“Usia saya dah nak sampai penghujung. Allah SWT dah ambil semula nikmat makan, sebab itu saya dah tak lalu makan dan asyik muntah semula,” kata pelakon Sidek Hussin, 63, yang kini dirawat di Hospital Kuala Lumpur (HKL) akibat ketumbuhan disyaki kanser di sebelah kanan pipinya.
Ketumbuhan itu mula dikesan sejak dia berusia 20 tahun dan pernah dibuang, tetapi ia tumbuh semula tiga tahun kemudian hinggalah sekarang seberat dua kilogram (kg). Kesan daripada ketumbuhan dideritainya sejak 40 tahun itu dia kini disyaki menghidap kanser.
Sidek dimasukkan ke HKL dua minggu lalu selepas pengsan dalam kedai permainan di Chow Kit, KualaLumpur ketika dia ke sana bersama isteri dan adik iparnya untuk membeli barang permainan cucunya.
Dia yang masih boleh bercakap dengan jelas memberitahu selepas kembali mengerjakan umrah pada pertengahan tahun lalu, selera makannya terus hilang bahkan dia juga tidak boleh bau masakan isterinya, Selbiah Sulaiman, 61.
Dia yang masih boleh bercakap dengan jelas memberitahu selepas kembali mengerjakan umrah pada pertengahan tahun lalu, selera makannya terus hilang bahkan dia juga tidak boleh bau masakan isterinya, Selbiah Sulaiman, 61.
KETUMBUHAN si pipi kanan Sidek disyaki kanser makin membesar dengan berat mencecah dua kilogram.
“Hampir enam bulan saya tidak lalu makan. Nasi kandar yang menjadi kegemaran saya pun dah tak selera. Nak menelan bubur pun saya tak lalu dan kini hanya bergantung kepada susu. Jika sebelum ini, berat badan saya 83kg sekarang tinggal 55kg saja.
“Sebelum pengsan di Chow Kit, saya masih boleh berjalan ditemani isteri tetapi saya bawa kerusi kecil kerana tidak boleh berjalan atau berdiri lama-lama.
“Erma Fatima ada menawarkan saya berlakon dalam drama enam episod arahannya. Pada mulanya saya gagahkan diri menerima tawaran itu, tetapi apabila saya cuba membawa watak itu di rumah saya tak boleh berdiri lama kerana badan terasa sangat lemah. Terpaksalah saya tolak tawaran itu kerana tidak mahu menyusahkan orang lain di lokasi nanti.
“Kini untuk menanggung kehidupan seharian, saya hanya berharap kepada wang pencen isteri dan pemberian anak,” katanya.
Sidek ditemui ketika menerima kunjungan Yayasan Artis 1Malaysia yang membuat sumbangan diwakili Datuk M Nasir dan Nash Lefthanded di HKL, kelmarin.
Sepanjang enam bulan itu juga, ketumbuhan itu mula mengganggu kesihatannya dan setiap malam kepalanya berdenyut dan pening.
“Saya tak boleh tidur dan apabila dimasukkan ke HKL. Doktor mengambil darah daripada ketumbuhan untuk mengetahui punca sebenar kepala saya sakit dan mereka kesan ada kanser. Pengesahan sebenar penyakit itu berada pada tahap berapa akan diketahui dalam masa dua minggu lagi selepas keputusan ujian keluar.
“Sedari awal lagi doktor ada beritahu jika ketumbuhan itu terus membesar, ada kemungkinan ia akan menjadi kanser. Selepas saya melakukan pembedahan pertama, saya tidak membuangnya lagi kerana sibuk dengan penggambaran drama dan filem,” katanya.
Sidek berkata, tahun lalu sekumpulan pakar dari Hospital Universiti Teknologi Mara di Sungai Buloh mahu membantunya membuang ketumbuhan itu tetapi waktu itu pula jantungnya bermasalah dan pembedahan tidak dapat dilakukan.
“Pembedahan itu tertangguh dan jika nak meneruskannya juga, risikonya sangat besar dengan peluang untuk hidup 50-50. Ketumbuhan itu terkena pada urat mata dan pelbagai komplikasi boleh berlaku. Selepas berbincang dengan lebih mendalam mengenai situasi kesihatan saya yang tidak menentu, mereka memutuskan tidak melakukan pembedahan itu agar saya dapat menjalani sisa kehidupan yang ada dengan keluarga,” katanya.
Sidek yang sentiasa ditemani isterinya reda dengan apa jua keputusan ujian darah nanti.
Jika kanser itu tidak berbahaya, doktor akan berusaha membuang ketumbuhan itu dan sekiranya ia sudah berada pada peringkat kritikal, dia dinasihatkan menjalani rawatan kemoterapi.
"Pada ketika ini saya menurut saja apa doktor sarankan dan walaupun saya dengar rawatan kemoterapi itu sangat sakit , saya akan mencubanya. Di samping itu saya ada juga berubat secara tradisional,” katanya.
No comments:
Post a Comment