Fuh Gempak Player

28 Apr 2014

Isteri bukan pesaing

Tidak pernah merasa tercabar dengan populariti dimiliki Bunga Citra Lestari, pelakon,Ashraf Sinclair menganggap isterinya itu bukan pesaingnya. Sebaliknya dia berbangga apabila mempunyai seorang isteri yang gigih bekerja hingga berjaya ke tahap sekarang.
Mengambil keputusan menetap terus di negara kelahiran Bunga, Indonesia di samping mengembangkan karier lakonannya, Ashraf yang semakin dikenali di negara seberang itu gembira dengan sambutan daripada peminat di sana.
“Saya semakin sibuk dengan jadual penggambaran. Terbaru saya menjalani penggambaran drama bersiri Pashmina Aisyah untuk tayangan saluran RCTI yang meng­gandingkan saya bersama Aura Kasih, Baim Wong dan Giovanni L Tobing.

“Tiada istilah tercabar atau disaingi isteri sendiri dalam soal populariti ini kerana kami bekerja sama-sama. Apabila isteri lebih dikenali semestinya kerana dia sudah lama menempa nama di Indonesia.
Foto
BUNGA dan Ashraf sentiasa berkomunikasi untuk mewujudkan persefahaman.

“Saya pula lebih dikenali di Malaysia dan kini bergiat aktif di sana. Dengan apa yang dia miliki sebagai suami saya sangat berbangga dan sentiasa menyokongnya,” kata Ashraf ketika ditemui pada pelancaran produk terbaru Lux, baru-baru ini.

Ashraf hadir bersama Bunga yang turut menjadi duta produk mandian berkenaan yang juga dihadiri duta Lux Malaysia, pelakon, Nur Fazura.

Menyentuh mengenai perhubungan mereka yang masih utuh sehingga kini, Ashraf bersyukur kerana persefahaman yang ada menguatkan lagi perkahwinan mereka yang memasuki usia enam tahun ditambah lagi kehadiran cahaya mata sulung, Noah Sinclair yang kini berusia tiga tahun setengah.

“Saya gembira dengan kehidupan sekarang. Meskipun kami sentiasa sibuk dengan kerja, peluang untuk bersama keluarga sentiasa ada apatah lagi bersama Noah, kami sentiasa mencuri masa melayan kerenahnya.

“Walau sesibuk mana sekali pun, keluarga tetap menjadi keutamaan pada kami dan bagi memastikan Noah sentiasa bersama, saya dan isteri membawanya ke lokasi penggambaran. Jika tiada kerja kami akan menghabiskan masa bercuti bersama.

“Sejak kecil Noah sudah terdedah dengan dunia kami yang sentiasa sibuk sehingga dia menjadi biasa dan kadang kala dia sendiri yang mahu ikut kami ke lokasi,” katanya.

Ashraf berkata, disebab­kan hal itu Noah pernah ditawarkan oleh beberapa produksi untuk berlakon iklan mereka namun mereka masih mempertimbang­kannya.

“Dia masih kecil tetapi sudah terdedah dengan dunia kerja seperti orang dewasa, memang pada awal kami bimbang keselamatannya maklumlah apa saja perkara boleh terjadi.

“Sejak awal kami tidak berniat mendedahkan dia kepada umum, tetapi biasalah sebagai selebriti apa saja peminat mahu tahu mengenai kami. Noah mendapat popularitinya sendiri yang mana peminat saya dan Bunga sentiasa mahu tahu perkembangan­nya,” katanya.


Bertuah miliki Ashraf

Bunga sangat bersyukur kerana memiliki suami yang begitu memahami seperti Ashraf.

Persefahaman yang ada membuatkan komunikasi dan segala urusan rumah tangga mereka berjalan lancar, malah perniagaan makanan mereka semakin berkembang dan kini Bunga dan Ashraf sudah mempu­nyai lima kedai makan di sekitar Jakarta dan bercadang membuka satu cawa­ngan lagi di Bali.

“Saya adalah wanita bertuah kerana mempunyai suami seperti Ashraf. Dia banyak membantu melancarkan kehidupan kami sekeluarga.

“Walaupun sibuk, dia dan saya sentiasa mencari waktu untuk bersama-sama keluarga serta pergi bercuti. Memang sukar mengatur semua itu dengan kesibukan bekerja sebagai pelakon dan penyanyi ditambah dengan perniagaan kedai makan kami ia adalah perkara yang sangat mencabar,” katanya.

Mengulas mengenai perkembangan terbaru­nya, Bunga kini lebih selesa memberi fokus terhadap bidang nyanyian selepas menerima kejayaan besar terhadap filem lakonannya, Habibie dan Ainun.

“Buat masa sekarang saya akan memberi fokus terhadap album ketiga saya, Best of BCL yang dilancarkan di sini, di samping itu saya akan melancarkan album keempat di Indonesia hujung tahun ini.

“Selepas melihat kejayaan yang diterima terhadap filem Habibie dan Ainun, saya rasa perlu memberi ruang kepada diri untuk berehat seketika daripada lakonan dan cuba mencari watak berbeza yang mungkin ketika itu akan membuatkan peminat lupa untuk memanggil saya Ainun,” katanya yang merancang untuk menimang anak kedua.

No comments:

Post a Comment