Fuh Gempak Player

17 May 2014

Kilauan Emas: Isteri jemput Joi

Tidak menyangka kehadiran isteri, Roziah Mohamad Jai dan anak, Nur Zahirah Jokepli yang diterbangkan khas dari KuchingSarawak memberi petanda yang Joi akan meninggalkan pentas Kilauan Emas musim keempat pada malam Rabu lalu yang diadakan di Dewan Sri Putra, Bukit Jalil.
Joi atau nama sebenarnya, Jokepli Hamdi, 50, berkata, dia langsung tidak tahu mengenai kejutan yang dilakukan Astro dengan membawa isteri dan anaknya hadir menyaksikan persembahannya pada malam itu. 
“Saya tidak tahu mereka akan hadir pada malam ini. Namun tidak menganggap kehadiran mereka sebagai penyebab saya tersingkir sebaliknya apa yang berlaku adalah adat dalam sesuatu pertandingan. 

“Saya juga sering berkata kepada isteri, andai kata saya tersingkir awal itu semua ada hikmahnya. Saya juga tidak menyalahkan lagu yang dipilih kerana sedar lagu yang saya nyanyikan bernada tinggi.
Foto
MAYA mantap dengan lagu Kenangan Di Rantau Abang.

“Sejak minggu pertama lagi saya sudah diberikan lagu bernada tinggi dan mencabar, sebab itulah saya tidak terfikir soal tersingkir sebaliknya cuba memberikan persembahan yang terbaik,” katanya yang menyanyikan lagu berentak retro berjudul Surat Untukmu nyanyian asal kumpulan D’lloyd.

Bukan Joi seorang, malah peserta dari Negeri Sembilan, Muhaiyah Harun atau Maya turut tersingkir pada konsert minggu keempat yang bertemakan irama layar (retro) dan pop yeh yeh ini. Ini melayakkan lapan peserta untuk bersaing pada peringkat separuh akhir yang akan berlangsung pada Rabu depan. 

Menurut Maya, dia tidak berasa kecewa kerana yakin sudah melakukan yang terbaik, namun menerima dengan hati yang terbuka dia juga turut tersingkir. 

“Ketika melihat nama saya berada di undian terbawah, hati sedikit bimbang kerana itu berusaha sedaya upaya mempersembahkan yang terbaik. Namun, saya terima ada lagi yang lebih baik daripada saya kerana itu saya yang tersingkir,” katanya. 

Sementara itu, juri Kilauan Emas, Datuk Ramli MS berkata, irama retro 60-an tidak sesuai digunakan untuk pertandingan kerana muziknya sangat terhad. 

“Lagu retro ini sangat senang sehingga sukar untuk dinilai sejauh mana kehebatan seseorang peserta menyanyikannya. Malah, muziknya juga sangat terhad menyebabkan kreativiti peserta dalam menyampaikan lagu berkenaan turut terhad. 

“Tetapi, saya lihat hanya Nordin yang berjaya kerana lagu seperti ini ibarat ‘sayur’ padanya yang sudah dimakan hari-hari. Justeru, sebagai juri apa yang saya lihat ia bukan kesalahan pada peserta, tetapi pemilihan konsep menyebabkan banyak kesalahan yang mereka lakukan,” katanya. 

Pengurus Saluran Astro Prima, Namanzee Harris berkata, pihaknya mengambil berat setiap masalah yang berlaku dan mengambil kira komen yang diberikan oleh Ramli. 

Justeru, akan lebih berhati-hati lagi dalam pemilihan konsep pada masa akan datang. 

“Kami mahukan konsep berlainan setiap minggu dan tidak boleh memberikan tema bebas setiap masa kepada peserta. Dengan apa yang berlaku, kami berusaha memperbaiki mutu konsep Kilauan Emas di masa akan datang,” katanya. 

Pada malam berkenaan, turut dijemput beberapa artis undangan antaranya Izzue Islam, Hyper Act, Haziq, A Rozaimi, Khairool Idlan, Rem, Zamree dan Dwen. Antara lagu-lagu yang dinyanyikan oleh peserta ialah Zunika (Nordin), Kenangan Di Rantau Abang (Maya), Wild World (Ben), Apa Khabar Mu Di Sana (Aziana), Suzana (Silva), Selamat Tinggal Pujaan (Nas), Wajah Siapa Di Hatimu (Raida), Surat Untukmu (Joi), What’s Up (Zain) dan Termenung (Arip).

No comments:

Post a Comment