Bukan saja dikenali sebagai bandar raya paling unggul untuk dihuni, Melbourne yang juga bandar raya kedua terbesar di Australia turut dikenali sebagai pusat kebudayaan, fesyen dan syurga beli-belah yang menjadi tumpuan pelancong dari seluruh dunia.
Keunikan bandar kosmopolitan yang terletak di Wilayah Victoria inilah yang menjadi tarikan utama dalam drama bersiri sebanyak 60 episod, Kusinero Cinta terbitan Global Station Sdn Bhd (Global Station) dengan kerjasama Tourism Australia dan Tourism Victoria.
Bagi meninjau tempat menarik di sekitar Melbourne, rombongan produksi membabitkan pengarah, pelakon dan kru drama Kusinero Cinta serta wakil media tempatan diterbangkan dengan pesawat Penerbangan Malaysia (MAS) untuk menjalani penggambaran di Melbourne pada 12 hingga 23 April lalu.
Rombongan produksi dan kru dari Malaysia diketuai Penerbit Eksekutif, Global Station, Zetty Alia Ramly; pengarahnya Feroz Kader dan pelakon utamanya iaitu Aaron Aziz, Tiz Zaqyah, Shakilla Khoriri dan aktor terkenal Filipina, Jericho Rosales.
Rombongan produksi dan kru dari Malaysia diketuai Penerbit Eksekutif, Global Station, Zetty Alia Ramly; pengarahnya Feroz Kader dan pelakon utamanya iaitu Aaron Aziz, Tiz Zaqyah, Shakilla Khoriri dan aktor terkenal Filipina, Jericho Rosales.

AARON, Tiz Zaqyah dan Jericho bergambar berlatarkan keindahan ladang epal di Rayners Stone Fruit Orchard.
Antara tempat menarik yang diteroka sepanjang penggambaran di sekitar Melbourne ialah Yarra Valley, Yarra Valley Chocolaterie & Ice Creamery, Rayners Stone Fruit Orchard, Royal Botanical Garden, Alexandra Gardens, RMIT University.
Selain itu, St Kilda Beach, Marina Dorcklands, Queen Victoria Markets, Federation Square, Flinders Street Station, Princess Bridge, Royal Exhibition Building, Lygon Street dan kafe Itali terkenal Brunetti Cakes di Lygon Street.
Menurut Zetty Alia, apa yang menarik drama Kusinero Cinta menggabungkan lokasi penggambaran di tiga negara iaitu Malaysia, Australia dan Filipina.
“Ia membabitkan babak sebanyak 30 peratus di tempat tumpuan pelancong sekitar Melbourne, Filipina (30 peratus) dan baki penggambaran 40 peratus pula di Malaysia.
“Penggambaran membabitkan tempoh selama 110 hari bermula di Kuala Lumpur pada 23 Disember tahun lalu dan Filipina pula pada 2 hingga 11 Februari tahun ini. Menyusul selepas itu, ia membabitkan penggambaran selama dua minggu di Melbourne dan diakhiri di lokasi di Kuala Lumpur pada 27 April lalu,” katanya.
Zety berkata, walaupun berdepan cuaca sejuk kira-kira 11 darjah Celsius, penggambaran membabitkan Jericho berjalan lancar.
“Semua pelakon dan kru termasuk Jericho cukup profesional dan memberi komitmen terbaik sepanjang penggambaran sama ada di Kuala Lumpur, Melbourne dan Filipina.
“Walaupun dia aktor terkenal, Jericho tidak berlagak ‘raja’ di lokasi penggambaran sebaliknya cukup mesra dan merendah diri dengan barisan pelakon dan kru tempatan,” katanya.
Ditanya apakah maksud di sebalik judul drama itu, kata Zetty Adila, Kusinero bermaksud ‘chef lelaki’ dalam bahasa Tagalog.
“Judulnya saja sudah unik dan mempunyai tarikan pada penonton. Drama ini menceritakan mengenai dua sahabat, Fredo Rivera dari Cebu, Filipina dan Syed Izmir dari Malaysia yang berbeza latar belakang dan negara.
“Mereka mengejar impian kulinari masing-masing dengan kehadiran seorang wanita yang mereka cintai. Siapakah di antara mereka yang akan mengecapi kebahagiaan?
