Kasih pelakon Arja Lee, 30, terhadap arwah ibunya, Salmah Aziz tidak pernah pudar. Arja juga setia menemani ibunya di hospital ketika wanita itu bertarung dengan penyakit kanser lelangit hinggalah arwah meninggal dunia pada 2 Ogos tahun lalu.
Anak bongsu daripada empat beradik itu sentiasa terkenangkan arwah ibunya, apatah lagi kejayaan yang dikecapinya kini berkat doa wanita itu.
Pada hari pelancaran single pertamanya berjudul Cerita Pada Mereka, baru-baru ini, air matanya tumpah kerana teringatkan ibunya tidak dapat bersama-sama untuk meraikan kejayaannya itu.
Lantas pada sambutan Hari Ibu yang diraikan pada minggu kedua Mei setiap tahun, Arja bakal meraikan semua ibu sebagai menghargai pengorbanan mereka di Hotel Legend Cherating, Pahang pada 10 Mei ini.
Lantas pada sambutan Hari Ibu yang diraikan pada minggu kedua Mei setiap tahun, Arja bakal meraikan semua ibu sebagai menghargai pengorbanan mereka di Hotel Legend Cherating, Pahang pada 10 Mei ini.
Ia adalah acara minum petang bersama Arja sambil menyaksikan persembahannya.
“Meskipun ibu saya sudah tiada lagi, tidak bermakna saya akan terus melupakan hari yang paling bermakna itu kerana saya masih boleh meraikan insan lain yang bergelar ibu. Acara itu dinamakan Cerita Kasih Ibu kerana ibu adalah segala-galanya dan ibu juga adalah pendengar paling setia.
“Anda ceritalah apa saja padanya, pasti dia tekun mendengar. Apabila perginya ibu dari dunia ini, saya rasa sebahagian daripada diri saya turut pergi bersamanya,” katanya.
Menurut lelaki yang memiliki nama sebenar Azharudin Ramli, pada hari itu nanti dia bakal menyanyikan lima hingga enam lagu dan sudah pastinya lagu yang mengisahkan pengorbanan dan kasih sayang ibu menjadi pilihan utama.
“Luangkan satu atau dua hari daripada 365 hari yang kita ada dalam setahun untuk memberi sepenuh tumpuan dan layanan kepada ibu. Pentingnya ibu sehingga dalam hadis Rasulullah SAW ada mengatakan ‘syurga berada di bawah telapak kaki ibu’.
“Walaupun ibu anda sudah meninggal dunia jangan putuskan hubungan kita dengannya di alam sana, sedekahkan al-Fatihah kepadanya,” katanya.
Untuk menceritakan suasana pada hari itu nanti, latar acara itu bertemakan ungu, merah samar dan lavendar.
Selain mendapat kerjasama daripada hotel berkenaan, acara itu turut mendapat kerjasama agensi pelancongan, Tripel M Vacations Sdn Bhd yang turut merancang percutian Arja bersama peminat ke tiga lokasi berbeza tahun ini.
Kepada mereka yang mahu meraikan Hari Ibu bersama Arja sambil bercuti di pusat peranginan yang indah itu, setiap orang dikenakan bayaran RM299 termasuk penginapan dan makan minum. Kepada yang menetap di luar Kuala Lumpur, bas disediakan untuk ke sana.
No comments:
Post a Comment