Fuh Gempak Player

30 Apr 2014

Jamie puas pegang watak Electro

Ketika Peter Parker baru menemui kuasa luar biasa dalam filem The Amazing Spider-Man pada 2012, dia bertarung dengan musuh pertama iaitu Li­zard demi menjaga keamanan bandar raya Manhattan di New York .
Kini, wira komik Marvel itu berdepan musuh lebih kuat iaitu Electro dalam siri terbaru The Amazing Spider-Man 2 yang mula ditayangkan di pawagam seluruh negara hari ini. 
Arahan Marc Webb, saksikan pelakon British Andrew Garfield kembali beraksi sebagai Spider-Man dan Peter Parker manakala Emma Stone memegang watak Gwen Stacy, kekasih Peter Parker. 

Dalam sekuel itu, pelakon serba boleh Jamie Foxx melakonkan watak Max Dillon, kakitangan syarikat Oscorp yang kemudian berubah menjadi Electro kesan kemalangan di dalam makmal saintis.
Foto

Sebelum menjadi penjahat, Dillon adalah peminat Spider-Man selepas wira itu menyelamatkannya daripada diancam Aleksei Sytsevich.

Mengulas mengenai wataknya sebagai Electro, Jamie berkata, filem itu akan memaparkan kehidupan Dillon sebelum dan selepas memperoleh kuasa luar biasa. 

“Dillon bekerja sebagai juruelektrik dan di awal jalan cerita dia adalah peminat setia Spider-Man sehingga menjadi obses dengan wira itu,” katanya. 

Menurut pemenang Pelakon Lelaki Terbaik Academy Awards 2004 menerusi filem Ray ini, sikap Dillon mula berubah selepas terjatuh dalam kolam penuh dengan belut elektrik ketika bertugas di Oscorp. 

“Kesan daripada beberapa kajian dijalankan syarikat itu, badan Dillon berubah menjadi biru dan dia turut memiliki kuasa mengawal dan menghasilkan tenaga elektrik. 

“Sesiapa yang cuba menyentuh Dillon akan dihapuskan. Spider-Man terpaksa berdepan ancaman musuh baru yang memiliki kuasa hebat,” katanya. 

Berkongsi pengalamannya berlakon dalam filem itu, Foxx berkata, The Amazing Spider-Man 2 adalah filem superhero pertamanya. 

“Electro adalah anggota kumpulan penjahat Sinister Six dan berdasarkan Ultimate Series of Spider-Man, penjahat itu selalu dipintas namun dia kemudian muncul kembali. 

“Berlakon dalam set yang berlatarkan skrin hijau serta bertindak balas terhadap imej memberi cabaran kepada saya,” katanya. 


Dicelup dalam lilin empat jam 

Mengenai kostum Electro pula, Foxx berkata, dia terpaksa melalui solekan lebih empat jam setengah untuk menghasilkan karakter penjahat itu. 

“Tiada sesiapa boleh nampak wajah saya. Ramai berkata Electro dihasilkan menggunakan teknik Imej Janaan Komputer (CGI). 

“Bayangkan saya ‘dicelup’ dalam lilin selama empat jam sete­ngah sebelum seluruh badan saya disaluti silikon. Seluruh badan saya kelihatan seperti skrin biru,” katanya. 

Namun menurut pelakon itu, filem The Amazing Spider-Man 2 hanya permulaan mengenai kemampuan Electro dan mungkin akan muncul dalam sekuel seterusnya. 

“Saya difahamkan terdapat perbincangan untuk menghasilkan sekuel menampilkan Sinister Six yang cuba menentang Spider-Man. Electro tidak boleh mati dan dia akan pergi ke tempat lain,” ujarnya.

No comments:

Post a Comment