Ramai penggiat seni melahirkan rasa sedih dengan kematian Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Tune Studios, Jeremy Ahmad Maikel atau lebih dikenali dengan nama Jeremy Little yang meninggal dunia di Makkah Selasa lalu ketika menjalani ibadah umrah.
Berita kematian Jeremy, 31, yang juga penerbit filem Kil turut mendapat perhatian ulama terkenal, Mufti Ismail Menk dari Makkah yang memuat naik status mengenai kematian Jeremy di laman sosial miliknya dan meminta orang ramai mendoakan kesejahteraan Allahyarham.
“Seorang rakan karib dan saudara saya, Jeremy Little, dari Malaysia baru saja meninggal di Tanah Suci Makkah Al Mukarramah ketika mengerjakan umrah.
“Ia sebuah tempat yang cukup dirahmati untuk kembali ke pangkuan Ilahi buat pemuda yang mencetak dan mengedarkan ribuan CD saya secara percuma, setiap tahun,” tulis ulama itu di Facebooknya.
“Ia sebuah tempat yang cukup dirahmati untuk kembali ke pangkuan Ilahi buat pemuda yang mencetak dan mengedarkan ribuan CD saya secara percuma, setiap tahun,” tulis ulama itu di Facebooknya.
KETIKA filem terbitannya Kil meraih empat anugerah di Anugerah Skrin 2013.
Difahamkan, Jeremy meninggal dunia akibat leukemia yang dideritainya sejak dua tahun lalu.
Semasa hayatnya, Jeremy mempunyai hubungan baik dengan semua pihak. Allahyarham disegani dan dihormati kerana kesungguhan dan kerja kerasnya dalam memartabatkan muzik dan filem bebas.
Dia yang menguruskan syarikat rakaman Laguna Music berjaya menghasilkan beberapa band indipendent seperti SevenCollar T-Shirt, Estrella, Guba dan Lab The Rat yang dikenali ramai.
Jeremy juga adalah anggota band rapcore dan reggae iaitu Prana di mana dia memainkan peranan sebagai DJ.
Selain itu, Jeremy juga pernah memenangi Cleo 50 Most Eligible Bachelor 2006.
Pencapaian terbaik sepanjang kariernya ialah apabila filem Kil yang diterbitkan bersama dua lagi rakannya, Nik Amir dan Rewan Ishak mendapat empat anugerah iaitu Kategori Filem Terbaik, Lakon Layar (Skrip) Terbaik, Pelakon Wanita Terbaik dan Pengarah Terbaik dalam Anugerah Skrin 2013.
Penggiat seni dan penganjur konsert terkenal, Jennifer Thompson berkata, pemergian Jeremy membuatkan industri filem dan muzik kehilangan pelapis seni yang hebat.
“Saya kenal Jeremy ketika dia mula menceburi perniagaan berkaitan seni. Ketika itu ibunya bertindak sebagai pengurus dan berhasrat masukkan Prana untuk beraksi dalam Anugerah Industri Muzik (AIM). Saya lihat Jeremy seorang yang berbakat dan sangat sopan.
“Dia juga seorang yang komited dalam apa saja yang dilakukannya,” katanya yang sempat melawat Jeremy ketika sedang sakit.
Pandangan serupa turut dikongsi pemilik Orange Octopus, sebuah syarikat konsultan dan pengurusan artis, Mas Ayie Mas Omar.
Menurutnya, ketika awal membabitkan diri dalam bidang seni, Jeremy sememangnya rajin belajar perkara berkaitan industri.
“Dia masuk dalam bidang seni sebagai anggota band Prana dan pemilik Laguna Music. Yang bagusnya dia sanggup belajar pelbagai perkara dan saya bantu sebaik mungkin. Di sini saya dapat lihat dia seorang yang berfikiran terbuka serta sangat merendah diri.
“Biarpun jarang berjumpanya selepas itu, saya masih mengikuti perkembangannya dan gembira kerana dia terus berjuang untuk industri seni. Seperkara lagi, dia mempunyai hubungan mesra dengan semua orang dan sikapnya ini banyak membantu kariernya,” katanya.
No comments:
Post a Comment