Fuh Gempak Player

18 May 2014

Gelekan ‘manja’ M Daud Kilau

Seperti dijangka, peminat hadir beramai-ramai membanjiri Pantai Chenang, Langkawi bagi menyaksikan persembahan hebat artis sempena Pesta Air, baru-baru ini. Program anjuran Kementerian Pelanco–ngan dan Kebudayaan Malaysia selama dua hari pada 9 dan 10 Mei lalu dapat menyatukan angkatan artis baru dan lama bagi mewarnai pentas dan sekali gus menghangatkan ke–adaan dengan persembahan bertenaga mereka.
Selain penonton biasa, konsert turut disaksikan tetamu VVIP pada malam itu, Exco Pelancongan Negeri Kedah, Datuk Mohd Rawi Abdul Hamid serta Timbalan Ketua Setiausaha (Industri Pelancongan) Kementerian Pelancongan dan Kebudayaan Malaysia, Rashidi Hasbullah. 
Dianggarkan hampir 10,000 penonton tempatan dan luar Langkawi hadir bagi menyaksikan persembahan artis terkenal dibawakan khas dari Kuala Lumpur ini. Pesta Air adalah acara tahunan dan Langkawi menjadi destinasi terakhir sebelum Port Dickson dan Labuan. 

Pentas dibuka Azrul Raja Lawak selaku pengacara. Celotehnya yang bersahaja dan spontan cukup menghiburkan peminat Pulau Legenda yang begitu merindui program berbentuk hiburan. Penonton tidak kering gusi menyaksikan Azrul dengan lawak bersahajanya.
Foto
ARTIS yang terbabit mengadakan persembahan bergambar kenangan beramai-ramai.

Selepas itu, Ainan Tasneem ditampilkan sebagai artis pertama menyanyikan lagu Aku Suka Dia, Kamu Saja dan Hanya Padamu. Keletahnya yang manja memang dinanti-nantikan penonton sehinggakan mereka tidak henti-henti menyoraknya.

Berikutnya tampil pula penyanyi kelahiran Kedah, Pak Long yang popular dengan lagu Selagi Ada Rindu. Seterusnya diikuti Dina Nadzir yang sememangnya mempunyai vokal mantap dan memukau menyanyikan lagu Hijau, Seperti Dia dan Mengapa Dia Tapi Aku. 

Kemunculan Aris Ariwatan sememangnya dinanti-nantikan peminat. Tanpa menunggu masa lama, dia mendendangkan lagu popularnya, Permaidani, Lamunan Terhenti dan Anak Malaysia. 

Majlis terus dihangatkan dengan persembahan pe–nyanyi rock kental Mus May. Biarpun usianya menginjak 46 tahun, Mus berjaya menggegarkan pentas dengan lagunya, Gadis Bertudung Putih, Sinar, Dari Kacamata dan Cintamu Mekar di Hati. 

Sementara itu, persembahan malam kedua tidak kurang hebatnya apabila menampilkan Ifa Raziah sebagai pengacara. Artis pertama ditampilkan ialah Amylea dengan lagu Set Fire To The Rain nyanyian asal Adele. Ifa sendiri turut menghiburkan peminat dengan lagu Aku Yang Dulu Bukannya Yang Sekarang dan Panas. 

Kehangatan malam dimeriahkan lagi dengan persembahan Datuk M Daud Kilau yang terkenal dengan gelek–nya. Usianya sudah 75 tahun, namun persembahan Datuk M Daud Kilau tidak perlu dipertikaikan. Seperti biasa beliau terkenal dengan gayanya menukar baju setiap kali lagu yang dinyanyikan. 

Gaya gelekan dan nya–nyian bersahaja turut memukau generasi baru dan lama dengan lagunya Che Mek Molek dan Laksamana Raja DiLaut. 

Persembahan diakhiri Azlan The Typewritter yang menyampaikan lagu Fantasia Bulan Madu, Kau Ilhamku dan Jeritan Batinku. 

Apa yang pasti, persembahan sempena Pesta Air kali kelapan yang diadakan sempena Tahun Melawat Malaysia 2014 ini berjaya menarik serta menghimpunkan peminat dalam dan luar negara untuk berkumpul beramai-ramai di Pantai Chenang Langkawi.

No comments:

Post a Comment