Kesibukan tugas sebagai penyampai di salah sebuah stesen radio milik Universiti Malaysia Sabah (UMS) tidak menjadi halangan buat Felix Agus yang digilap bakatnya menerusi program realiti Akademi Fantasia 3 (AF3) meneruskan bidang nyanyian yang pernah menaikkan namanya.
Penyanyi kelahiran Sabah ini mengaku, dia tetap rindu untuk beraksi di pentas nyanyian selain lakonan dan bersedia untuk menerima sebarang tawaran terutama bidang nyanyian khususnya di Semenanjung.
Namun katanya yang semakin tembam dan sihat, dia lebih selesa dengan tugas sebagai seorang penyampai yang turut digandingkan bersama seorang komposer dan pelakon tempatan Sabah, Ramli Carlo dalam segmen Ampai-Ampai Crew di KKFM.
Felix yang menamatkan kontrak bersama Maestro pada 2008 pernah menerima tawaran daripada Astro untuk berlakon dan menyanyi bersama siaran televisyen berbayar itu.
Felix yang menamatkan kontrak bersama Maestro pada 2008 pernah menerima tawaran daripada Astro untuk berlakon dan menyanyi bersama siaran televisyen berbayar itu.
WAJAH terbaru Felix yang semakin tembam.
Namun atas faktor perhubungan yang terpaksa menaiki kapal terbang antara Sabah dan Kuala Lumpur berulang-alik, dia mengambil keputusan membawa haluan sendiri apabila berjaya membuka perniagaan studio rakaman iaitu D’Sulap Entertainment beberapa tahun kemudian.
“Sememangnya saya merindui untuk beraksi di pentas nyanyian seperti dulu terutama di Semenanjung selain merakamkan album baru. Kalau ada tawaran yang bersesuaian terutama nyanyian di Semenanjung, saya mungkin akan menerimanya. Bagaimanapun, buat masa ini saya lebih selesa untuk meneruskan tugas sebagai penyampai radio selain menerima jemputan nyanyian untuk majlis keramaian dan kerajaan,” katanya kepada RAP, baru-baru ini.
Kata Felix, ketika ini dia turut merakamkan beberapa buah lagu untuk diterbitkan selewat-lewatnya Jun ini yang memuatkan lima buah lagu yang lebih berkonsepkan kepada kebudayaan Sabah selain sebuah lagu pop komersial.
Menurutnya, album berkenaan masih dalam pembikinan dan penyusunan muzik masih lagi dilaksanakan.
Ketika ditanya mengenai kerjaya penyampai, Felix berkata, dia mula berjinak-jinak dalam dunia penyampai apabila menerima tawaran bertugas sebagai penerbit di KKFM pada 2010 yang pada ketika itu diuruskan bekas penyampai Muzik FM, Ady Maldin.
“Saya bermula dengan jawatan sebagai penerbit di KKFM dan pada ketika hanya saya dengan Ady saja yang membuka stesen ini seterusnya bertambah dengan beberapa penyampai muda yang lain.
“Namun kerana ‘cemburu’ dengan kepetahan rakan penyampai lain, saya cuba untuk bercakap di radio dan akhirnya saya digandingkan bersama seorang rakan untuk segmen Ampai-Ampai Crew pada setiap Isnin hingga Jumaat bermula jam 4 petang hingga 7 malam,” katanya lagi.
Felix yang pernah menghasilkan tiga buah album iaitu Best of Felix, Aku Pencintamu dan Aku Juga Iya turut memiliki 20 suara ‘watak’ berbeza dalam segmen yang dibawanya bersama rakan penyampai Ramli Carlo yang turut membawa 10 suara ‘watak’ berbeza bagi menghiburkan pendengar saban minggu.
Katanya, antara segmen lain yang dibawa pada Ampai-Ampai Crew itu turut dibuat Sambung Ayat selain membaca khidmat pesanan ringkas (SMS) daripada pendengar.
Ketika zaman kemuncak AF3, Felix yang seangkatan Mawi dan Marsha Londoh sangat popular dengan lagu balada Warkah Berlagu Pilu ciptaan Adnan Abu Hassan. Pada waktu sama dia juga pernah digosipkan cukup mesra dengan Marsha sewaktu dalam AF3.
No comments:
Post a Comment