Bergelar raja segala raksasa, nama Godzilla cukup dikenali di seluruh dunia selepas filem pertama mengenai raksasa mutan itu ditayangkan di Jepun pada 1954.
Pada asalnya, filem itu sebagai simbolik tragedi pengeboman di Hiroshima dan Nagasaki, seterusnya melahirkan seekor makhluk akibat pencemaran radiasi yang digelar Gojira.
Bagaimanapun, penonton di luar Jepun tidak berpeluang menyaksikan cerita asal filem itu berikutan keseluruhan karya terbabit disunting sepenuhnya dua tahun kemudian untuk membuang segala rujukan mengenai peperangan itu. Malah, bintang terkenal Amerika Syarikat, Raymod Burr turut diselitkan dalam jalan cerita dan nama raksasa itu ditukar kepada Godzilla.
Enam dekad kemudian, raksasa radioaktif itu kembali ke layar perak bulan ini mengancam keselamatan manusia serta berlawan dengan dua makhluk pemusnah.
Enam dekad kemudian, raksasa radioaktif itu kembali ke layar perak bulan ini mengancam keselamatan manusia serta berlawan dengan dua makhluk pemusnah.
Menampilkan barisan bintang hebat Aaron Taylor-Johnson, Bryan Cranston, Elizabeth Olsen, Ken Watanabe, Juliette Binoche, David Strathairn dan Richard T Jones, filem Godzilla sudah ditayangkan di pawagam di seluruh negara sejak Khamis lalu.
Arahan Gareth Edwards, filem menelan perbelanjaan sebanyak RM517.44 juta itu adalah olahan semula karya asal Godzilla selain juga filem kedua terbitan Amerika Syarikat.
Bezanya kali ini, saiz Godzilla digandakan ke ketinggian 110 meter berbanding 50 meter dalam filem asal pada 1954.
Seiring dengan peredaran masa, karakter Godzilla tidak lagi dimainkan oleh manusia dalam kostum sebaliknya pergerakannya dihasilkan mengguna CGI selain memberi beberapa perubahan pada rupa raksasa itu.
Menceritakan mengenai pembikinan filem Godzilla, Edwards berkata, penggambaran babak lagak ngeri payung terjun serta menghasilkan rekaan dua makhluk pemusnah yang digelar Massive Unidentified Terrestrial Organisms (Muto) adalah paling
sukar.
“Babak Aaron dan pasukannya terjun menggunakan payung terjun memang sukar. Kami merakamkan aksi terjun dalam formasi bulatan di sebuah gurun pada waktu senja. Sebenarnya babak terjunan udara paling banyak digunakan kerana aksi itu kelihatan lebih realistik,” katanya.
Mengenai rekaan Muto pula, pengarah berusia 39 tahun itu berkata, makhluk berkenaan mengambil masa hampir setahun untuk disiapkan bagi mendapatkan karakter paling sesuai.
“Sebenarnya Godzilla lebih senang direka kerana kami menggunakan konsep serta beberapa ciri raksasa itu dari filem asal.
“Rujukan beberapa filem raksasa seperti Jurassic Park, Alien, Star Ship Troopers dan King Kong sebagai sumber inspirasi menghasilkan karakter Muto. Makhluk itu dihasilkan menggunakan kain dan rekaannya harus menampakkan ia semula jadi dan mempunyai pergerakan yang mudah,” jelasnya.
Menggemari filem raksasa Jepun sejak kecil, Edwards berkata, ngauman Godzilla dalam filem itu ditambah baik oleh penata bunyi Erik Aadahl dengan menggunakan mikrofon yang berupaya merakam frekuensi ultra tinggi.
“Ngauman asal raksasa itu dihasilkan dengan menggunakan sarung tangan kulit yang digosok pada tali gitar bass. Bunyi itu unik dan tidak dapat ditiru.
“Hanya satu jenis ngauman digunakan dalam semua filem raksasa itu, cuma diperlahankan. Kami ada cuba menghasilkan semula bunyi yang sama namun tidak menjadi,” katanya.
