Tanggal 11 Mei setiap tahun pastinya cukup sinonim dengan sambutan Hari Ibu di negaraini. Justeru, bagi golongan wanita yang bakal dan sudah pun bergelar ibu semestinya berasa cukup teruja.
Berkongsi mengenai hari istimewa ini yang diraikan esok, RAP menampilkan tiga artis yang bakal dan sudah lama bergelar ibu. Tentunya Liyana Jasmay, Betty Banafe dan Nora Ariffin ada kisah berbeza mengenai status seorang ibu.
Bagi Liyana, 26, dia kini menghitung hari untuk melahirkan anak sulungnya hasil perkongsian hidup dengan suami tercinta, Fathuddin Mazlan. Betty pula baru pertama kali menjadi ibu dengan kelahiran cahaya mata sulungnya, Julia Claire Dargus yang baru berusia lima bulan. Betty yang mendirikan rumah tangga bersama jejaka kacukan Inggeris dan Lubnan, Bruce Darghous Abdullah, selamat melahirkan Julia pada 1 Disember lalu.
Tidak ketinggalan, penyanyi lagu Di Persimpangan Dilema, Nora atau Wan Norafizah Ariffin, 41, yang sudah lebih dua dekad membina mahligai bersama komposer Johan Nawawi. Mereka memiliki empat anak - Mohd Syakir Iman (Mosyi), 21, Mohd Syakir Alif (Alif), 15, Putri Nur Dahlia (Putri), 10 dan Putri Nur Fatehah, setahun tujuh bulan.
Tidak ketinggalan, penyanyi lagu Di Persimpangan Dilema, Nora atau Wan Norafizah Ariffin, 41, yang sudah lebih dua dekad membina mahligai bersama komposer Johan Nawawi. Mereka memiliki empat anak - Mohd Syakir Iman (Mosyi), 21, Mohd Syakir Alif (Alif), 15, Putri Nur Dahlia (Putri), 10 dan Putri Nur Fatehah, setahun tujuh bulan.
LIYANA teruja menunggu kelahiran anak pertama.
Kata Liyana, memandangkan kandungannya kini sudah sarat dan menghitung hari untuk melahirkan anak sulungnya, perasaan gembira bercampur gementar semakin terasa.
“Saya ni sudah tidak larat nak berjalan. Badan terasa semakin berat. Setiap tahun saya akan meraikan hari ibu dengan mama tapi tahun ini nampaknya tidak ligat lagi. Tapi saya tetap ingin mengucapkan Selamat Hari Ibu kepada ibu saya dan juga semua ibu-ibu di luar sana. Doakan saya juga agar mudah dan selamat bersalin,” katanya yang masih melakukan senaman mudah setiap pagi.
Mengulas mengenai selera makannya, penyanyi lagu Aku Tak Percaya Cinta ini memaklumkan dia tidak mengalami sebarang masalah. Katanya, dia masih berselera makan apa saja.
Bagi Betty, 35, keseronokan memiliki anak itu memang tak mampu diluahkan dengan kata-kata. Ujarnya, hanya wanita yang sudah bergelar ibu akan pasti merasakan nikmat yang sangat membahagiakan ini.
“Jujur saya akui, walaupun Julia sudah berusia lima bulan, perasaan seronok dan bersyukur dengan kelahirannya tidak dapat saya lupakan sehingga sekarang. Barulah sekarang saya merasakan bagaimana perasaan seorang wanita menjadi ibu. Ia membuatkan saya semakin menghargai pengorbanan ibu saya sendiri.
“Apatah lagi, Julia masih lagi menyusu badan, ia membuatkan hubungan kami sememangnya amat rapat. Ketika lahir dulu berat Julia hanyalah 2.95 kilogram tetapi sekarang sudah mencecah 8.9 kilogram. Saya bersyukur melihat tumbesarannya,” kata Betty.
Mengulas mengenai ragam anak kesayangannya, Betty berkata, Julia seorang bayi yang sangat mudah dijaga tidak kira siang atau malam. Sejak dilahirkan hinggalah sekarang, Betty dan suami belum pernah berhadapan masalah termasuk bayi meragam.
Bagi Nora pula, memandangkan dia memiliki tiga anak yang sudah besar, dia akan menerima hadiah kad ucapan istimewa daripada anak-anaknya itu pada Hari Ibu setiap tahun.
“Sebagai ibu, saya memang gembira dengan apa saja kejutan dilakukan oleh anak-anak saya pada Hari Ibu. Selagi nyawa dikandung badan, apa yang diinginkan adalah memastikan anak-anak saya sentiasa hidup gembira, selamat dan berjaya.
“Setiap saat bersama anak-anak adalah masa paling berharga buat saya dan suami. Bahkan, perasaan ini juga saya rasakan apabila bersama ibu tersayang, Wan Azizah Wan Ismail yang sudah berusia 75 tahun,” kata Nora.
Memahami tuntutan dirinya sebagai seorang ibu berkerjaya, Nora berkata walau sesibuk mana pun dia dengan tugas, dia tetap meluangkan masa bersama anak-anak dan suaminya.
Pada kesempatan ini, Liyana, Betty dan Nora tidak lupa mengucapkan Selamat Hari Ibu buat semua pembaca setia Harian Metro.
No comments:
Post a Comment