Awalnya kelihatan seakan-akan misi mustahil. Bagaimanapun, menerusi perancangan teliti dan keazaman semua pihak, usaha Astro Warna mencipta sejarah mengadakan siaran secara langsung selama 24 jam pada 25 April lalu akhirnya menjadi kenyataan.
Siaran selama 24 jam itu dimulakan dengan pertandingan akhir Skool of Lawak yang bermula pada jam 10 malam. Seterusnya disusuli dengan pelbagai program lain iaitu Buletin Lawak, Sembang Teh Tarik, Karoot Komedia X, Betul Ke Bohong, Kuali Terbalik dan pelbagai lagi program secara langsung yang berakhir pada jam 10 malam 26 April lalu.
Usaha ini tidak sia-sia kerana mendapat pengiktirafan daripada Malaysia Book of Records kerana julung kali diadakan oleh sebuah stesen penyiaran.
Ketua Kumpulan Saluran Premium Astro Nizam Sani berkata, inisiatif ini dilakukan mereka sebagai mengiktiraf jenama lawak yang diangkat menerusi saluran Astro Warna.
Ketua Kumpulan Saluran Premium Astro Nizam Sani berkata, inisiatif ini dilakukan mereka sebagai mengiktiraf jenama lawak yang diangkat menerusi saluran Astro Warna.

KECERIAAN menanti saat akhir melengkapkan detik 24 jam bersiaran langsung.
“Sebelum ini kami pernah buat Anugerah Lawak yang dapat sambutan hangat dan akan diteruskan lagi. Buat masa ini kami hadir dengan program lawak secara langsung selama 24 jam pula. Biasanya program sebegini dibuat secara rakaman, tapi kami cuba buat kelainan apabila terbitkan secara langsung buat penonton.
“Bagi menggantikan Skool of Lawak yang sudah berakhir, kami akan menyiarkan pula program Terbaik Toq yang ke udara secara langsung pada jam 10 malam esok. Setiap Jumaat kami akan buat program lawak secara langsung kepada penonton yang menyokong Astro Warna.
“Konsep Terbaik Toq ialah mengimbas semula kisah peserta final Maharaja Lawak Mega. Mereka akan diundang ke situ dan berkongsi pengalaman dengan pengacara Datuk AC Mizal selama sejam. Penonton akan dapat melihat kisah peserta daripada awal bertapak dalam bidang seni sehingga kejayaan mereka.
“Menariknya, kami juga akan paparkan kisah mereka yang tak diketahui penonton sebelum ini,” katanya.
Tidak terhenti di situ, Astro Warna akan terus menyajikan lawak terbaik dengan menerbitkan pula program secara langsung Havoc Warna menampilkan pengacara Along, Sharifah Sakinah, Atoo, AC dan Rahim dengan lima segmen yang menarik.
“Ia sebuah program multi-format di mana ada ‘prank’ kepada artis dan lintas langsung di beberapa lokasi terpilih. Setiap pengacaranya ada peranan tersendiri bagi menjayakan program ini. Biarpun diakui mengadakan persembahan sebegini memerlukan kos tinggi, kami sanggup berbuat demikian kerana hasilnya sangat berbaloi untuk kepuasan peminat.
“Mengenai Anugerah Lawak, ia akan diadakan kembali pada 15 Ogos ini. Sesi penjurian akan dibuat pada Ramadan manakala Super Spontan musim ketiga pula akan berlangsung selepas itu selama 10 minggu. Pengisian kali ini lebih menarik dan menghiburkan penonton,” katanya.
Nizam berkata, pihaknya sudah menyusun agenda terbaik sepanjang tahun ini dan program kegilaan ramai Maharaja Lawak Mega (MLM) menemui penonton bermula 30 Oktober ini.
“Kami tahu ramai yang tertunggu-tunggu MLM akan bersiaran. Seperti biasa kami akan bermula dengan ‘hot seat’ selama dua episod dan selepas itu baru program sebenar berlangsung 17 minggu dan berakhir pada 6 Februari tahun depan.
“Insya-Allah muka-muka lama dalam industri akan kembali menyertai program ini. Seperti biasa kami akan menampilkan barisan juri dari Malaysia, Singapura dan Indonesia. Yang pasti mereka bukan pelawak. Kami juga akan membuka peluang kepada pelawak dari Singapura dan Indonesia dan bercadang menampilkan 15 peserta dalam MLM,” katanya.
Menurutnya, seperti sebelumnya program Super Spontan dan MLM akan bersiaran dari luar Kuala Lumpur sebagai menghargai sokongan penonton di seluruh negara.
“Kami sentiasa mahu dekat dengan peminat. Astro Warna sering mencari idea baru untuk dikembangkan. Ada program kami yang asalnya kecil akhirnya dikembangkan kepada setengah jam selepas mendapat respon baik dari penonton,” katanya.
No comments:
Post a Comment