Fuh Gempak Player

19 Apr 2014

Sukar diungkap dengan kata

Gaya tata hias eksklusif dan mewah cuba diketengahkan sebaik mungkin supaya penghuni dan tetamu lebih selesa, malah berada dalam suasana privasi. Segala keunikan cuba diterjemahkan sepenuhnya, membuatkan sesiapa bertandang ke banglo ini pasti teruja.
Dimiliki Pengarah Urusan Desa Murni Batik, Suhaimi Embong, 45, dan isteri Fatimah Fathiyyah Ismail, 40, kediaman ini hakikatnya menjanjikan idea dekorasi hebat yang sukar diungkapkan dengan kata-kata.
Kunjungan penulis sempena program Media Turun Padang Ke Terengganu anjuran Kraftangan Malaysia, baru-baru ini, memberi kesempatan untuk menemu bual pasangan terbabit mengenai penataan di kediamannya di Kampung Pulau Rusa, Kuala Terengganu.

Fatimah Fathiyyah berkata, idea untuk hiasan dalaman sudah dibincangkan ketika awal perancangan untuk membinanya.
Foto
RUANG tamu khas ditata hias sempurna.

“Cuma kami inginkan suasana selesa dan privasi biar apa pun konsep yang dipilih,” katanya yang mendiami banglo baru ini sejak setahun lalu.
Hasil kombinasi idea keluarga dan pereka hiasan dalaman dilantik iaitu Hisyamuddin Mohamad, konsep moden dan kontemporari menjadi pilihan. 

Sebaik penulis melangkah masuk, mata terpukau dengan dekorasi kediaman ini kerana ia benar-benar eksklusif.

Terdetik di hati betapa seninya pemilik kediaman ini kerana setiap rekaan perabot dan aksesori hiasan begitu unik dan menyerlahkan ketelitian.

Ruang tetamu khas diwujudkan sebagai penghargaan buat tetamu agar mereka boleh berbual dalam suasana lebih privasi.

Dia tidak menafikan bahawa khidmat pakar hiasan dalaman turut memainkan peranan penting supaya tercapai suasana yang diinginkan selama ini.

Menurutnya, dia mencuba sedaya upaya untuk memberikan keselesaan kepada sesiapa saja yang bertandang ke kediamannya.

“Paling penting dekorasi tidak menyusahkan mereka, sebaliknya lebih memberikan manfaat,” katanya.

Bagi menzahirkan penghargaan buat tetamu, perabot dan aksesori hiasan di ruang itu ditempah khas dari luar negara.

Rekaan yang unik dengan material berkualiti tampil lebih eksklusif apabila warnanya dipadankan dengan konsep moden dan kontemporari.

Permaidani empuk bersaiz sederhana pula diletakkan di tengah ruang selari dengan meja kopi elegan.

Di ruang kiri dan kanannya pula tidak dibiarkan kosong sebaliknya berseri dengan perhiasan mewah rekaan khas.

Cermin hiasan menyerlahkan ruang lebih luas dengan kerusi santai dalam bentuk luar biasa.

Beralih ke ruang makan utama, dekorasi di situ juga begitu memukau dengan gaya tata hias tersendiri.

“Tentunya selesa dengan perabot dan perhiasan tempahan khas, ruang ini turut dilihat mampu membuatkan sesiapa saja rasa teruja,” kata Fatimah Fathiyyah.

Sekali pandang set kerusi makan berbentuk daun dengan pilihan rona terang yang pastinya menggamit suasana harmoni ketika menjamu selera.

“Perhiasan dinding di ruang ini tidak diabaikan dengan kehadiran dekoratif ringkas tetapi unik.

“Malah, tekstur menarik turut dicipta sebagai titik fokal utama di ruang makan ini,” katanya.

Sementara itu, laluan menuju ke tingkat atas pula diserlahkan dengan tekstur beralun pada dinding.

Percaya kepada kekuatan nilai estetika yang ada pada setiap ukiran kayu, turut membuatkan pintu utama banglo ini berlatarkan elemen berkenaan.

No comments:

Post a Comment