Fuh Gempak Player

19 May 2014

Stacy lebih segar

Selepas enam tahun membina empayar seni, pencapaian penyanyi genit kelahiran Sabah itu kini amat indah.
Jolokan penyanyi versatil layak diberikan buat Stracie Angie Anam atau Stacy, 24, lantaran aura luarbiasa dibawanya setiap kali berada di pentas. Dia tersendiri dan unik kerana sehingga saat ini kekuasaannya sebagai penyanyi juga penari hebat belum ada tandingannya. 
Apapun, realiti untuk mempunyai album dalam pasaran seperti sekarang bukanlah mudah, penyanyi Bosan itu tidak terkecuali perlu menanti waktu sesuai tampil dengan album terbaiknya. 

Padahal, jika dihitung semula lagu hit miliknya termasuk Aku Stacy, Gagap, Kisah Dongeng, PelangiSenja, Pakai Buang, Kasanova dan banyak lagi sangat kuat untuk dirangkumkan dalam satu album malah tentu mendapat sambutan.
Foto
TENAGA luar biasa Stacy di pentas memang tiada tandingan.

Bagaimanapun, meniti sisi kerjayanya yang semakin berubah dan perlu seiring dengan kematangannya, Stacy mengakui perlu terus relevan baik pada penampilan diri hinggalah lagu-lagunya.

Sebab itu juga sekian lama dinantikan peminat, petang kelmarin penyanyi itu tampil dengan album terbarunya berjudul #1 yang nyata menunjukkan sisi lainnya. Masih dalam elemen ‘funky’ namun lebih matang dan berada di kelas tersendiri. 

Bercerita mengenai di sebalik album itu sendiri dan kelainan, dia mengakui album itu gambaran kepada dirinya sekarang dan puas kerana turut terbabit dalam pembikinannya. 

“Sebelum tampil dengan album saya dan pihak pengurusan sudah berbincang mengenai konsep itu sendiri apabila saya mahukan sesuatu yang lebih segar seiring dengan usia sekarang. 

“Jadi, semua elemen itu akan dapat dirasai sendiri menerusi album ini di mana jika sebelum ini sisi remaja saya lebih ditonjolkan namun dalam album ini bukan lagu saja, fesyen serta kematangan nyanyian saya terserlah. 

“Agak lama juga masa diambil untuk pelancaran album ini yang pembikinannya bermula sejak Oktober tahun lalu, namun saya sangat berpuas hati kerana ia dibuat sangat terperinci daripada lagu hinggalah ke kulit album. 

“Sepanjang proses, saya juga ada terbabit menyumbang idea dan itu juga antara pencapaian terbaik buat diri saya,” katanya yang turut menulis lagu berjudul Gilalah dalam album berkenaan. 

Berbekalkan modal itu pastinya rencana karier seni bekas juara Akademi Fantasia 6 (AF6) itu kembali rancak dan ditanya mengenai perancangan masa depan, kata Stacy semestinya dia mahu memperluaskan lagi kuasanya ke pasaran lebih jauh. 

“Fokus sekarang tidak lain tidak bukan memastikan album ini diterima baik dan pengurusan pun sudah mengatur pelbagai rangka promosi termasuk memasarkannya ke Indonesia, Singapura dan Brunei. 

“Tidak dinafikan pasti jadual akan kembali lebih sibuk selepas ini namun itulah yang saya nantikan kerana menyanyi dan menghibur adalah ‘passion’ saya,” katanya. 

Bukan sekadar melancarkan albumnya, Stacy tidak ketinggalan tampil dengan showcase mini di The Zouk, Kuala Lumpur selepas sidang media yang dihadiri hampir 300 peminat setianya. 

Cukup terserlah sebagaimana yang digambarkannya menerusi kelainan album serta pembawaan dirinya sekarang, bagaimanapun tenaganya di pentas tidak pernah mengecewakan seperti sebelum ini. 

Menyanyikan rangkaian lagu daripada album terbarunya termasuk #1, Gilalah dan Paranormal, peminat tidak henti bersorak serta bergoyang sama setiap kali penyanyi itu menakluki pentas bersama penarinya.

No comments:

Post a Comment