Fuh Gempak Player

28 Apr 2014

Eira ada dua karakter

Hampir 12 tahun bergelar pelakon, Eira Syazira jarang mendapat tawaran melakonkan watak antagonis. Dia sering diberikan watak air mata, wanita teraniaya dan baik.
Bagaimanapun, dalam telefilem Pulanglah Abah dia dapat bermain dengan watak yang ada dua karakter berbeza. 
Katanya, tawaran daripada pengarah Keoi Haji Khalid untuk telefilem sulung terbitan Tinta Unik Sdn Bhd tidak mampu dilepaskannya. 

“Memang jarang saya diberi watak antagonis. Namun, kali ini lebih unik hingga memberi cabaran bagaimana mahu ‘twist’ dari karakter protagonis kepada antagonis supaya tidak nampak terlalu jelas pada mata penonton.
Foto



“Untuk itu, saya banyak bertanya pengarah untuk pastikan momen yang saya berikan betul atau tidak,” katanya.
Dalam telefilem khas sempena Hari Bapa yang turut dijayakan Kamal Adli, Elly Mazlein, Hafizuddin Fazil dan Normah Damanhuri itu, Eira memegang watak Liya. 

Kata Eira, dia tidak tahu kenapa sering ditawarkan watak air mata atau wanita teraniaya, tapi akui selalunya ia atas permintaan stesen televisyen. 

“Memang watak seperti itu membosankan tapi kebanyakan peminat lebih tertarik pada karakter itu. Mahu atau tidak, peminat mahu watak saya macam itu. Kalau itu yang orang suka, saya kena berikan. 

“Saya pernah bawa watak jahat ala Tanggang, tapi peminat tidak suka dan tidak dapat terima. Saya pernah kena marah dengan peminat yang tidak mahu saya memegang watak jahat kerana beranggapan saya tidak sesuai. 

“Tidak dinafikan memang penat sebab kena bermain dengan emosi berat tapi apabila sebati, saya jadi imun. Untuk dapatkan lontaran berbeza, sebagai pelakon, saya perlu mencari perbezaan di segi latar belakang watak dan permasalahan yang wujud,” katanya. 

Isteri pelakon Azad Jazimin dan juga ibu seorang anak itu gembira kerana single keduanya, Tersedar Aku bakal dilancarkan tidak lama lagi. Katanya, ia kini dalam proses perbincangan bersama pengedar dan komposer. 

“Saya mahu menebus kembali kegagalan mempromosi single pertama dulu yang muncul ketika saya baru disahkan mengandung. Sayang juga kerana single dulu tidak sempat dipromosi secara penuh kerana tuntutan keluarga. 

“Nasib baik selepas sekian lama, akhirnya saya dapat seorang pembantu rumah yang mampu mengurus rumah dan anak dengan baik sekali. 

“Namun begitu, Azad (suami) lebih galakkan saya memberi tumpuan kepada anak yang semakin membesar. Azad banyak berlakon filem dan jadualnya sentiasa penuh. 

“Dia mahu saya sentiasa ada dengan anak. Kalau ada tawaran drama bersiri, dia korbankan sikit masa untuk menjaga atau kadangkala bawa anak ke lokasi penggambaran,” kata Eira yang baru dilantik menjadi duta dua produk kecantikan dan menguruskan badan. 

Ibu kepada Amarra Sofea Rose, setahun tiga bulan, akui terpaksa menolak tawaran berlakon yang memerlukannya berada di luar kawasan. 

Sebagai contoh, dia menolak tawaran drama bersiri yang perlu menjalani penggambaran di Johor Bahru selama tiga bulan. 

“Ada yang tanya bila nak tambah anak lagi sebab anak pun dah setahun lebih. Sebenarnya kami merancang untuk dapatkan anak kedua tahun depan. 

“Harap ada rezeki, apatah lagi walaupun masing-masing sibuk dengan bisnes dan kerjaya lakonan, kami masih ada masa untuk diluangkan bersama,” katanya penuh harap. 

Selesai penggambaran Pulanglah Abah, Eira membuat persiapan untuk masuk ke set penggambaran drama bersiri untuk slot Ramadan di TV3 pula.

No comments:

Post a Comment