Penurunan berat badannya menimbulkan tanda tanya sehingga dikaitkan dengan penyalahgunaan dadah.
Gosip ini nyata mencalarkan imej Mohd Hanaffi Razak, 29, atau Ajak sekali gus menambahkan satu lagi koleksi kontroversi kumpulan Shiro yang dinobatkan naib juara Maharaja Lawak Mega (MLM) lalu selepas dikaitkan dengan penggunaan bomoh di dalam pertandingan itu termasuk sengketa dengan Jepp dari kumpulan Sepah.
“Berat badan saya susut bukanlah banyak pun cuma empat kilogram (kg) dari 65 kg. Selain itu, jadual kerja saya padat dan turut diserang demam denggi baru-baru ini,” katanya.
Ajak berkata, dia masih waras dan tahu menilai mana yang betul dan salah apatah lagi dia kini masih berkhidmat sebagai anggota Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM).
Ajak berkata, dia masih waras dan tahu menilai mana yang betul dan salah apatah lagi dia kini masih berkhidmat sebagai anggota Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM).
AJAK (kiri) dan Chen (tiga dari kiri) bersama barisan pelakon Suatu Malam Kubur Berasap 2.
“Tuduhan sebegini bukan saja mencemarkan nama baik saya, malah Shahrol juga turut terpalit sama. Entahlah, saya tak berani nak membuat andaian, tetapi saya rasa mungkin ada yang tidak berapa senang dengan Shiro agaknya disebabkan itu kami selalu jadi mangsa tohmah.
“Saya ingat dengan berdiam diri dapat redakan masalah, tetapi nampaknya tidak kerana ada pihak rasa seronok untuk mereka cerita kerana kami diam tidak bertindak. Pengalaman dalam MLM membuatkan saya dan Shahrol sedar diam bukan tindakan bijak. Ia boleh buat orang percaya pada cerita sebelah pihak,” katanya.
Ajak yang ditemui pada sidang media pelancaran filem Suatu Malam Kubur Berasap 2 kelmarin, mengakui dia memandang serius isu penyalahgunaan dadah itu kerana boleh merosakkan reputasinya, selain bimbang ia memberi persepsi buruk kepada peminat terutamanya kanak-kanak.
Bercerita mengenai filem arahan Ernie Chen itu, Shiro ditampilkan sebagai teraju utama di mana Ajak memegang watak sebagai Nayan manakala Shahrol sebagai Amir.
“Cerita ini sedikit sebanyak menggambarkan senario dunia komedi di Malaysia di mana industrihiburan rancak dengan pelbagai program mencungkil bintang komedi.
“Dalam filem Suatu Malam Kubur Berasap 2 ini, Nayan dan Amir adalah pasangan pelawak yang menjuarai program realiti.
“Mereka ini berkawan baik sejak dari kampung lagi dan pada ketika nama mereka sedang melonjak naik, seorang pengarah dan penerbit filem terkenal mempelawa mereka untuk berlakon filem seram.
“Namun, mereka hanya berkebolehan untuk berlakon di dalam cerita komedi saja, selain tidak percaya dengan kewujudan hantu,” katanya.
Sementara itu, Ernie selaku pengarah dan pemilik produksi OutLOUD Studios Sdn Bhd, ketika ditanya bagaimana sebagai pengarah dan produser bukan Melayu dia dapat membantu filem ini menembusi kelompok penonton dan pasaran bukan Melayu berkata, dia cuba mengenengahkan kembali elemen terdapat dalam filem Allahyarham Tan Sri P Ramlee di mana bukan hanya Melayu, tetapi Cina danIndia termasuk semua bangsa boleh menonton.
“Misalnya, skrip filem ini karya penulis skrip bukan Melayu. Selain itu, kita menggabungkan kepakaran tenaga produksi Cina dan Melayu supaya filem ini ada sentuhan ‘Malaysian’,” katanya.
Ernie berkata, dia juga berbangga dari peringkat pra produksi hingga pasca produksi, semuanya menggunakan kepakaran tempatan sekali gus dapat menjimatkan kos.
Dalam sidang media yang sama, Erni turut membuat kejutan dengan idea promosi yang unik selain belum pernah diketengahkan di negara ini dengan melancarkan rumah hantu bergerak. Dengan menggunakan treler mereka bakal melakukan menjelajah ke beberapa negeri bagi promosi filem Suatu Malam Kubur Berasap 2.
Selain Shiro, filem yang bakal ditayangkan pada 12 Jun ini turut dibintangi Azad Jazmin, Os, Soo Wincci, Rahim Sepahtu, kumpulan Bocey dan kumpulan Cuit.
No comments:
Post a Comment