Fuh Gempak Player

12 Apr 2014

Lia terima apa saja watak

Bakat seninya mula dikesan menerusi program realiti TV, Pilih Kasih musim kedua (2011) dan program pencarian selebriti terunggul Gadis Muka Dua (GM2) anjuran akhbar HarianMetro yang bersiaran di saluran Astro Ria (104) pada tahun lalu.
Walaupun gagal meraih gelaran juara dalam kedua-dua program pencarian bakat berkenaan, model kelahiran Tawau, Sabah yang kini bergelar pelakon, Lia Natalia, 22, tidak pernah kenal erti putus asauntuk terus mengembangkan bakatnya dalam bidang seni. 
Selepas empat tahun bekerja keras, akhirnya, nama Lia nampaknya mula membuka mata ramai produser dan pengarah drama di luar sana.

Secara peribadi, pemilik nama sebenar, Alia Afiqah Abden ini mengakui, dia sangat bersyukur kerana peminat mula menyedari kehadirannya di persada hiburan tanah air.
Foto

“Walaupun saya tidak bergelar juara dalam program GM2, banyak ilmu berharga ditimba sepanjang terbabit dalam program berkenaan. Selepas GM2, saya semakin berani mengasah bakat lakonan sedia ada.

“Sebagai orang baru, saya tidak kisah bawa apa saja termasuk watak pembantu kerana ingin mencari pengalaman dalam bidang lakonan,” katanya.

“Biarlah nama dikenali secara perlahan-lahan kerana masih banyak ilmu ingin dipelajari dalam mengukuhkan nama dalam bidang lakonan.

“Berlakon juga proses pembelajaran kerana saya pernah hidup susah apabila tiga bulan tidak ada tawaran berlakon. Namun, saya tetap teruskan juga kerana minat yang mendalam dalam bidang lakonan.

“Saya juga ingin orang kenal menerusi bakat yang dipertaruhkan. Sebab itu, setiap watak diserahkan sama ada karakter utama atau pembantu, saya pasti akan bawakannya de­ngan sebaik mungkin, sekali gus mening­galkan kesan mendalam pada penonton,” katanya.

Apapun, kata ‘anak didik’ kepada pengarah drama terkenal Michael Ang ini, dia kini semakin yakin untuk menjadikan bidang lakonan sebagai karier untuk masa depannya.

“Saya sangat terhutang budi pada Michael yang banyak beri peluang berlakon dalam drama arahannya, sekali gus membimbing dalam bidang lakonan.

“Antara drama arahan Michael ialah Pontianak Beraya Di Kampung Batu, Tanggang Ayu dan Dendam Sundel Bolong yang semuanya untuk saluran Astro. Dalam drama Pontianak Beraya di Kampung Batu, saya menjadi anak kepada pelakon popular Erra Fazira

“Bagi memantapkan prestasi lakonan, saya juga merancang untuk berguru dan mengambil kelas lakonan dengan pelakon dan pengarah berkaliber Elly Suriaty, selepas ini,” katanya.

Terbaru, Lia berlakon dalam Supertele untuk Astro berjudul Takhta yang dilakonkan Erra Fazira dan Elly Suriaty.

Selain itu, drama Aku Isteri­nya yang diterajui pelakon Izzue Islam dan Anzalna Nasir serta drama bersiri Jodoh 2 yang diterajui Hanis Zalikha, Aliff Aziz dan Fadlan Hazim untuk saluran Astro.

Drama bersiri lakonannya, Perempuan Dalam Pasungan arahan pelakon dan pengarah muda Zul Huzaimy Marzuki bersiaran setiap Isnin hingga Khamis, jam 5 petang di Astro Prima (saluran 105) &Maya HD (saluran 135).

Sepanjang berkecimpung dalam bidang lakonan, Lia sempat berlakon dalam beberapa drama dan telefilem seperti Pautan Kasih Rabecca, Mana Hilangnya Juwita dan banyak lagi. Tidak ketinggalan, dia juga pernah berlakon dalam filem Azura 2011 arahan pengarah terkenal, Aziz M Osman.

No comments:

Post a Comment