Tak kisahlah pahit mahupun manis, Lofa ingin kongsi bersama pembaca. Satu hakikat yang tidak boleh Lofa nafikan ialah, mengacara sesuatu program ada kalanya menyeronokkan tapi ada kalanya memberi tekanan kepada Lofa.
Menyeronokkan apabila ramai menonton dan berpuas hati dengan gaya penyampaian Lofa. Antara pengalaman yang Lofa takkan lupakan ialah ketika Lofa dibawa kru produksi Nona ke Scotland.
LOFA bersama Fara Fauzana dalam rancangan Nona.
Perjalanan dan pengalaman sepanjang rakaman di sana benar-benar mengujakan dan waktu sama mencabar kerana Lofa jenis tidak suka cuaca sejuk.
Ada satu link yang Lofa kena buat hampir 20 'take' tetapi hasilnya, alhamdulillah! Untuk pengetahuan pembaca, Lofa nak kongsi satu fakta menarik.
Tahu tak yang episod Lofa di Scotland mencatat jumlah penonton tertinggi dalam sejarah siaran Nona. Lebih dua juta penonton menyaksikan episod itu. Ini memang sesuatu yang sangat menggembirakan Lofa sebagai pendatang baru. Terima kasih!
Selain Nona, mengacarakan Meletop antara yang akan sentiasa Lofa kenang. Anugerah Meletop antara anugerah paling 'bayi' di Malaysia.
Lofa rasa sangat bertuah diberi peluang mengacara majlis Anugerah Meletop edisi pertama. Lofa sifatkan ia sebagai satu penghormatan bagi Lofa.
Lagi menggembirakan, Anugerah Meletop boleh disifatkan sebagai anugerah paling berjaya dari segi penganjuran oleh Astro.
Walaupun ada sedikit perkara kurang menarik, Lofa lebih gemar memikirkan kejayaan Anugerah Meletop. Lofa berharap sangat ia menjadi acara anugerah yang ditunggu-tunggu peminat saban tahun.
Kalau nak cerita mengenai pengalaman, memang tak habis nak dikongsi. Namun biasalah, bila ada yang manis, mestilah ada yang sedikit pahit. Antara yang sedikit mengganggu Lofa bilamana ada yang melaga-lagakan Lofa dengan Fara Fauzana.
Ada yang cakap Lofa dengan Fara Fauzana tidak sebulu. Mula-mula memang Lofa macam malas nak ambil peduli tapi lama-lama, Lofa jadi sedikit rimas. Sebabnya, hakikat sebenarnya Lofa dengan Fara memang sangat 'ngam'!
Fara sememangnya pengacara yang sangat berkaliber dan senang untuk bekerjasama. Tak pernah ada istilah bergaduh atau gila kuasa antara kami. Jadi Lofa harap sangat mereka yang di luar sana, jangan nak laga-lagakan kami lagi lepas ini, okay?
Pengalaman semestinya mematangkan kita semua. Walaupun baru tahun ketiga berada dalam industri, Lofa rasa dengan peluang diberi ramai pihak, Lofa semakin matang.
Yang pasti, Lofa tidak menyesal memilih karier seni sebagai mata pencarian Lofa. Dalam hal ini, Lofa ada satu falsafah "benda yang sukar, jika dilakukan berulang kali, pastinya akan jadi 'makanan' kita."
Nantikan Nota Neelofa minggu depan. Kali ini Lofa akan berkongsi cerita percutian Lofa ke London pada 7 April ini bersama keluarga Lofa.
Selamat berhujung minggu dan jaga diri.
No comments:
Post a Comment