seseorang pelakon itu. 

“Dia akan memberi motivasi kepada pelakon berkenaan dan percaturannya tidak pernah salah apabila akhirnya pelakon itu berjaya melunaskan tugasan. 

“Amar juga sangat suka melakukan eksperimen kepada karyanya dan itu sebenarnya membezakan dia dengan pengarah lain,” katanya.

No comments:

Post a Comment