Fuh Gempak Player

12 Apr 2014

Nota Neelofa: Seronok di London

Selamat berhujung minggu semua. Harap semua dalam keadaan sihat dan paling penting, tak sabar-sabar membaca Nota Neelofa minggu ini.
Mungkin anda yang mengi­kuti Lofa di laman media sosial tahu Lofa sekarang berada di London. Mesti tertanya-tanya apa Lofa buat? Sambung belajar atau membeli-belah? 
Sebenarnya, Lofa ke United Kingdom (UK) bersama keluarga. Dah lama rasanya kami tak bercuti bersama. Sebelum ini kami ke Dubai dan itu pun lebih setahun lalu, lagi pun susah nak rancang cuti bersama sebab masing-masing ada tanggungjawab tersendiri. 

Jadi, inilah masanya Lofa rasa sangat baik untuk kami lepak santai bersama-sama. Ada yang tanya dekat Instagram Lofa, pegi naik Malaysia Airlines (MAS) ke? Tak takut ke? Bagi Lofa, takut atau tidak bukan persoalannya.
Foto

Mungkin ramai masih trauma dengan apa yang terjadi kepada MH370. Namun bagi Lofa sekeluarga, kami tetap yakin dengan syarikat penerbangan negara. Alhamdulillah, semuanya selamat. Bahkan sepanjang penerbangan, semuanya baik-baik saja.
Selain bercuti, sebenarnya kedatangan kami ke UK kerana nak tengok kolej yang sesuai untuk adik Lofa, Athisha. Insya-Allah, jika tiada aral melintang, Athisha akan melanjutkan pelajaran di peringkat A-Level di sini. 

Jadi kesempatan yang ada, alang-alang kami tengok kolej yang bersesuaian dengan minat Atihisha. Dulu Lofa pun ambil A-Level, jadi senang sedikit urusan Athisha, sebab dah ada kakak yang boleh beri pandangan me­ngenai A-level. 

Selesai bab Athisha, muncul pula bab Faliq. Dalam semua tengah seronok nak membeli-belah (maaf ya Faliq, gurau saja) boleh pula dia nak pegi Zoo London. Sayang punya pasal, kakak-kakak ni pun ikutlah kehendak si adik. 

Wow! Itu perkataan yang mampu Lofa simpulkan mengenai pengalaman kami sekeluarga di sana. Benar kata orang, Zoo London antara zoo tercantik di dunia. Memang cantik dan teratur. 

Dalam banyak-banyak bahagian dalam zoo, Lofa paling suka bila ke Gorilla Park. Mana tak best, kali pertama tengok benda sebesar gorila depan mata. Kadangkala, sekali sekala menyelami dunia imaginasi kanak-kanak memang menghiburkan. 

Ingatkan zoo ini ha­nya untuk kanak-kanak dan ia membosankan. Ternyata tanggapan Lofa salah. Sebenarnya seronok sangat. 

Biasalah, bila dah ke London, apa lagi aktiviti? Membeli-belah memang aktiviti wajib. Kalau dibandingkan antara UK dan US, Lofa lebih gemar membeli-belah di UK. Suasana lebih tenang. Mungkin sebab faktor persekitaran dan penduduknya barangkali. 

Kedai di sini lebih banyak pilihan dan lebih teratur. Macam semua tahu, orang UK memang disifatkan lebih tenang dan bersahaja berbanding orang Amerika

Nak membeli-belah pun terasa tenang sangat. Inilah nak dikongsi, mungkin ramai tak tahu sebenarnya bila Lofa dekat London, tiba-tibalah pula, Lofa jadi 'kaki makan'. Setiap pagi, wajib Lofa akan buat 'breakfast hunting'. 

Lepas itu, Lofa pandai-pandai bagi komen dan kritik gaya persembahan dan rasa setiap menu. Dah macam Chef betul pula. Bila difikirkan, lucu pun ada, tapi ini yang menjadikan percutian Lofa kali ini lebih bermakna. 

Antara tempat kesukaan Lofa ialah The Wolseley, Patisserie Valerie dan Gails Kitchen. Kalau makan malam, Signor Sassi tak pernah Lofa lupa untuk singgah makan. 

Spaghetti lobster di Signor Sassi memang tak ada bandingan dan anda semua kalau datang, wajib cuba makan di restoran ini. Kalau memang suka makan lobster, kena cuba lobster dan burger. Lepas tu, kongsi pengalaman anda dengan Lofa okay. Lofa tak tipu, memang best sarapan di situ. 

Satu lagi, kalau berke­sempatan ke Harrods, bila dah penat membeli-belah, boleh cuba makan aiskrim di Milk Bar di tingkat dua. Ada macam-macam jenis aiskrim yang pelik dan sedap! Seronok! 

Bagi Lofa, bercuti dalam mahupun luar negara sangat perlu bagi setiap orang. Selain melapangkan fikiran, ia mampu merapatkan ukhwah sesama ahli keluarga. 

Kalau boleh, curi sedikit masa untuk melancong bersama yang tersayang. Minggu depan, Lofa nak berkongsi mengenai Naelofar. Apa Naelofar tu? Ada-ada sajakan Lofa ni! Nak tahu, tunggu minggu depan, ok?

No comments:

Post a Comment