Bergelar produser dan pelakon utama pada masa yang sama sangat mencabar buat Datuk Rafiena Ezanee Ramli. Pemilik produksi Dark Wave Pictures Sdn Bhd ini mengakui ingin menyahut cabaran terbesar dalam hidupnya itu dengan projek drama bersiri 28 episod, Perempuan Dalam Pasungan.
Dalam drama arahan pelakon dan penulis skrip yang kini bergelar pengarah, Zul Huzaimy Marzuki itu, Rafiena memegang watak utama sebagai Fariena bergandingan dengan Datuk Eizlan Yusuf (Farid) selaku teraju utamanya.
Secara peribadi, Rafiena, 31, berkata, dia awalnya memang menolak apabila diminta berlakon watak penting dalam drama berkenaan.
“Selain kekangan masa, saya juga tidak mahu orang mempertikaikan kemunculan saya memegang watak utama dalam produksi sendiri.
“Selain kekangan masa, saya juga tidak mahu orang mempertikaikan kemunculan saya memegang watak utama dalam produksi sendiri.
RAFIENA ingin buat ‘comeback’ dalam bidang lakonan.
“Saya juga ingin mengelak cakap-cakap negatif orang di belakang, sebab itu saya menolak ketika ditawarkan pihak Astro untuk bawa watak utama dalam drama ini pada peringkat awal lagi. Saya bimbang dikatakan syok sendiri.
“Namun, selepas berbincang, akhirnya, saya bersetuju berlakon kerana kesesuaian watak, selain adanya pelakon lama yang ingin buat ‘comeback’. Kami juga tonjolkan bakat baru seperti Lia Natalia untuk mewarnai drama ini.
“Alhamdulillah, buat permulaan, drama ini mendapat ‘rating’ yang baik sejak mula ke udara di Astro Prima, minggu lalu. Sebagai pelakon, saya sudah memberikan yang termampu untuk menghidupkan watak dalam drama ini,” ujarnya.
Rafiena berkata demikian pada majlis pelancaran drama bersiri berkenaan yang berlangsung di Hard Rock Cafe (HRC) Kuala Lumpur, baru-baru ini. Hadir sama, Pengurus Saluran Astro Prima, Namanzee Harris.
Ditanya pemilihan Zul Huzaimy sebagai pengarah pula, kata Rafiena, dia pernah bekerjasama dengan pengarah berbakat besar itu sebelum ini.
Selain mengarah, Zul juga turut berlakon dengan memegang watak sebagai Kamarulzaman dalam cerita berkenaan.
“Saya memang rapat dengan Zul Huzaimy sebagai kawan dan selesa bekerja dengannya. Selain produser, saya juga membantu dari segi konsep penceritaan dan Haida Mazni pula sebagai penulis skrip.
“Walaupun berkawan baik kami tetap bertelagah pendapat dari segi jalan cerita drama ini. Namun selepas berbincang, akhirnya persetujuan dapat dicapai kerana masing-masing cukup profesional dalam bekerja.
“Malah apabila mengarah, Zul tidak pernah menganggap saya sebagai produser, sebaliknya memberi layanan sama seperti pelakon lain sepanjang di lokasi penggambaran drama ini,” jelasnya.
Eizlan yakin bakat Rafiena
Selaku Penerbit Eksekutif drama ini, Eizlan berkata, pemilihan Rafiena selaku watak utama diputuskan pihak produksi dan Astro Prima sendiri.
“Memang pihak kami menyenaraikan beberapa pelakon muda dan popular untuk memegang watak utama dalam drama ini. Bagaimanapun, selepas berbincang dengan pihak produksi dan Astro, pihak kami putuskan watak Fariena paling tepat untuk dilakonkan Rafiena sendiri.
“Saya yakin Rafiena mampu menjiwai watak Fariena dengan baik kerana dia berbakat besar serta berpengalaman selama 13 tahun dalam bidang ini. Walaupun produser, dia tidak menimbulkan masalah atau berlagak diva di lokasi penggambaran,” katanya.
Eizlan yang sudah lebih setahun menyertai produksi Dark Wave Pictures Sdn Bhd turut memberitahu pihak produksi juga akan menerbitkan beberapa projek drama lain selepas ini.
Drama bersiri ini menampilkan gabungan barisan pelakon baru dan lama seperti Datuk Jalaluddin Hassan (ayah Fariena), Aida Khalida (ibu Fariena), Lia Natalia (Alisya), Farahdhiya (Farah), Roy Azman (Alex), Rahim Jailani, Rosnah Mat Aris, Shah Iskandar, Safura, Mubarak Majid, Kismah Johar dan Dian P Ramlee.
Drama bersiri Perempuan Dalam Pasungan ini mengenai perjalanan hidup Fariena yang ‘dipasung’ dalam ‘takdir’ hidupnya sendiri. Percintaan yang terjalin sejak dari bangku sekolah dengan Kamarulzaman ditentang keras kedua-dua ibu dan bapanya kerana berbeza darjat.
Papa Fariena memperkenalkannya kepada Farid yang akhirnya berjaya membuat Fariena jatuh cinta padanya. Farah pula kawan baik Fariena yang terlalu cintakan Alex, tetapi lelaki itu pula menaruh hati pada Fariena.
Farid pula dipaksa berkahwin dengan Alisya yang juga anak orang gaji oleh ayahnya. Walaupun ibunya menentang keras, namun dia tidak mampu berbuat apa-apa. Farid terpaksa menerima Alisya sebagai isterinya kerana terpaksa.
Fariena pula nekad kembali ke Kuala Lumpur dari Amsterdam dan menuntut kembali janji Farid. Pada masa sama, Farid sudah mula sayangkan Alisya dan anak mereka, Adelia. Farah yang berasa bersalah dengan apa yang berlaku cuba menyatukan kembali cinta Farid dan Fariena.
Drama bersiri Perempuan Dalam Pasungan bersiaran setiap Isnin hingga Khamis, jam 5 petang di Astro Prima (saluran 105) & Maya HD (saluran 135).
No comments:
Post a Comment