Agak lama juga pengarah Khusiary Mahayuddin mendiamkan diri dari pentas teater hingga ramai yang merindui sentuhannya yang banyak menyentuh aspek masyarakat, sosial dan budaya.
Terbaru, dia mempertaruhkan teater monodrama berjudul Bomoh Dharai yang bakal dipentaskan di Auditorium Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) pada 8 hingga 10 Mei depan bermula jam 8.30 malam.
Teater tulisan Dudok dan Nazri Ahmad terbitan grup teater Citera ini hanya menampilkan dua pelakon iaitu Nazri Ahmad bersama Ani Maiyuni.
Menurut Khusiary, Bomoh Dharai membawa dua cerita menarik antara si bomoh dan si dharai atau mak nyah yang sering kali berlaku dalam kehidupan masyarakat.
Menurut Khusiary, Bomoh Dharai membawa dua cerita menarik antara si bomoh dan si dharai atau mak nyah yang sering kali berlaku dalam kehidupan masyarakat.
“Kandungan ceritanya memaparkan isu-isu kemanusiaan yang membuai emosi dan menyentuh perasaan. Indahnya kehidupan dengan warna-warna kelucuan dan kesedihan.
“Kita tahu kerjaya bomoh sering menerima perhatian ramai. Dalam cerita ini, si bomoh menyatakan kegusaran hatinya apabila bidang kerja mendapat perhatian di mata perundangan negara,” katanya.
Khusiary berkata, pengajarannya diperlihatkan apabila bomoh ini menerima padah apabila belaan ghaibnya sendiri membuat perhitungan dengan dirinya.
“Si bomoh menerima hukuman tanpa perlu perbicaraan undang-undang. Karma manusia yang berhubung dengan alam ghaib serta mistik sukar dan subjektif untuk ditentukan.
“Kisah si dharai pula berkisarkan kepiluan apabila pekerjaan ini mencetus pelbagai kekecohan di sebuah pekan kecil.
“Tuduhan demi tuduhan dilemparkan buat dharai yang menjadi ratu di sebuah funfair milik tauke Leong. Dirinya menjadi rebutan lelaki di funfair sehingga menimbulkan keretakan rumah tangga serta menjadi punca perbalahan sesama pengunjung yang dahagakan hiburan,” katanya.
Menurut Khusiary, cerita yang ditampilkan mempunyai mesej tersendiri dan bukan sekadar hiburan semata-mata.
Baginya, bagaimana bentuk pengakhiran kehidupan seseorang semuanya adalah ketentuan Allah.
Tiket untuk menonton teater ini berharga RM20 untuk dewasa dan RM10 untuk pelajar sekolah.
No comments:
Post a Comment