Mengikuti penggambaran filem atau drama di negara asing mungkin bukan mudah bagi sesetengah pelakon lebih-lebih lagi jika cabaran itu membabitkan masalah komunikasi.
Itu cabaran dihadapi pelakon sinetron dari Indonesia, Dewi Amanda sepanjang penggambaran filem Bahaya Cinta arahan Yusof Kelana di Hanoi, Vietnam.
Berkongsi pengalaman kali pertama berlakon di negara itu, Dewi berkata, dia terpaksa menggunakan bahasa isyarat untuk berkomunikasi dengan pelakon tempatan.
“Disebabkan mereka kurang fasih berbahasa Inggeris, saya berdepan kesukaran untuk menjelaskan sesuatu kepada kru dan pelakon,” katanya yang memegang watak sebagai Rebecca.
“Disebabkan mereka kurang fasih berbahasa Inggeris, saya berdepan kesukaran untuk menjelaskan sesuatu kepada kru dan pelakon,” katanya yang memegang watak sebagai Rebecca.

DEWI Amanda dan Nguyen seronok bergandingan bersama.
Menurut pelakon berusia 27 tahun itu, disebabkan masalah komunikasi, jurusolek memberi solekan dan dandanan seperti menghadiri majlis parti.
“Pengarah mahu konsep solek di Runway dan saya cuba terangkan kepada jurusolek itu tetapi dia tidak faham. Hanya seorang jurubahasa di lokasi penggambaran dan ketika itu dia sangat sibuk,” katanya.
Mengenai cabaran lain dalam filem itu, Dewi berkata, kaki dan tangannya lebam akibat terjatuh ketika melakukan aksi gaduh.
“Saya tidak pernah menyertai kelas seni pertahanan diri dan aksi seperti gaduh dan menembak dipelajari sendiri,” katanya.
Mengulas mengenai wataknya, pelakon itu berkata, Rebecca adalah pelancong di Hanoi dan dikejar sekumpulan penjahat yang mahu mendapatkan dadah yang diletakkan dalam begnya.
“Rebecca ditangkap penjahat itu sebelum diselamatkan seorang jejaka bernama Adam. Selepas itu, dia mula jatuh cinta dengan Adam,” katanya.
Bagi pelakon muda kelahiran Vietnam, Nguyen Thi Ha Dan pula, babak menangis disebabkan cinta paling sukar dibawa walaupun mempunyai pengalaman berlakon sejak berusia lapan tahun.
“Saya memegang watak sebagai Dong Ai, gadis Vietnam yang lari ke Malaysia. Terdapat babak menangis kerana terpaksa meninggalkan kekasih memang sukar dilakukan.
“Sebelum ini saya tiada masalah menangis ketika berlakon namun disebabkan tidak pernah merasai pengalaman bercinta, jadi saya sukar mengalir air mata,” katanya.
Namun dengan sokongan dan kesabaran pengarah, pelakon berusia 19 tahun itu yang juga pelajar jurusan ekonomi di Universiti The National Economics, Hanoi mampu melakonkan babak berkenaan dengan baik.
“Pengalaman berlakon dalam filem ini mematangkan diri saya dan berharap akan diberi peluang lagi untuk bekerjasama dengan industri perfileman Malaysia pada masa depan,” katanya.
Justeru, anak kedua daripada tiga beradik itu berkata, dia mahu mempertingkatkan kemahiran bahasa Inggeris bagi membolehkannya mengorak langkah ke pentas antarabangsa sebaris pelakon Asia lain yang berjaya mencipta nama di Hollywood.
Bahaya Cinta mula ditayangkan pada hari ini menampilkan barisan bintang Adam AF2, Datuk Jalaludin Hassan, Fadilah Mansor dan Man Raja Lawak bersama pelakon Vietnam Luong Giang, Nguyen Duc Hung dan Ha Dan termasuk pelakon Indonesia, Dewi Amanda.
No comments:
Post a Comment