IBARAT anak seluang jauh melaut, akhirnya kembali jua ke lubuk, begitulah dengan penghibur kesayangan ramai, Ziana Zain.
Ramai sudah tahu, Ziana bakal mengadakan konsert solonya pada 27 September nanti di negeri kelahirannya dengan memilih Pusat Dagangan Antarabangsa Melaka (MITC).
Sejurus selepas sidang media konsert I Am Ziana Zain itu berlangsung di sebuah hotel di Damansara, Isnin lalu, pelbagai info mengenai konsert berkenaan segera dikemas kini menerusi laman sosial Instagram, Twitter dan Facebook.
Tentunya berita itu cukup dinanti peminat tegar Ziana kerana selepas sekian lama menunggu, penantian mereka untuk melihat dia beraksi dalam sebuah konsert berskala besar akan tercapai dalam lima bulan lagi.
Tentunya berita itu cukup dinanti peminat tegar Ziana kerana selepas sekian lama menunggu, penantian mereka untuk melihat dia beraksi dalam sebuah konsert berskala besar akan tercapai dalam lima bulan lagi.
Ziana pada sidang akhbar konsertnya.
Tambahan pula kali terakhir bintang kelahiran Merlimau, Melaka itu beraksi dalam konsert adalah 15 tahun lalu menerusi Ziana Zain In The Park di Dewan Merdeka, Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC), Kuala Lumpur.
Lalu konsert terbaru kali ini,anjuran Gold Earth Pictures dan Ziana Zain Ventures, boleh dianggap sebagai satu ‘comeback’ Ziana di pentas besar.
Mengakui teruja dan bersyukur dengan kepercayaan penganjur, Ziana mengimpikan sebuah persembahan yang dapat mengimbau kehangatan Madah Berhelah sehinggalah menyusuri perjalanannya ke hari ini.
“Sebenarnya belum ada konsep yang jelas untuk konsert saya itu kerana saya dan tenaga kerja masih lagi berbincang. Apa yang boleh saya katakan, bersesuaian judulnya I Am Ziana Zain, konsert ini akan menonjolkan perjalanan seni saya dari zaman Madah Berhelah sampailah sekarang.
“Kalau ikutkan hati memanglah saya hendak sebuah konsert menggunakan pentas hidrolik atau yang membolehkan saya ‘terbang’, tetapi kita kena faham, kita perlu mengadakan konsert mengikut kesesuaian bajet.
“Namun, kalau bajet terhad tidak semestinya pula kita tidak boleh menghasilkan konsert yang bagus. Konsert boleh nampak hebat apabila disokong penataan cahaya dan bunyi yang berkualiti serta susunan muzik yang gah.
“Apa yang penting saya mengharapkan sebuah konsert yang boleh membuatkan peminat tidak berganjak dari tempat duduk mereka,” katanya.
Sebagai persiapan menghadapi agenda besarnya bagi 2014 itu, ibu empat anak ini sedang mengikuti kelas latihan vokal untuk memantapkan lagi stamina vokalnya yang akan mendendangkan 22 lagu.
Bahkan, berbanding pengalaman 15 tahun lalu menjayakan konsert Ziana Zain In The Park, penyanyi itu bersikap realistik.
“Saya sekarang bukan lagi berusia 20 atau 30 tahun. Kalau dulu bolehlah jerit-jerit. Saya perlu realistik dengan usia saya sekarang. Saya mahu nyanyi dengan lebih rileks walaupun melontar suara tinggi.
“Sebab itulah juga penting adanya pengarah muzik seperti Aubrey Suwito yang arif membuat susunan muzik mengikut keupayaan seseorang penyanyi itu. Sebagai penyanyi, saya sendiri melakukan inisiatif dengan mengikuti kelas vokal kerana berlaku perubahan pada kotak suara apabila usia kita meningkat.
“Melalui latihan yang diberikan, saya dapat memperbaiki pernafasan, sekali gus memperkemaskan lagi nyanyian saya,” katanya.
