Fuh Gempak Player

19 Apr 2014

Remy belum puas

Sejak meraih populariti menerusi drama rantaian Nur Kasih, kehidupan peribadi Remy Ishak jadi perhatian. Kisah cinta, putus cinta dan cinta barunya sering jadi buruan.
Terbaru, gambar percutiannya ke Bangkok, Thailand yang dimuat naik di laman sosial Instagramnya menimbulkan rasa kurang senang di kalangan peminatnya.
Beberapa keping gambar menunjukkan Remy basah kerana menyertai Festival Songkran menimbulkan kecaman peminat.

Ramai mengatakan Remy tidak peka kerana seolah-olah turut meraihkan festival yang dikenali sebagai acara berkongsi ‘tuah’ ­dengan me­nyimbah air untuk membersihkan patung Buddha.
Foto
Remy Ishak

Bertemu Remy atau nama sebenarnya Mohammad Zalimei Ishak di majlis pelancaran filem terbarunya, CEO, jejaka kelahiran Negeri Sembilan itu memohon supaya isu itu tidak diperbesarkan oleh mana-mana pihak.
Katanya, dia bercuti di Bangkok selepas selesai peng­gambaran drama Antara Satu di Langkawi dan Tioman.

“Selepas selesai menjalani penggambaran yang sangat meletihkan, masa cuti selama lima hari saya gunakan untuk berehat dengan melancong ke Thailand. 

“Kebetulan, saya pergi ketika sambutan Songkran. Itu kali pertama saya tahu mengenai pesta berkenaan. Sebelum ini saya tidak pernah melihat perayaan itu dan saya putuskan untuk turut serta.

“Bagaimanapun, jangan menjatuhkan hukum ­hanya dengan melihat beberapa keping gambar. Peminat mung­kin melihat saya tiba-tiba berada di antara orang ramai yang bergembira, tetapi tidak bermakna saya turut meraikan pesta itu. Saya cuma ingin melihat budaya masyarakat di sana,” kata­nya.

Katanya, masyarakat tidak perlu berfikiran negatif serta menjadikan budaya di Malaysia sebagai contoh. ­Katanya, seseorang bukan Islam yang sama-sama meraikan Aidilfitri bukan bermaksud dia memeluk Islam.

Selain itu, timbul isu baru mengatakan Remy membenci media apabila tidak menjawab khidmat pesanan ringkas (SMS) mahupun panggilan telefon.

Menyangkal dakwaan itu, Remy menegaskan, dia terlalu sibuk bekerja hing­gakan tidak mempunyai masa untuk melihat telefon bimbitnya.

“Populariti saya tidak lagi seperti dulu, tetapi saya tidak perlukan publisiti untuk terus berada dalam industri. Bagaimanapun, bukan disebabkan perkara itu saya tidak menjawab pang-gilan mahupun membalas SMS mereka.

“Apabila bekerja, tumpuan saya adalah pada pekerjaan itu. Telefon bimbit memang saya letak jauh,” katanya. 

Semakin lama dalam industri, Remy akui tahu lebih banyak mengenai permintaan penonton. Katanya, dia tidak mahu hidangkan corak lakonan sama setiap kali muncul di televisyen atau layar perak. Dia perlu mencari kelainan untuk memuaskan hati penonton.

Remy akui sepanjang pembabitannya sebagai anak seni, dia menjulang trofi Pelakon TV Lelaki Popular ABPBH 2009 dan 2010 serta Pelakon Lelaki Terbaik Filem dalam Anugerah Skrin Ke-15, namun masih belum puas dengan pencapaiannya.

“Saya tidak puas kerana pengisian setiap watak yang saya dapat itu masih banyak yang perlu diperbaiki. Masih tidak cukup. Kalau diberi watak sama, saya mahu buat lebih baik,” katanya.

Remy juga bersyukur kerana terbabit dengan drama menggabungkan tiga negara iaitu Malaysia, Singapura dan Brunei. Dia bangga menjadi pelakon yang mewakili Malaysia selain Keith Foo.

Tidak meletakkan harapan untuk mencipta nama di luar negara, Remy bagaimanapun tidak akan menolak jika ada tawaran untuk membintangi drama terbitan negara jiran. 

Mengakui dirinya jenis memilih, Remy tidak akan menolak jika dapat peluang mencipta nama di luar negara. Baginya, kesempatan itu akan digunakan untuk mengharumkan nama Malaysia.

“Insya-Allah, jika ada tawaran dari negara jiran, apa salahnya kalau saya terima. Tidak kisah walaupun karya itu cuma bertaraf gred B. Jadikan ia sebagai batu loncatan untuk mencipta nama di sana.

“Perlahan-lahan daki industri seni mereka. Jika peluang itu diberi kepada saya, itulah waktunya untuk menjulang nama Malaysia. Buktikan negara kita juga ada pelakon berkaliber,” katanya.

No comments:

Post a Comment