“Selaku penerbit eksekutif, pihak kami yakin naskhah ini memiliki kekuatan tersendiri untuk menarik penonton. Selain kekuatan dari segi jalan ceritanya, ia dimantapkan lagi dengan barisan pelakon utamanya iaitu Aaron, Jericho dan Tiz Zaqyah yang memiliki ramai pengikut masing-masing,” katanya.
Feroz sahut cabaran
Bukan mudah untuk menjayakan penggambaran drama di luar negara. Apatah lagi jika ia membabitkan pelakon terkenal bertaraf antarabangsa seperti Jericho.
Namun, pengarah drama Kusinero Cinta, Feroz Kader, 37, yang sudah sedekad menduduki kerusi pengarah bersedia menyahut cabaran berkenaan.
“Paling mencabar ialah ketika penggambaran di Filipina kerana Jericho mempunyai ramai peminat fanatik di sana. Setiap kali ada babak membabitkan Jericho, pihak kami terpaksa menyediakan beberapa pengawal peribadi kerana aktor itu akan diserbu peminatnya.
“Penggambaran di Melbourne pula agak mencabar kerana keadaan cuaca yang tidak menentu seperti hujan dan cuaca sejuk terutama ketika penggambaran pada waktu malam.
“Bila menjalani penggambaran di tempat orang, kita juga kena ikut cara mereka bekerja untuk memastikan penggambaran drama berjalan lancar.
“Namun, sesi penggambaran di Melbourne juga berjalan lancar kerana pihak produksi, Global Station juga menyediakan pengurus lokasi dari Tourism Australia iaitu Nelson Khoury yang membantu kelancaran sepanjang sesi penggambaran membabitkan pelbagai tempat menarik di sana.
“Selain itu, produksi juga sangat menjaga kebajikan barisan pelakon dan kru sepanjang penggambaran di luar negara,” katanya.
Mengulas lanjut mengenai drama itu, pengarah yang cukup dikenali menerusi drama popular Adam dan Hawa dan Suria Di Cordoba ini mengakui dia tidak berfikir panjang bila ditawarkan pihak Global Station untuk mengarahkan drama berkenaan.
“Secara peribadi, saya tertarik dengan naskhah Kusinero Cinta kerana ia memiliki kelainan untuk menarik penonton. Selain selesa bekerja dengan produksi Global Station, saya juga tidak ada masalah bekerja dengan barisan pelakon utama drama ini seperti Aaron, Tiz dan Jericho yang cukup profesional sepanjang penggambaran.
“Saya sudah banyak kali bekerjasama dengan Aaron, tapi kali pertama dengan Jericho. Bagi saya, Aaron dan Jericho, dua pelakon hebat yang patut menjadi contoh pada pelakon lain kerana memiliki disiplin yang sangat bagus dan merendah diri,” katanya.
Sinopsis
Fredo Rivera adalah seorang anak muda yang berasal dari Cebu, Filipina yang mengejar impian untuk menjadi chef yang berjaya.
Edrinna Mahadzir pula gadis yang datang ke Manila bersama ibunya, Datin Raudhah untuk melawat kafe milik mereka yang beroperasi di sana.
Namun, takdir menemukan Fredo dan Edrinna di kafe berkenaan. Pada mulanya hubungan mereka kurang baik kerana kehadiran Hafizul Fitri yang meminati Edrinna.
Pada suatu hari, Edrinna hilang di Manila dan Fredo yang berjaya menyelamatkannya. Justeru, hubungan mereka juga semakin akrab semula,
Fredo yang tidak ada tempat tinggal dan pekerjaan juga diambil bekerja oleh Chef Rio yang memiliki restoran yang terkenal di Manila. Bermula sebagai pencuci pinggan, Fredo akhirnya berjaya menjadi pembantu chef kepada Chef Rio. Di La Secret, Fredo bertemu dengan Justina, anak perempuan Chef Rio yang turut bekerja di situ.
Sementara itu, Syed Izmir pula sangat meminati bidang masakan, tetapi terpaksa menyambung pengajian dalam jurusan perniagaan kerana memenuhi hasrat bapanya yang kaya.
Dalam perjalanan ke Manila kerana urusan perniagaan bapanya, Syed Izmir bertemu dengan Edrinna. Pada masa sama, dia juga bertemu dengan Fredo dan berkawan baik dengannya. Mereka juga bertemu kembali ketika menyambung pengajian di Melbourne.
No comments:
Post a Comment