Fuh Gempak Player

28 Apr 2014

Watak Bachok melekat

Keberkesanan watak Bachok yang dibawakannya menerusi filem seram Toyol pada 1981 melonjakkan nama Sidek Hussain dalam kalangan peminat. Watak itu juga melekat kepadanya sehingga ke mana-manapun orang akan memanggilnya dengan nama Bachok.
Cerita ini meninggalkan kesan yang mendalam terutama kanak-kanak yang terbuai-buai dengan imej toyol yang ditampilkan. Bahkan Toyol turut dianggap filem retro seram terbaik pernah dihasilkan dalam industri perfileman tanah air
Rentetan daripada watak ini juga, Sidek terus diberikan kepercayaan melakonkan watak antagonis yang dijayakannya dengan baik. Ramai yang membencinya walaupun hakikatnya itu cuma lakonan. Antara filem lain yang dibintanginya ialah Langit Petang, Potret Maria dan Karak. 

Bagaimanapun, kehebatan lakonan Sidek tidak dapat disaksikan lagi kerana beliau sudah meninggalkan kita buat selama-lamanya pada jam 1.55 malam kelmarin.
Foto
ALLAHYARHAM Sidek bersama isteri semasa hayatnya. Gambar kecil, aksi penuh perasaan Sidek dalam sebuah drama.

Allahyarham Sidek Hussain, 63, meninggal dunia di Hospital Kuala Lumpur (HKL) akibat kanser tahap empat. Arwah dimasukkan ke HKL pada 30 Mac lalu sejurus pengsan ketika membeli barang untuk cucunya. Hasil pemeriksaan doktor mendapati ketumbuhan pada pipinya sejak lebih tiga dekad lalu itu adalah sejenis kanser.

Ketumbuhan yang mencapai berat dua kilogram itu pada peringkat permulaannya muncul ketika Sidek berusia 20-an. Dia enggan melakukan pembedahan kerana mahu mengekalkan kelebihan yang ada pada wajahnya. Bahkan dia juga berhasrat mengadap Allah dengan keadaan asal tanpa pembedahan. 

Biarpun Sidek sudah tiada, kenangan bersama akan kekal terpahat di ingatan mereka yang pernah bekerjasama dan akrab dengannya sejak dulu sehingga kini. Rata-rata semuanya menyifatkan arwah seorang yang baik dan sangat komitmen dalam kerjanya. 

Antara mereka yang rapat dengan Allahyarham ialah orang lama RTM, Hasiah Ariffin yang banyak mengarah drama lakonan Sidek. 

“Saya mula kenal arwah apabila dia berlakon drama RTM seperti Potret Pekerti dan Drama Minggu Ini. Sidek seorang yang sangat dedikasi dan komited pada kerja. Di sebalik wajahnya yang serius, dia seorang yang baik hati. 

“Walaupun namanya besar, dia sangat bertolak ansur tanpa memilih watak diberikan. Tak kira besar atau kecil watak itu, semuanya akan dibawakan dengan penuh tanggungjawab. Ini ciri-ciri yang membuatkan dia disenangi ramai kawan,” katanya. 

Menurut Hasiah, hubungan baik mereka berlarutan sehingga di luar lokasi penggambaran. Bahkan ketika mengunjunginya di rumah baru-baru ini, Sidek ada menghadiahkan barangan yang dibelinya ketika menunaikan umrah. 

“Saya sempat melawatnya sebelum arwah dimasukkan ke hospital. Terkejut dibuatnya apabila arwah tiba-tiba memberikan hadiah yang dibeli ketika buat umrah. Saya sangat terharu kerana dia begitu menghargai rakan-rakan. Sidek menghormati rakan-rakan, sekali gus membuatkan ramai menyenanginya,” katanya. 

Rakan baiknya, Abu Bakar Omar berkata, sejak mengenali Allahyarham pada awal 1970-an, mereka kekal bersahabat sehingga detik akhir kematian Sidek. 

“Ketika itu arwah sudah menang Pelakon Lelaki Terbaik Televisyen 1977 pada Anugerah Seri Angkasa tapi dia tak sombong. Orangnya nampak kasar tapi Sidek sangat baik dan tak kedekut ilmu. Dia akan bantu apa saja pertolongan yang diminta. Ini yang buat kami jadi rapat. 

“Saya bersama Omar Abdullah memang berada di HKL ketika akhir hayat Allahyarham. Dia beritahu keadaannya tak selesa. Percakapannya juga tak berapa jelas. Melihatkan keadaannya, saya ajar dia mengucap dan membaca beberapa surah al-Quran. Alhamdulillah dia dapat mengikuti apa yang diajarkan sebelum menghembuskan nafas buat selama-lamanya,” katanya. 

Dalam pada itu, Presiden Eksekutif KRU Studios Norman Abdul Halim yang menerbitkan filem Karak mengakui senang berurusan dengan Sidek. 

“Memang ketara perbezaan antara Allahyarham dan pelakon generasi baru. Sidek tak pernah timbulkan sebarang masalah ketika di lokasi. Bahkan dia turut bagi idea kepada kami bagaimana untuk membawakan wataknya sebagai orang asli dengan lebih berkesan. 

“Allahyarham buat kaji selidik sendiri tanpa disuruh. Orang biasa saja walaupun namanya bukan calang-calang. Paling dipuji, Sidek juga bersungguh-sungguh turun padang untuk buat promosi filem ini di mana-mana saja. Ia berbeza dengan sesetengah pelakon lain yang susah nak bagi kerjasama jika hanya berlakon watak sampingan,” katanya. 

Bagi isterinya, Sabiah Sulaiman, 61, di sebalik karakter antagonis yang dibawakan, Allahyarham suami yang baik. 

“Arwah cuma berpesan supaya jenazahnya dikebumikan di kampungnya di Tanah Perkuburan Islam Kuang dan permintaannya ini ditunaikan. Tak dinafikan, saya berasa kehilangan kerana sebelum ini ke mana-mana pun berdua. Bagaimanapun, saya reda dengan pemergiannya,” katanya yang hidup selama 25 tahun dengan Sidek. 

Pasangan ini dikurniakan seorang anak lelaki, Mohd Adam, 24. Sidek turut mempunyai empat anak bersama isteri pertama. 


Bangga anak-anak berjaya 

Biarpun berlakon sepenuh masa, Allahyarham Sidek mampu menyara kelima-lima anaknya sehingga berjaya dalam hidup masing-masing. 

Anak pertama, Siti Hajar, lulusan Universiti Teknologi Mara (UiTM) kini bertugas sebagai guru. Anak kedua Umi Kalsom, lulusan Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) turut bekerja sebagai guru. Anak ketiganya Khairul Mizan, bertugas di Bank Negara. 

Manakala Siti Mariam, lulusan Universiti Teknologi Malaysia (UTM) bertugas di sebuah syarikat pengiklanan. Mohd Adam pula lulusan bidang perubatan dan pembedahan di Universiti Malaya (UM) dan kini bertugas di Sabah.

No comments:

Post a Comment