Fuh Gempak Player

9 May 2014

Hari Star Wars meriah

Sempena Hari Star Wars yang disambut di seluruh dunia pada 4 Mei setiap tahun, Markas 501st Legion Malaysia yang dianggotai peminat tegar filem Star Wars di negara ini me­nganjurkan Hari Star Wars di Perpustakaan Raja Tun Uda, Shah Alam, Ahad lalu.
Program bermula jam 10 pagi hingga 7 petang itu mendapat sambutan cukup menggalakkan daripada peminat filem berkenaan dari seluruh negara.
Tarikh 4 Mei dipilih sebagai Hari Star Wars berdasarkan frasa ‘may the force be with you’ yang diungkap Pahlawan Jedi dalam filem berkenaan yang ditukar menjadi ‘May the Fourth’. 

Secara kebetulan, semua enam filem Star Wars ia­itu A New Hope, The Empire ­Strikes Back, Return of the Jedi, The Phantom Menace, Attack of the Clones dan Revenge of the Sith ditayang­kan dalam bulan Mei.
Foto
PEMINAT cilik bersama 'Darth Vader'.

Selain gerai menjual pelbagai barangan, permainan dan model aksi watak dalam Star Wars, pelbagai program turut diadakan antaranya permainan Star Wars Academy, Droid Hunt untuk kanak-kanak, pameran koleksi Star Wars serta tayangan dokumentari 501st Legion dan Heart of an Empire.

501st Legion adalah satu pertubuhan antarabangsa dianggotai peminat Star Wars terutama dengan watak jahat filem berkenaan seperti Darth Vader, Imperial Stormtrooper, Sith Lords, Clone Troopersdan banyak lagi. 

Ia ditubuhkan Albin John­son dan Tom Crews dari South Carolina, Amerika Syarikat pada 1997 dan kini mempunyai lebih 6,500 ahli di seluruh dunia. 501st Legion kini aktif di lebih 50 negara seluruh dunia termasuk Malaysia. 

Pegawai Pemerintah Markas 501st Legion Malaysia Julian Kong berkata, mereka gembira kerana berjaya mengumpulkan ramai peminat Star Wars meraikan acara berkenaan. 

“Kami sangat gembira dengan kehadiran peminat yang begitu ramai dan berharap untuk menjadikannya lebih besar dan lebih baik tahun depan,” katanya. 

Katanya, semua hasil jualan yang diperoleh didermakan kepada Monfort Boys Town di Shah Alam bagi memberi pendidikan, kemudahan kediaman dan latihan kemahiran industri kepada kanak-kanak dan remaja lelaki kurang bernasib baik. 

Sementara itu, Pengarah Perbadanan Perpustakaan Awam Selangor Mastura Muhammad berkata, pihaknya berpuas hati kerana ramai pengunjung ke program terbabit pertama kali menjejakkan kaki ke perpustakaan ini. 

“Kami harap mereka akan sentiasa berkunjung ke sini pada masa depan,” katanya.

No comments:

Post a Comment