Fuh Gempak Player

21 Apr 2014

Kisah Salih Yaccob : Rahsia bahagia poligami

Meskipun enggan berkongsi pengalamannya berkahwin empat, pelakon dan penyampai radio Sinar FM, Salih Yaccob akur dengan permintaan pengurusan yang mewujudkan segmen Kisah Salih Yaccob yang mula bersiaran pada 24 Mac lalu.
Program yang mendapat maklum balas positif daripada orang ramai itu memberi peluang kepada Salih atau mesra dengan panggilan SY berkongsi serba sedikit petua dan pengalaman yang dilalui sepanjang berpoligami.
“Ketika program ini hendak diwujudkan saya kurang bersetuju kerana bimbang dikata riak dan cuba menunjuk-nunjuk apabila berkahwin empat. Namun selepas dijelaskan oleh pengurusan saya akur.

“Setiap soalan yang diutarakan juga akan kami bincang bersama sebelum saya mengulasnya. Maklumlah apa yang saya lalui ini tidak sama seperti orang lain. Mungkin ada yang berkahwin empat nasib mereka berbeza seperti saya.
Foto
SALIH bimbang dikata riak kerana beristeri empat.

“Justeru, saya perlu berhati-hati dalam setiap kata-kata bimbang disalah erti oleh ramai pihak. Sebagai manusia, saya juga tidak minta beristeri empat, tetapi ini ketentuan yang perlu saya terima dan jalankan sebagai hambanya,” katanya.

Program Kisah Salih Yaccob berakhir 26 April ini dan pendengar boleh mendengar setiap hari dan setiap jam untuk Salih mengulas mengenai beberapa soalan yang diutarakan melalui laman Facebook Sinar FM. 

Sementara itu, Pengurus Radio Sinar FM Rizal Sahimy berkata, idea mewujudkan segmen itu timbul selepas melihat maklum balas daripada pendengar di Facebook yang pernah mengutarakan perkara ini.

“Kami tahu ini sesuatu yang sensitif untuk dikongsi, tetapi kami juga sudah menetapkan setiap soalan yang ditanya disaring terlebih dulu sebelum disiarkan di radio.

“Apa yang kami mahu ialah pendengar memikirkan daripada sudut positif apa yang baik untuk dijadikan pengajaran pada masa akan datang. Pastinya pengalaman beristeri empat bukan sembarangan orang mampu melaksanakannya.

“Dengan pengalaman Salih mempunyai empat isteri dan hidup aman bahagia pastinya semua mahu tahu apa rahsia yang boleh dikongsi serba sedikit olehnya yang mungkin boleh dijadikan panduan untuk mereka di luar sana tidak kira bujang, berkahwin atau beristeri ramai,” katanya.

No comments:

Post a Comment