Tambah pengarah filem bajet sains fiksyen Monster itu, elemen wajah Godzilla dihasilkan daripada gabungan beberapa haiwan iaitu beruang, anjing dan burung helang.
“Filem ini paling susah dihasilkan sepanjang karier saya, namun hasilnya amat berbaloi. Godzilla adalah contoh sesuai untuk menghasilkan filem konsep raksasa,” katanya.
Tambah Edwards, keindahan persekitaran bandar Vancouver di Canada selain mempunyai kawasan teluk yang menyerupai San Francisco sesuai sebagai lokasi penggambaran filem raksasa itu.
“Buat masa ini, saya belum ada perancangan untuk menghasilkan sekuel Godzilla kerana mahu melihat sambutan orang ramai terhadap filem ini dulu,” katanya.
Sementara itu, saiz baru Godzilla mendapat kritikan hebat daripada peminat di Jepun yang merasakan raksasa itu gemuk dan terlalu besar berbanding saiz asalnya.
Peminat tegar, Fumihiko Abe mengakui terkejut sebaik melihat saiz raksasa itu yang didakwanya gempal selain bahagian punggung terlalu besar.
“Dalam versi filem Godzilla pertama Amerika Syarikat pada 1998 pula raksasa itu seperti seekor dinasaur yang bergerak pantas,” katanya ketika menghadiri Galeri Seni Godzilla di Tokyo baru-baru ini.
Sejak 1954, sebanyak 28 versi filem Godzilla dikeluarkan syarikat produksi dan pengedaran Jepun, Toho Co Ltd.
Selepas tayangan Godzilla: Final Wars pada 2004, Toho yang juga francais filem Godzilla mengumumkan tidak akan menghasilkan karya berkenaan raksasa itu dalam tempoh 10 tahun akan datang.
Berikutan itu, Toho memusnahkan set penggambaran air yang digunakan untuk merakamkan pelbagai aksi babak raksasa terbabit.
Trivia Godzilla
Dalam filem ini, tubuh Godzilla dipenuhi kesan parut. Penampilan makhluk itu berdasarkan filem asal Godzilla pada 1954, sebagai tanda penderitaan mangsa yang terselamat daripada tragedi pengeboman Hiroshima dan Nagasaki. Konsep ini memberi gambaran Godzilla dicipta menerusi senjata nuklear.
Filem itu ditayangkan pada tahun ini sempena ulang tahun ke-60 Godzilla.
Penata bunyi menggunakan pembesar suara setinggi 12 kaki dengan lebar 18 kaki untuk menghasilkan bunyi ngauman Godzilla pada 100,000 watt bagi memperoleh gambaran jelas mengenai kuasa serta kekuatan vokalnya.
Terdapat 960 kesan visual penggambaran sepanjang jalan cerita itu dengan 327 daripadanya terdiri daripada 500,000 poligon model 3D Godzilla. Penggambaran visual itu mungkin memerlukan 450 tahun untuk disiapkan jika hanya satu komputer digunakan untuk mereka grafik makhluk itu.
Ketika penggambaran filem Godzilla, sinematografer, Seamus McGarvey dengan tidak sengaja memasuki set penggambaran Dawn of the Planet of the Apes di Vancouver. Dia mendapati set itu hampir sama dengan set rakaman Godzilla yang akan digunakan hari itu. McGarvey menjelaskan dia berjalan di sekitar set itu sambil membawa alat pengukur cahaya tanpa mengenali sesiapa sebelum menyedari kesilapannya.
Pengarah Gareth Edwards menyifatkan Godzilla sebagai anti-hero. Katanya, makhluk itu menggambarkan kemurkaan alam semula jadi. Tema filem itu adalah manusia melawan alam semula jadi namun manusia tidak dapat menang perjuangan mereka. Kenyataan itu antara mesej filem berkenaan dan Godzilla adalah hukuman terhadap manusia.
No comments:
Post a Comment