Program variasi travelog Ke Korea Ke Kita yang disiarkan menerusi slot 9X melabuhkan tirainya jam 7.30 malam semalam.
Pada episod kemuncak atau lebih tepat minggu ke-10 itu, ‘fashionista’ Wak Doyok dan Myo dari band Oh Chentaku ditipu kru penerbitan program berkenaan apabila dikatakan tidak mendapat wang sagu hati yang sepatutnya dimenangi mereka sesudah menyempurnakan misi sepanjang penggambaran dijalankan.
Pelbagai reaksi dan aksi melucukan saat kedua-duanya dimaklumkan mengenai hal ini, namun lebih penting bagi Wak Doyok atau nama sebenarnya Mohd Azwan Md Nor, 34, dan Myo atau Mior Luqman Hakim Mior Mohd Zain, 27, selama 25 hari di Korea Selatan, mereka mengenali erti persahabatan yang terjalin dalam suasana yang cukup unik meskipun timbul desas-desus kononnya mereka berdua tidak sebulu.
“Kami bertemu di lapangan terbang pada hari pertama penggambaran dan saya tidak mengenali Myo. Maksud saya, orangnya bagaimana kerana kami tidak mempunyai kesempatan mengenali antara satu dengan lain sebelum penggambaran program ini dijalankan.
“Kami bertemu di lapangan terbang pada hari pertama penggambaran dan saya tidak mengenali Myo. Maksud saya, orangnya bagaimana kerana kami tidak mempunyai kesempatan mengenali antara satu dengan lain sebelum penggambaran program ini dijalankan.
WAK Doyok dan Myo.
“Begitu juga dengan kru program ini, kami semua bertemu di tempat sama. Ketika di Korea adalah saat sebetulnya kami berbual-bual.
“Lebih kurang tiga hari juga saya mengambil masa untuk rapat dengan Myo selepas memerhati karakternya. Pada mulanya agak sukar kerana selain baru mengenali, latar belakang kami juga berbeza. Kalau ikutkan tak susah hendak ‘ngam’ dengan Myo kerana dia kelakar orangnya. Tambahan pula, setiap aktiviti kami perlu lakukan bersama dan ini membuatkan kami ada sifat kebergantungan dan cepat mesra.
“Pokoknya selain dapat melawat banyak lokasi menarik di Korea Selatan, indahnya mengenai program ini satu persahabatan yang murni terjalin bukan saja di antara saya dan Myo tetapi juga kru produksi,” katanya.
Myo pula berkata, sepanjang penerbangan ke Korea Selatan, dia dan Wak Doyok kurang bercakap dan dia mengambil masa hampir seminggu untuk mencari keserasian.
“Apabila produksi beritahu saya perlu digandingkan dengan Wak Doyok, saya tak tahu siapa dia. Sebelum pergi ke Korea, saya tanya kepada kawan-kawan mengenai Wak Doyok dan ada yang kata dia seorang yang sombong.
“Tetapi bila sudah kenal orangnya, saya tidak kekok, malah kalau hendak tahu Wak Doyok seorang yang kelakar. Cara dia bercakap yang kedengaran seperti orang dulu-dulu sudah cukup membuatkan kita rasa nak ketawa,” katanya.
Berkonsepkan ‘travel game show’, program memaparkan cabaran terpaksa diharungi Wak Doyok dan Myo dan dalam masa sama mereka berdua perlu mempromosi lokasi menarik di Korea Selatan.
Memulakan perjalanan mereka di Busan, Wak Doyok berkata, banyak pengalaman baru diperoleh dan satu daripadanya ialah dia belajar mengatasi ketakutan dalam diri.
“Sepanjang 25 hari di sana tiada masalah sangat, cuma setiap episod kami diberikan dua cabaran. Cabaran yang paling susah dan saya tidak suka ialah ketika di taman tema Lotte World.
“Saya perlu naik tiga permainan ekstrim iaitu ‘roller coaster’ seperti Gyro Drop dan The Conquistador untuk mendapat habuan sebanyak 200,000 Won atau RM627.
“Saya fobia kerana memang takut nak naik permainan itu sejak kecil tetapi terpaksa memberanikan diri kerana sudah begitu syarat yang ditetapkan dan saya muntah selepas lakukan cabaran berkenaan.
“Walau bagaimanapun, dalam banyak-banyak lokasi yang dikunjungi, Hanok Village sebuah kawasan perkampungan tradisi yang cukup indah,” katanya yang pertama kali me–ngunjungi Korea Selatan.
Sementara itu, Myo berkata, penduduk Korea Selatan mesra dan suka membantu walaupun berdepan masalah komunikasi.
“Hari pertama tiba di Busan, kami tersesat mencari lokasi yang diarahkan tetapi kerana ada bersama Wak Doyok, kita tetap jalani setiap cabaran dengan perasaan seronok,” katanya.
Difahamkan, rancangan Ke Korea Ke Kita ini mencipta fenomenanya yang tersendiri apabila menjadi ‘trending’ di laman sosial Twitter dua minggu sebelum episod pertama ditayangkan pada 12 Januari di TV9.
Kekuatan pengikut Myo Oh Chentaku dan Wak Doyok di laman sosial berjaya mengembangkan populariti program ini dan ia terbukti pada majlis tayangan khas episod akhir program berkenaan di restoran Ruang, SS18, Subang Jaya, Jumaat lalu, ramai peminat mereka yang hadir.
No comments:
Post a Comment