Fuh Gempak Player

17 May 2014

Chomel: Tak gusar digelar pengkid

Sekali pandang, ramai yang mengaitkan gadis ini dengan imej pengkid.
Bagaimanapun Noor Zafirah Mohd Faizal, 22, atau lebih dikenali sebagai Chomel tidak pernah menganggap itu sebagai kudis yang menghalang perjuangan seninya. 
Malah, penyanyi yang mula mencipta populariti menerusi medium YouTube ini tidak ambil peduli pelbagai kata-kata tidak enak yang dilemparkan sejak namanya dikenali ramai. 

“Memang orang cakap saya pengkid dan macam-macam lagi perkataan yang tak enak didengar. Saya lebih suka ambil perkara positif daripada yang negatif. Kata-kata negatif itu dijadikan sebagai pembakar semangat buat saya untuk terus mencari kejayaan dalam hidup,” katanya.
Foto
BERSEDIA berhijrah ke Malaysia sekiranya diterima peminat.

Berasal dari Woodlands Singapura, Chomel mula belajar bermain gitar sejak berusia 13 tahun.

Pada usia 16 tahun, seorang rakan memuat naik video nyanyiannya dalam YouTube dan tanpa disangka menerima perhatian ramai. 

“Saya sukakan konsep pop balada dan mencipta lagu sendiri berjudul Rahsia Cinta, Sandaran, Adakah Kerna Itu dan banyak lagi. Saya ada pengikut sendiri kerana setiap kali video baru dimasukkan pasti akan menerima bilangan penonton yang ramai. 

“Saya akhirnya menyanyikan lagu Andai Hatiku Bersuara ciptaan seorang kawan iaitu Rya Rahman yang dimuatnaik dalam YouTube dan agak mengejutkan apabila mencatat tontonan lebih 700,000. Ia suatu pencapaian mengagumkan buat saya dan lagu ini juga jadi ‘viral’ di laman sosial,” katanya. 

Biarpun menduduki tempat ketiga dalam Pertandingan Lagu Ombak Rindu di Singapura dua tahun lalu, Chomel mengakui sukar mencari peluang merakam album di sana. 

“Saya menyanyikan lagu Ombak Rindu dan tak sangka pula dapat tempat ketiga. Cuma, saya tak merasa nak hasilkan album dan hanya banyak terima tawaran menyanyi. Januari lalu saya terkejut apabila dihubungi oleh wakil MVM, Mahadhir Mohamad yang mengatakan hasrat ambil saya jadi artis mereka. 

“Perasaan gembira tak dapat digambarkan kerana tak sangka ada yang nampak bakat saya. Mereka menawarkan saya kontrak selama dua tahun. Sekarang saya baru selesai merakamkan lagu Andai Hatiku Bersuara yang diterbitkan oleh Toi Hyper Act,” katanya. 

Buat masa ini, Chomel masih senang berulang-alik dari Singapura ke Malaysia. Bagaimanapun, jika rezekinya semakin berkembang, dia tidak ragu-ragu untuk menetap di Malaysia bagi memenuhi undangan menyanyi. 

“Bergantunglah pada rezeki kerana saya tak kisah untuk berhijrah. Lagipun ayah memang berasal dari Pontian, Johor. Buat masa ini, saya memang menyanyi sepenuh masa di Singapura,” katanya. 


Tidak meniru 

Chomel mengakui tidak tahu mengenai persamaan namanya dengan seorang artis Malaysia bernama Chomel Fana. 

Menurutnya, nama ini sudah digunakan sejak zaman remaja lagi. 

“Kawan-kawan memang panggil saya dengan nama Chomel. Saya pun tak tahu ada artis bernama serupa. Harapnya orang tak terkeliru untuk kenal kami. Rasanya ini bukan isu besar kerana orang dapat bandingkan perbezaan kami. Saya pun sudah ada peminat 73,000 di Facebook

“Tak dinafikan orang kata artis Singapura susah nak bertahan. Bagaimanapun apa yang saya nampak, saya mampu bertahan jika kena caranya. Alhamdulillah saya pun dah ada kelab peminat sendiri iaitu Chomel FC yang banyak buat sesi bertemu peminat di Singapura dan Malaysia. 

“Atas permintaan mereka, sesi ini diadakan di Melaka, Kuala Lumpur dan terbaru Pulau Pinang pada Mac lalu,” katanya.

No comments:

Post a Comment