Fuh Gempak Player

12 Apr 2014

Bukan nak tunjuk hebat

Bukan bermatlamat mencari kemenangan atau menunjuk kehebatan, sebaliknya perlawanan bola sepak persahabatan antara pasukan The Band menentang Super Lawak FC yang berlangsung di Stadium 3K, Subang Jaya pada 9 April lalu diadakan bagi mendedahkan pesertanya kepada dunia luar.
Selain itu, ia juga bertujuan mempromosikan program terbaru terbitan Kumpulan Sedania yang mula disiarkan di Astro Ria dan serentak di Mustika HD pada 7 April lalu. 
Diketuai Ketua Pegawai Eksekutifnya, Datuk Azrin Mohd Noor sebagai pengurus, pasukan The Band membariskan 16 peserta lelaki sebagai pemain mereka, manakala 16 peserta wanita sebagai pasukan sorak di luar padang.

Sementara Super Lawak FC diwakili Jep, Shuib dan Rahim Sepahtu, Datuk Ac Mizal, Johan Raja Lawak, Achey dan Fahd Bocik, Akim Ahmad dan Ketua Kumpulan Saluran Premium Astro, Nizam Sani.
Foto
GIMIK menarik sebelum perlawanan bermula.

Boleh dikatakan perlawanan ini cukup sengit apabila kedua-dua pasukan berbalas serangan mencari gol. Adakala tercetus juga insiden kekasaran namun tidaklah sehingga mencederakan pemain kedua-dua pasukan. Apapun perlawanan ini berjaya menghiburkan peminat yang turut hadir memberikan sokongan kepada kedua-dua pasukan.

Perlawanan berdurasi 120 minit dengan setiap perlawanan berlangsung selama 30 minit, menyaksikan Super Lawak FC kenduri gol apabila menewaskan The Band dengan jaringan sembilan berbalas tiga. Jep dan Fahd menjadi wira pada malam itu apabila berjaya menjaringkan dua gol.

Peserta The Bands, Daniel Lim Hong Ti atau DLS turut mengukir nama apabila menjaringkan gol untuk kumpulannya.

Azrin berkata, banyak perkara positif diraih menerusi perlawanan persahabatan ini terutama promosi kepada peminat.

“Kalau kita lihat, Maharaja Lawak Mega (MLM) mempunyai peminat yang besar. Dengan ini, secara tak langsung The Band juga akan merasa tempias dikenali ramai. Satu aspek yang saya lihat, tujuannya juga untuk memberi pendedahan kepada 32 peserta untuk bercampur dengan rakan artis lain.

“Saya nak beri mereka peluang mendekati dunia seni menerusi cara berkongsi pengalaman artis MLM. Memandangkan ini perlawanan persahabatan, saya menasihatkan kedua-dua pasukan agar mengelakkan kekasaran kerana kesannya nanti ditanggung mereka juga. Bagaimana mereka nak beraksi di pentas kalau cedera. 

“Perlawanan bola sepak ini adalah aktiviti pertama diadakan dan saya memang menetapkan semua peserta perlu terbabit. Selepas ini ada banyak lagi program diatur akan menyusul. Peserta The Band perlu menyanyi dan menari, jadi program yang dibuat ini boleh membentuk stamina mereka agar lebih bertenaga,” katanya. 

Azrin mengakui silibus yang perlu diikuti peserta setiap hari agak padat dan memenatkan. Justeru, dia seboleh mungkin mengadakan satu aktiviti riadah yang bersesuaian buat mereka.

“Adakalanya saya bawa mereka pergi berjalan-jalan dan membeli belah. Saya tak nak mereka terikat dengan latihan semata-mata. Semua program ini dibuat secara berkumpulan kerana saya nakkan mereka ada keserasian. Menerusi cara ini barulah mereka dapat memberikan persembahan terbaik. 

“Sebelum ini pun mereka sudah didedahkan dengan sesi ‘booth camp’ bagi membentuk stamina untuk program ini. Episod awal The Band yang menemui penonton sekarang memaparkan sesi awal uji bakat dan ‘boothcamp’. Sesi penyingkiran pertama pula dibuat pada 12 April (malam ini).

“Alhamdulillah, baru seminggu bersiaran The Band menerima respon positif dari pelbagai pihak. Program ini mula jadi sebutan di laman sosial Facebook dan Instagram. Saya berharap fenomena ini berterusan sehingga kemuncak program ini,” katanya. 

Juara The Band akan memenangi wang tunai RM100,000, kontrak sebagai artis di bawah naungan Astro dan tajaan pembikinan album kompilasi.

Tiga peserta The Band iaitu DLS, Mohd Ridzuan Mohd Yassin atau One Juicy, 24, dan Hadi Jaidi, 21, mengakui gembira dapat mengeluarkan peluh di padang. Apatah lagi mereka pernah aktif bermain bola mewakili sekolah dan negeri sebelum ini. DLS pernah menganggotai pasukan TM Melaka untuk piala presiden, One Juicy pula mewakili Sekolah Menengah Pandah Indah, manakala Hadi mewakili pasukan bawah 21 Sabah.

“Kami seronok dapat melepaskan tekanan di atas padang dan beraksi dengan senior dalam bidang seni. Acara begini bagus kerana dapat memberikan kami stamina dan lebih bersedia dalam The Band. Paling penting kami dapat kongsi pengalaman mereka yang terlebih dulu berada dalam bidang seni,” kata DLS.

Sementara itu, Nizam berkata, mereka bersetuju mengadakan perlawanan persahabatan bagi membantu jenama program baru yang disiarkan menerusi saluran Astro.

“Sebelum ini kami buat perlawanan persahabatan dengan Skool of Lawak dan sekarang The Band pula. Program ini ada pelajar baru yang nak ke depan, jadi kami nak dedahkan mereka dengan pengalaman bergaul dengan artis. Lagipun bola sepak sememangnya sukan popular, secara tak langsung boleh menarik peminat ke stadium untuk menyaksikannya.

“Kalau difikirkan peserta ini terikat dengan jadual yang ketat. Untuk itu kami fikirkan cara untuk memberikan mereka hiburan cara lain. Cuma saya berpesan kepada pemain-pemain saya agar jangan sampai ada yang tercedera kerana masing-masing ada tanggungjawab sendiri dalam karier,” katanya.

No comments:

Post a Comment