Berkat doa peminat
Dilamar Gold Earth Pictures - sebuah syarikat subsidari di bawah Gold Earth Solutions Sdn Bhd yang menjalankan pelbagai perniagaan, Ziana dipilih kerana hampir semua Lembaga Pengarah syarikat itu meminati penyanyi berkenaan.
Pemilihan Ziana dan penganjuran konsert I Am Ziana Zain itu juga permulaan yang baik bagi syarikat berkenaan membina reputasi dalam industri hiburan tambahan pula ini konsert pertama diadakan mereka.
Sementara itu, Ziana sendiri percaya, ramai pihak membuka mata dan kembali meyakini kemampuannya beraksi di pentas melalui persembahan Teaterikal Suara Kita bersama Erra Fazira dan Awie di Istana Budaya (IB), tidak lama lalu.
“Konsert itu benar-benar menguji ketahanan mental dan fizikal. Apabila saya lihat kembali kemampuan saya beraksi di pentas konsert Suara Kita yang memerlukan saya menyanyi, berlakon, berlari ke belakang pentas untuk menukar pakaian kemudian masuk semula ke pentas menyanyi dan melakukan pelbagai pergerakan memberi keyakinan kepada saya bahawa saya mampu untuk meneruskan konsert solo ini.
“Biarpun umur semakin meningkat, paling penting kena yakin dan sentiasa positif, ‘enjoy’ dengan kerja kita,” katanya.
Bagaikan mimpi jadi kenyataan apabila selepas 15 tahun impiannya untuk mengadakan konsert solo itu tercapai, Ziana percaya selain kesudian penaja, berkat doa peminat yang sekian lama bersabar akhirnya dimakbulkan.
“Saya tak jangka peluang itu akan tiba selepas 15 tahun menunggu tetapi ia berbaloi. Apatah lagi pada usia 46 tahun, ia memang cukup mengharukan apabila ada pihak sudi menaja. Ini rezeki dan satu pencapaian peribadi saya.
“Tawaran yang datang juga tatkala saya berasakan pengalaman seni saya sudah banyak, malah ada pelbagai cerita menarik boleh dikongsikan bersama peminat,” katanya.
Mengenai pemilihan MITC Melaka sebagai lokasi konsert itu, kakak penghibur Anuar Zain ini sudah lama berhasrat mengadakan sebuah konsert di bumi kelahirannya.
“Ramai peminat Melaka kecewa kerana tidak dapat menyaksikan konsert Suara Kita di Istana Budaya, baru-baru ini kerana agak jauh. Jadi sebagai kelainan saya terfikir untuk menjadikan lokasi di luar Lembah Klang terutamanya di selatan sebagai titik permulaan konsert saya. Mana tahu kalau ada penajaan lebih besar, saya mahu mengadakan konsert Best of The Best Ziana Zain pula di KualaLumpur,” katanya.
Ziana turut menyatakan rasa gembiranya sesudah sekian lama impian berkerjasama dengan Aubrey Suwito sebagai pengarah muzik untuk konsertnya menjadi kenyataan.
Mewarnakan lagi persembahannya, Ziana bakal dipimpin pereka tari terkenal, Sarlan Mat Adnan, yang akan mencipta pergerakan tarian menarik pada konsert itu nanti.
Tiket bagi menyaksikan konsert itu berharga RM325 (Platinum), RM255 (Diamond), RM155 (Gold) dan RM95 (Silver).
Pada konsert itu nanti, Ziana bakal memperdengarkan single terbarunya di mana kos pembiayaan pembikinan single itu ditanggung sepenuhnya oleh Gold Earth Pictures.
Sempat menghala topik ke layar perak, Ziana teringin bawa watak ibu tiri yang garang.
“Kalau pengarah filem pula saya teringin hendak bekerjasama dengan Rashid Sibir dan Khabir Bhatia,” katanya.
Berbalik pada pembelian tiket konsert I Am Ziana Zain, seramai 100 daripada 1,500 orang pertama pembeli tiket Platinum akan berpeluang beramah mesra dengan Ziana pada sebuah majlis sehari selepas konsert diadakan.
No comments:
Post a Comment