Kuala Lumpur: PETRONAS Dagangan Bhd (PDB) akan memperuntukkan RM500 juta bagi perbelanjaan modal (CAPEX) tahun ini bagi meningkatkan rangkaian runcit dan kecekapan operasinya.
Pengerusinya Datuk Wan Zulkiflee Wan Ariffin berkata, CAPEX itu akan digunakan untuk meningkatkan bilangan stesen minyak, automasi di terminal dan depot gas petroleum cecair (LPG) serta menaik taraf sistem teknologi maklumat.
“Kami sedang mempertimbangkan untuk menambah antara 40 dan 50 stesen minyak tahun ini,” katanya selepas mesyuarat agung tahunan syarikat di sini, semalam.
Beliau berkata, syarikat turut menekankan keberkesanan rangkaian untuk mengoptimumkan hasil daripada setiap stesen dan akan memperuntukkan RM200 juta bagi anak-anak syarikat perniagaan antarabangsa bagi tempoh dua hingga tiga tahun untuk mengembangkan perniagaan antarabangsa. “Teras dalam perniagaan antarabangsa di Filipina, apabila PDB berhasrat untuk melabur dalam lebih banyak aset menjadikan bekalan LPG syarikat itu lebih berdaya saing. “Kita mungkin mengkaji untuk melabur dalam terminal atau membuat aturan lain di Filipina,” katanya.
Bagi tahun kewangan berakhir 31 Disember 2013, pendapatan PDB meningkat kepada RM32.34 bilion, naik RM2.82 bilion berbanding tahun sebelum ini, dirangsang oleh peningkatan jualan sebanyak 8.5 peratus tahun ke tahun. Sementara itu, dalam perkembangan lain, Wan Zulkiflee yang juga Ketua Pegawai Operasi PETRONAS berkata, kerajaan akan menyemak semula harga gas asli cecair (LNG) secara beransur-ansur sehingga ia menepati harga pasaran untuk membendung ketidakcekapan dalam penggunaan gas.
“Terdapat banyak ketidakcekapan dan penyelewengan di negara ini kerana harga ‘tidak realistik’ ini.
PDB sediakan RM200 juta bagi anak-anak syarikat perniagaan antarabangsanya.
“Ia (harga LNG) akan capai (harga pasaran) dan pengguna akan perlu menyesuaikan mengenai bagaimana mereka menggunakan gas,” katanya. - BERNAMA
No comments:
Post a Comment