Jodoh itu rahsia Yang Maha Esa yang hadirnya tidak pernah mengenal siapa dan berapa usianya. Adapun yang terlebih dulu dijemput ajal sebelum sempat bertemu jodoh. Sementara, ada pula yang jodohnya tidak berkekalan.
Pelakon veteran, Ruminah Sidek, misalnya bertemu jodoh pada usia 68 tahun dan perkahwinan dengan Al Fatah Rahim, 70, adalah yang keempat buatnya di mana dua perkahwinan terdahulu bercerai mati.
Ruminah Sidek atau lebih mesra dengan panggilan Mak Mah sah bergelar isteri kepada peneroka FELDA Jelai, Gemas, Negeri Sembilan itu dengan hanya sekali lafaz dan dinikahkan oleh Penolong Pendaftar Nikah, Cerai dan Rujuk Masjid As-Syarif, Mohd. Jani Salman.
Majlis berlangsung dalam suasana sederhana itu diadakan kelmarin (Sabtu) jam 9.20 pagi di kediaman Mohd Jani Salman iaitu rumah abang ipar Mak Mah di Taman Berkat, Meru.
Majlis berlangsung dalam suasana sederhana itu diadakan kelmarin (Sabtu) jam 9.20 pagi di kediaman Mohd Jani Salman iaitu rumah abang ipar Mak Mah di Taman Berkat, Meru.
MAK Mah ceria bersama Adlin dan isteri.
Mak Mah ketika ditemui pihak media usai majlis pernikahannya, melahirkan rasa syukur apabila majlis itu berjalan dengan lancar dan mendapat restu keluarga kedua-dua pihak.
“Alhamdulillah semuanya berjalan seperti yang dikehendaki. Kalau ikutkan Mak Mah tak mahu heboh-heboh sebab bukannya orang muda tetapi kerana hal ini sudah diketahui pihak media, Mak Mah akur permintaan mereka yang mahu hadir. Apa salahnya, perkara baik.
“Apa yang penting bagi Mak Mah, anak-anak menerima dan merestui hasrat Mak Mah dengan baik. Mak Mah gembira dapat menghabiskan sisa hidup sebagai seorang isteri dan harap dapat melakukan ibadah bersama-sama,” katanya.
Pada hari bahagianya itu, Mak Mah menerima mas kahwin sebanyak RM300 serta tujuh dulang hantaran dan membalas jumlah yang sama kepada pihak pengantin lelaki.
Saat ditanya mengenai destinasi bulan madu, Mak Mah, menyambut pertanyaan itu dengan tawa selain memaklumkan dirinya malu untuk menjawab soalan itu.
“Janggal rasanya sebut bulan madu, sudah tua. Tetapi Mak Mah dengan suami memang ada merancang untuk mengadakan ibadah haji di Tanah Suci Makkah.
“Di sana bukan saja boleh beribadah, mendapat ketenangan dan keredaan Ilahi tetapi juga ia memberi kenangan istimewa buat Mak Mah dan suami kerana di sanalah pertama kali Mah Mah bertemu dengan suami semasa mengerjakan umrah di Makkah pada Mac lalu,” katanya.
Mak Mah, sebelum ini pernah berkahwin sebanyak tiga kali termasuk dengan pelakon Allahyarham A R Tompel. Hasil daripada tiga perkahwinannya itu, Ruminah dikurniakan enam anak termasuk pelakon Adlin Aman Ramlie serta 20 cucu.
Bagi Al Fatah pula, ini adalah perkahwinannya yang ketiga dan mempunyai 20 anak serta 30 cucu.
No comments:
Post a Comment