Selepas mencipta nama bersama filem arahan Christopher Nolan seperti The Prestige, Batman Begins, The Dark Knight, The Dark Knight Rises dan Inception sebagai Pengarah Fotografi, Walter Pfister kini tampil dengan filem arahan sulungnya Transcendence.
Selepas beberapa kali dicalonkan dalam Academy Award, Pfister akhirnya mengungguli kategori Sinematografi Terbaik menerusi filem Inception pada Academy Award 2010.
Bagaimanapun, percubaan sulungnya sebagai pengarah dalam filem Transcendence yang ketika ini ditayangkan tidak meninggalkan impak sebagaimana filem yang menampilkannya sebagai Pengarah Fotografi sebelum ini.
Walaupun filem ini hebat dari segi gerak kerja kamera bermain dengan imaginasi dalam membentuk teknologi Imej Janaan Komputer (CGI), ia gagal dari segi plot cerita dan pembangunan setiap wataknya.
Walaupun filem ini hebat dari segi gerak kerja kamera bermain dengan imaginasi dalam membentuk teknologi Imej Janaan Komputer (CGI), ia gagal dari segi plot cerita dan pembangunan setiap wataknya.
ANTARA babak dalam Transcendence.
Kisah filem ini mudah. Transcendence menggambarkan sikap manusia apabila bersungguh-sungguh ingin menjadi Tuhan yang mampu mengawal dunia dan membentuk budayanya sendiri.
Berlandaskan genre sains fiksyen berteknologi tinggi, filem ini turut membariskan pelakon hebat lain seperti Morgan Freeman, Rebecca Hall, Paul Bettany dan Kate Mara.
Sinopsis filem ini dimulakan dengan perjalanan seorang saintis yang pakar dalam kajian ‘artificial intelligence’, Dr Will Caster lakonan berkesan Depp yang sedang dalam fasa akhir untuk menghasilkan rekaan mesin ‘Transcendence’.
Mesin berteknologi tinggi ini adalah rekaan hampir sempurna gabungan sedikit naluri dan kepandaian perisian komputer dinamakan P.I.N.N. (Physically Independent Neural Network).
Kajian Will dibantu dua lagi saintis iaitu isterinya Evelyn Caster (Rebecca Hall) dan rakan karib mereka, Max Waters (Paul Bettany).
Kemudiannya, konflik makin rumit apabila dua rakan karib Will mula
keliru dengan eksperimen yang mereka lakukan sendiri. Bagaimanapun impian menggunung Will itu ditentang kumpulan antiteknologi gerakan bawah tanah bergelar R.I.F.T. (Independence From Technology) yang diketuai oleh Bree (Kate Mara).
Will juga menjadi sasaran utama serangan mereka sehingga menyebabkan dia tercedera dan hampir terbunuh.
Projektor mendapatkan pandangan pengkritik filem, Ajami Hashim yang menyifatkan Transcendence gagal memberikan impak selari dengan pembikinan dan kehebatan visualnya.
Antara suka dan tidak
“Transcendence tidak dinafikan hebat dari segi kerja kameranya. Ini mungkin kerana pengarahnya sendiri adalah antara pengarah fotografi hebat di Hollywood.
“Walaupun genre filem ini adalah fiksyen sains, ia kelihatan ‘hidup’ sebagai sebuah drama yang mencerminkan realistik kepada penonton. Pemaparan visualnya dan suntingan filem ini ketara ingin menyerupai kisah yang benar-benar berlaku.
“Walaupun kisah hubung kait manusia dan mesin dalam Transcendence lebih kurang sama seperti filem A.I. Artificial Intelligence (2001), I Robot (2004) dan Her yang ditayangkan tahun lalu, rupa dan latar filem ini seboleh-bolehnya tidak mahu nampak futuristik langsung.
“Transcendence cuba mengangkat plot utamanya iaitu kisah Will atau mesin yang mahu menjadi seperti dewa pencipta kehidupan baru dunia, tapi ia tampak celaru dengan terlalu banyak plot lain meleret-leret tanpa mengembangkan dan menyimpulkan semuanya dengan kemas.
“Namun, saya harus puji akan plot cerita khususnya penambahan konflik dan kontra oleh kumpulan R.I.F.T. daripada ideologi asal kenapa mereka mahu menentang kajian oleh Will juga babak apabila Bree memberitahu Max yang kewujudan kumpulannya bermula tercetus daripada cerapan kenyataan satu artikel daripada Max sendiri.
“Filem ini mula membuat penonton mengantuk selepas babak-babak kejayaan penciptaan Will versi P.I.N.N dan pergerakan kumpulan R.I.F.T mula mengambil tempat menjadi subjek utama filem ini. Di situ, penceritaan filem ini seperti hilang punca apabila Evelyn semakin mempercayai kewujudan dan kesempurnaan Will yang seolah ‘dilahirkan’ semula.
“Dari sudut lakonan, Johnny Depp awalnya sebagai seorang saintis pakar komputer agak sederhana, tapi semakin kaku dan biasa-biasa saja selepas ‘terperangkap’ dalam ruang lakonan terhad di skrin komputer di makmal itu dengan mimik muka yang tanpa perasaan sebab dia hanyalah data komputer.
“Paling menarik ialah lakonan oleh Rebecca Hall dan Paul Bettany yang terbukti mampu beremosi. Yang lain-lain, sekejap ada sekejap tiada dan segera mudah dilupakan.
“Pujian boleh diberikan selain sinematografi yang bagus ialah beberapa plot menggunakan teknologi imej penjanaan komputer khususnya untuk babak penyebaran zarah, molekul dan partikel yang berterbangan dan bertebaran ke udara.
“Aksi pergaduhan, tembak-menembak dan kejar-mengejar ke babak akhir juga mampu menyegarkan semula rasa kekontangan tontonan filem ini.
“Kesimpulannya, Transcendence adalah filem yang bercita-cita besar dengan bajet besar, tapi memberi impak agak kecil. Saya suka dan ada kalanya saya tak suka. Perasaan itu bercampur-baur dan saya berikan TIGA BINTANG untuk filem ini,” katanya.
No comments:
Post a Comment