Fuh Gempak Player

30 Apr 2014

W.A.R.I.S : Tak malu digelar orang kampung

Populariti rapper W.A.R.I.S di ­persada industri hiburan tempatan kini memang tak dinafikan. ­Meskipun, lagu-lagu nyanyiannya lebih menjurus kepada ­dialek Negeri Sembilan, nyata mendapat sokongan ­peminat.
Bertepatan matlamat untuk mengangkat budaya warisan bangsa, W.A.R.I.S berkata, dia berasa sangat berbaloi apabila usahanya membuahkan hasil positif. 
Namun, dalam pada itu dia agak terkejut dengan tanggapan segelintir pihak terhadapnya sebagai ‘orang kampung’. 

Tidak pernah berasa malu dirinya terus dilabel sebagai orang kampung, W.A.R.I.S berkata, jangan ingat orang kampung sekarang masih duduk di bawah tempurung dan tidak tahu apa-apa, tetapi mereka sebenarnya semakin maju.
Foto
W.A.R.I.S memperjuangkan lagu ‘loghat negeri’ demi adat dan asal usul yang tak harus dilupakan.

“Umpamanya, kalau datang ke pekan Jelebu saya pasti ramai yang kagum dengan arus kemodenan di sana. Sekarang, orang kampung sudah tiada lagi duduk di kawasan pedalaman atau jauh daripada masyarakat.

“Jadi, janganlah begitu mudah menilai sesama manusia. Pada saya, hendak jadi lebih moden tetap boleh asalkan tidak lupa kepada asal usul. Masyarakat bandar sekarang ini pun, kebanyakannya berasal dari kampung. 

“Mereka berhijrah ke bandar pun untuk bekerja dan membina kerjaya,” katanya mengakui memilih dialek Negeri Sembilan diketengahkan dalam lagu kerana bimbang betapa budaya dan adat semakin dilupakan. 

Menurut W.A.R.I.S atau nama sebenarnya Muzammil Alias 24, apa yang pasti matlamatnya untuk mengangkat budaya masyarakat dan dialek negeri semakin menunjukkan hasil positif. 

Katanya, jika dulu mungkin ramai tak tahu bersembang dalam dialek negeri, namun sekarang nampaknya ada perubahan 

“Melalui lagu-lagu dinyanyikan, ramai rakan sudah mula berborak dalam dialek Negeri Sembilan dengan saya. Ia memang menyeronokkan dan komunikasi kami menjadi bertambah rapat. 

“Sebagai generasi baru, sangat wajar untuk kita semua ingat pada warisan bangsa. Meskipun berjiwa moden, asal usul janganlah sesekali dilupakan,” katanya. 


Jadi tenaga pengajar 

Mengulas mengenai pembabitannya sebagai tenaga pengajar dalam program Ceria Popstar 2 di Astro Ceria, W.A.R.I.S berkata, dia sangat teruja walaupun pengalamannya dalam industri hiburan masih baru. 

“Saya terima tawaran untuk turut sama dalam program ini kerana sudah bersedia. Cuma setakat ini saya masih tidak tahu siapa anak didik yang akan diletakkan di bawah bimbingan saya. 

“Saya bercadang meminta bantuan beberapa rakan untuk melatih mereka dari segi teknik vokal kerana saya pun biasa ‘rapping’ saja. Jadi tugas saya mungkin lebih fokus pada gubahan muzik serta mengajar ‘rapping,” katanya. 

Walaupun kebolehannya terhad kepada menyanyi rap, W.A.R.I.S yang juga mahasiswa Universiti Tenaga Nasional (UNITEN) berkata, dia akan berusaha membantu anak didiknya dengan penuh dedikasi. 

Tidak melihat tenaga pengajar lain seperti Alyah, Hazama dan Sleeq sebagai saingan, katanya pembabitan mereka sebagai guru adalah memberikan bimbingan kepada anak didik masing-masing. 

Walaupun jadual seninya padat, W.A.R.I.S yang popular dengan lagu seperti Rembau Most Wanted, Botingkek dan terbaru Gadis Jolobu bersama Datuk Hattan memaklumkan jika semua perancangan berjalan lancar, dia akan muncul dengan album sulungnya yang memuatkan 12 buah lagu bulan ini.

No comments:

Post a Comment