Kahwin cerai di kalangan artis menjadi cerita biasa hingga ada yang melabel artis dengan kahwin cerai umpama menukar baju.
Ada yang berjaya mempertahankan perkahwinan hingga anak besar panjang, akhirnya mengejutkan juga dengan berita perceraian.
Penyanyi yang popular dengan lagu Melati Suntingan, Salimah Mahmood, 52, antara insan seni bertuah apabila mahligai dibina dengan pemimpin Orkestra Dewan Bandaraya Kuala Lumpur, Mirza Abdullah, 60, kekal bahagia.
Pada 9 April lalu, genap 32 tahun pasangan ini melayari bahtera perkahwinan. Detik bahagia itu dikongsi Salimah di laman sosial Facebooknya (FB) dengan ucapan syukur dipertemukan dengan Mirza Eleno Abdullah.
Pada 9 April lalu, genap 32 tahun pasangan ini melayari bahtera perkahwinan. Detik bahagia itu dikongsi Salimah di laman sosial Facebooknya (FB) dengan ucapan syukur dipertemukan dengan Mirza Eleno Abdullah.
Mereka dikurniakan dua anak, Shakira, 31, dan Eskandarian Mirza, 29, dan kini bergelar nenek dan datuk kepada enam cucu.
Penyanyi asal Singapura itu masih aktif menyanyi dengan memenuhi undangan untuk majlis badan korporat dan kerajaan, manakala bagi Mirza, kontraknya berbaki sebulan lagi dengan DBKL dan kini dalam perbincangan untuk berkhidmat dengan orkestra lain.
Berkahwin pada usia muda iaitu 19 tahun ketika meniti populariti sebagai penyanyi dengan ribuan peminat dan hidup dalam dunia glamor, tentu banyak dugaan dilalui.
Ditambah pula bertemu jodoh dengan saudara baru. Apa rahsia Salimah dan Mirza dalam melayari alam perkahwinan?
Salimah yang mesra dengan panggilan Kak Sally berkata, hidup saling memahami antara satu sama lain, bertolak ansur dan banyak bersabar.
Masalah tetap ada tetapi harus ditangani dengan bijak. Dia bersyukur dipertemukan jodoh dengan lelaki baik, sabar dan menyayangi dirinya.
“Kalau orang kata hidup artis penuh glamor, saya tak pernah rasa begitu, sebaliknya sejak dulu lagi saya menjalani kehidupan sederhana.
“Ibu dan nenek selalu berpesan, hidup ada pasang dan surutnya. Banyak-banyak bersabar dan ingat apa tujuan kita berkahwin.
“Dalam melayari rumah tangga, cinta saja tidak cukup tetapi perlu sabar, saling memahami dan bertolak ansur. Itu sangat penting. Rasanya tiada pasangan berkahwin yang tidak ada masalah. Jika ada masalah, cuba selesaikan secara baik.
“Saya juga tidak perlu terikut-ikut kehidupan orang lain dan berlumba-lumba mahukan apa orang lain miliki. Alhamdulillah, kehidupan saya tenang dan bahagia,” katanya.
Salimah akui banyak cabaran dilalui apabila berkahwin dengan saudara baru serta lelaki berbeza latar kerana Mirza keturunan campuran Filipina dan Cina.
Katanya, sejak zaman anak dara, dia tidak suka ke dapur tetapi apabila berkahwin, keluarga Mirza memang rapat dan selalu berkumpul bersama. Apabila berkumpul di rumahnya, dia belajar memasak dengan ibu dan nenek Mirza.
Kini amalan itu diteruskan dengan anak dan cucu yang berkumpul di rumahnya menikmati masakan ibunya, terutama masakan Singapura dan masakan nyonya.
Katanya, dia tidak pernah meletakkan sasaran untuk berhenti menyanyi pada usia tertentu. Selagi mampu dan diperlukan, dia akan terus menyanyi.
“Buat masa ini, tidak pernah terfikir mahu berhenti menyanyi. Insya-Allah perlahan-lahan dan sekarang pun saya pilih undangan yang sesuai saja dan bukan main terima setiap undangan,” katanya.
No comments:
Post a Comment