Fuh Gempak Player

28 Apr 2014

Marcell sayang Malaysia

Selepas membuat persembahan di Sabah pada 2011, penyanyi popular Indonesia, Marcell tetap menghargai sokongan peminat kepadanya dan terus yakin untuk meneruskan kerjaya dalam bidang seni.
Penyanyi yang juga pemilik nama sebenar, Marcellius Kirana Hamonangan Siah, 36, mengakui mempunyai ikatan yang sukar dipisahkan dengan Malaysia kerana peminat yang sentiasa dekat di hatinya sejak dulu. 
Tidak hairanlah, peminat yang hadir menonton persembahannya di Malam Cinta yang dibawakan Cloudworks Entertainment bersama A’Sutra di Kota Kinabalu, baru-baru ini, amat teruja. 

Majlis yang turut diserikan dengan pertunjukan fesyen dari A’Sutra itu dihadiri isteri Yang Di-Pertua Negeri Sabah, Toh Puan Norlidah RM Jasni dan isteri Ketua Menteri, Datin Seri Faridah Tussin.
Foto
Marcell

Ketika ditemui, Marcell turut melihat banyak perubahan dan perkembangan terbaru khususnya dalam bidang seni dengan banyak bakat baru dilahirkan.

Katanya, penyanyi baru yang ramai dilahirkan di negara ini turut dilihat satu perkembangan sihat dengan ia mampu memberi rezeki selain dapat berkongsi pentas membuat persembahan. 

“Saya lihat, banyak bakat-bakat baru dilahirkan di Malaysia. Pe­nyanyi seperti Fakhrul Razi dan Lokman Aslam yang mana kami sempat berkongsi pentas membuat persembahan memang berbakat. 

“Selain itu, kehadiran peminat juga dilihat tetap sama seperti sebelum ini membuatkan saya semakin yakin untuk meneruskan kerjaya dalam bidang seni selain akan terus menghasilkan ‘produk’ untuk peminat,” katanya. 

Katanya, sambutan peminat di Malaysia tidak pernah diragui kerana mereka sentiasa menghargai setiap produk album yang dihasilkannya termasuk album terbaru iaitu Platinum Playlist. 

“Saya berharap Malaysia akan terus menjadi tempat untuk saya berkongsi pengalaman muzik serta berkolaborasi dengan artis tempatan sebab negara ini tetap dengan di hati saya,” katanya. 

Berbicara mengenai perkembangan terbarunya, Marcell berkata, dia baru melancarkan album kelima yang dilancarkan di Malaysia iaitu Platinum Playlist sebulan lalu yang memuatkan 10 lagu dan tiga lagubonus

Album sama turut dilancarkan di Indonesia setahun lalu termasuk di iTunes. 

Katanya, album berkenaan mempunyai sedikit keistimewaan dengan semua lagu yang dimasukkan adalah ‘cover song’ atau lagu saduran. 

“Saya menyanyikan semula lagu daripada penyanyi dan band Indonesia yang bagi saya lagu mereka cukup indah. Antaranya ialah Ari Lasso, Sheila On 7, Peterpan, Ungu dan Samsons. 

“Saya dan pengurusan syarikat rakaman sepakat untuk mengambil lagu satu dekad dari 1995 sampai 2005 di mana kita mengambil lagu-lagu terbaik untuk dimasukkan dalam album berkenaan,” katanya. 

Antara lagu yang dimasukkan dalam album itu ialah Setia, Demi Waktu, Maaf, Hampa, Kini, Kita, Naluri Lelaki, Bahasa Kalbu, Khayalan Tingkat Tinggi dan Tentang Seseorang. 

Manakala tiga lagu bonus ialah Takkan Terganti, Sisa Semalam dan Mau Dibawa Ke Mana.

No comments:

Post a Comment